Wednesday, 31 July 2013

TIADA KOMPROMI KEPADA PELAKU JENAYAH DI PERAIRAN NEGERI




by : NORWAHIDA YAMALUDDIN

Mohd Amdan (tiga dari kanan) membuka kotak kuih raya bersama Wan Affandi (dua dari kanan) dan Karumunanithi (tiga dari kiri).

LAHAD DATU: Tiada kompromi kepada sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan jenayah di sepanjang perairan negeri menjelangnya sambutan Hari Raya Aidilfitri ini, kata Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Mohd Amdan Kurish.

Beliau berkata, kesempatan menggunakan tempoh perayaan sebagai laluan mudah untuk membolosi perairan perlu dilupakan kerana anggota Maritim akan terus menjalankan tugasan mereka dan penjenayah akan tetap menghadapi tindakan undang-undang negara.

“Bukan itu sahaja, penjenayah yang menggunakan kesempatan menjelangnya perayaan ini akan berdepan dengan tindakan rampasan barangan termasuklah akan dikompaun mengikut kesalahan mereka,” katanya di sini, kelmarin.

Selain itu, pengusha-pengusaha bot dan feri penumpang juga tidak terlepas dari tindakan itu kerana permintaan perkhidmatan mereka akan bertambah secara mendadak.

“Pengusaha bot dan feri penumpang perlu sentiasa mematuhi tahap keselamatan bagi mengelak dari berlakunya sebarang kemalangan yang melibatkan nyawa dan harta benda di perairan negara,” katanya.

Mohd Amdan berkata demikian kepada media ketika membuat lawatan dan berbuka puasa bersama pegawai dan anggota kapal maritim KM Banggi di perairan Lahad Datu, di sini, kelmarin.

Menurutnya, kesemua aset dan anggota Maritim akan meningkatkan rondaan dan pemeriksaan dua minggu sebelum dan dua minggu selepas sambutan perayaan dengan menumpu kawasan-kawasan ‘panas’.

“Bukan setakat di negeri ini malah di seluruh negara semua aset dan anggota akan bertugas membanteras kegiatan-kegiatann yang menyalahi undang-undang tanpa kompromi,” katanya.

Lawatan Mohd Amdan ke KM Banggi turut disertai Ketua Penguatkuasa Wilayah Maritim Negeri, Kapten Maritim Wan Affandi Wan Ahmad, Penolong Pengarah Komponen Pertahanan Esscom, Laksamana Pertama Maritim Karumunanithi a/l Munusamy dan pegawai-pegawai penguatkuasa dan gunasama dari Wilayah Maritim Sabah, Daerah Maritim Tawau.

Dalam majlis itu, Mohd Amdan menyampaikan 400 bingkisan raya yang disumbangkan BAKTI dan Puspanita Cawangan Maritim Malaysia.

Sementara itu dalam ucapannya, Wan Affandi berkata semua anggota Maritim mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memastikan keselamatan dan keamanan ngeri.

“Tugas anda begitu besar maknanya kepada orang ramai dan jalankanlah amanah tugasan anda sebaiknya meskipun berjauhan dari keluarga di Hari Raya ini,” katanya. (THEBORNEOPOST)

No comments:

Post a Comment