Thursday, 2 May 2013

PEMBANGKANG PAKSA PENDUDUK 'MINUM AIR BUKIT'






DENGAR....Jumat mendengar masalah yang diluahkan pengundi dalam siri jelajah kempen Pilihan Raya Umum ke-13 di Kampung Kebayau Telipok dan Taman Telipok Ria di Kota Kinabalu, di sini kelmarin.

Oleh : ZAKARIA DAMIT

KOTA KINABALU : Pengundi di Parlimen Sepanggar perlu menolak parti pembangkang berikutan terbukti gagal menyelesaikan masalah kemudahan asas termasuk 'Bekalan Air Bersih' di sekitar kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Kebayau, Telipok selepas meninggalkan Barisan Nasional (BN) dua tahun lalu.

Calon Parlimen Sepanggar, Datuk Jumat Idris berkata, perkara ini dilihat begitu serius memandangkan masalah itu telah berlarutan sejak sekian lama tanpa ada sebarang tindakan bagi mengatasi masalah berkenaan.

Katanya, penduduk di Kampung Kebayau Telipok serta kawasan kampung sekitarnya terpaksa 'Minum Air Bukit' berikutan wakil rakyat terdahulu gagal membawa pembangunan bagi penduduk kampung yang tinggal di kawasan bukit-bukau.

“Kita melalui Barisan Nasional (BN) hanya berbekalkan sedikit peruntukan membawa beberapa peralatan paip plastik untuk diageh-agehkan kepada penduduk kampung bagi mendapatkan air paip graviti yang dilakukan secara bergotong-goyong bersama penduduk kampung terbabit.

“Secara peribadi saya begitu begitu sedih dengan keadaan yang berlaku di sekitar Kampung Kebayau Telipok serta kawasan berhampiran dengan sedangkan mereka ini merupakan penyokong kuat kepada parti Barisan Nasional (BN), tetapi sayang sekali wakil rakyat mereka meninggalkan BN,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam siri jelajah kempen Pilihan Raya Umum ke-13 di Kampung Kebayau Telipok serta Taman Telipok Ria di Kota Kinabalu, di sini kelmarin.

Hadir sama, Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai, Datuk Jainab Ahmad Ayid; Timbalan Ketua Umno Bahagian Sepanggar, Yakub Khan dan Ketua Pusat Daerah Mengundi Kawasan Kampung Kebayau, Marino Ahmad.

Jumat yang juga Ketua Umno Bahagian Sepanggar berkata, sekiranya dipilih di Parlimen Sepanggar beliau berjanji akan memastikan masalah bekalan air bersih serta kemudahan asas yang lain akan menjadi agenda keutamaannya.

“Pengundi perlu memilih parti Barisan Nasional (BN) yang sudah terbukti berupaya menyelesaikan masalah rakyat di seluruh negara secara berperingkat-peringkat termasuk beberapa masalah kemudahan asas membabitkan jalan raya, bekalan air bersih, pembaikan rumah serta penubuhan dewan mini untuk kegunaan penduduk di sekitar kampung berdekatan.

“Kamu jangan mudah terpengaruh dengan parti pembangkang, mereka hanya pandai berkata-kata menjelang kempen pilihan raya selepas menang atau kalah batang hidung pun tidak kelihatan untuk meninjau masalah di peringkat kampung,” katanya.

Sementara itu ketika berucap di hadapan 3,000 penduduk di Dewan Telipok Ria Kota Kinabalu, Jumat berkata, penduduk di Taman Telipok Ria perlu meneruskan memilih Calon Parlimen Sepanggar untuk mewakili mereka sekali gus mampu menyelesaikan masalah mereka.

“Kita sudah maklum terhadap masalah yang dihadapi penduduk di Taman Telipok Ria. Tempoh kempen selama 15 hari masih tidak mencukupi untuk calon BN menyelesaikan masalah mereka.

“Kita perlu mandat besar daripada pengundi di Parlimen Sepanggar agar masalah membabitkan isu tanah, masalah air serta masalah kemudahan asas dapat diatasi secara berperingkat-peringkat,” katanya.

Jumat berkata, Umno Bahagian Sepanggar sudah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Tanah dan Ukur Sabah untuk menyediakan beberapa lokasi tanah yang bersesuaian bagi membolehkan mereka kembali menetap semula di Parlimen Sepanggar.

“Kita begitu memahami masalah dihadapi penduduk di Taman Telipok Ria sejak dipindahkan dua tahun lalu secara berperingkat-peringkat termasuk kos perbelanjaan bayaran sewa rumah serta tambang bas sekolah anak-anak, “ katanya.

Jumat berkata, beliau yakin penduduk Taman Telipok Ria merupakan penyokong tegar kepada Barisan Nasional sekali gus memerlukan masalah mereka dapat diatasi secara berperingkat-peringkat di masa depan.

No comments:

Post a Comment