SEMPORNA: Seorang nelayan
cedera parah setelah ditembak sekumpulan perompak bertopeng yang bersenjata api
dalam satu kejadian di perairan Pulau Larapan, dekat sini awal pagi kelmarin.
Mangsa, lelaki tempatan dikenali
sebagai Hani Sarabati, 27, dari Kampung Bangau-Bangau, keluar memancing bersama
anak lelakinya yang berusia tujuh tahun sebelum bot mereka dihampiri tiga
lelaki bertopeng.
Difahamkan, mangsa cedera
parah di bahagian dada kirinya akibat terkena tembakan perompak terbabit
sementara anak lelakinya tidak mengalami sebarang kecederaan. Kejadian berlaku
sekitar jam 3 pagi.
Ketua Polis Semporna, Deputi
Superitendan Mohd Firdaus Abdullah, berkata dalam kejadian itu mangsa bersama
anaknya telah keluar memancing di perairan terbabit dengan menaiki sebuah bot
berkuasa enjin 15 kuasa kuda.
Tidak beberapa lama
kemudian, sebuah bot tanpa enjin yang dinaiki tiga lelaki bertopeng dan dipercayai
bersenjata api secara tiba-tiba menghampiri bot mangsa.
“Hasil siasatan awal, bot
mangsa telah dihampiri oleh sekumpulan lelaki yang bertopeng lalu mengarahkan
mangsa membuka enjin di botnya, namun mangsa memberi alasan tidak dapat berbuat
demikian kerana tidak mempunyai
peralatan,” katanya ketika dihubungi di sini kelmarin.
Berikutan itu, seorang
daripada suspek telah bertindak melepaskan satu das tembakan ke arah mangsa
sehingga terkena bahagian bawah rusuk sebelah kiri mangsa.
Menurut Firdaus, mangsa yang
dalam kesakitan kemudian bertindak menghidupkan enjin botnya sebelum melarikan
diri bersama anaknya.
“Bot dinaiki suspek gagal
mengejar bot mangsa yang berjaya melarikan diri dengan pulang ke rumahnya
sebelum mendapatkan bantuan ahli keluarga,” katanya.
Beliau berkata, mangsa
kemudiannya digegaskan ke Hospital Semporna sebelum dipindahkan ke Hospital
Tawau bagi menerima rawatan lanjut berikutan kecederaan itu.
Katanya lagi, maklumat awal
daripada pihak hospital mendapati kesan tembakan di rusuk kiri mangsa adalah
sebesar 1.5 sentimeter.
“Kita percaya mangsa cuba
dirompak oleh kumpulan lelaki terbabit
berdasarkan keadaan suspek yang bertopeng dan memiliki senjata api.
“Buat masa ini, siasatan
masih dijalankan untuk mengesan sama ada kumpulan terbabit adalah warga asing
ataupun penduduk tempatan,” katanya.
Dalam perkembangan lain,
Firdaus turut menegaskan bahawa insiden terbabit tidak berkaitan dengan
kumpulan pengganas yang menceroboh daerah Lahad Datu sekitar Mac lepas. (UB)
No comments:
Post a Comment