Friday, 7 November 2014

HEP dan AUKU : Pemudah cara atau alat menyekat idea dan suara mahasiswa?

Oleh: Muhammad Ashraf


Kewujudan AUKU 1974 dan badan HEP adalah projek pembodohan tirani yang menyekat idea serta suara mahasiswa.

Mahasiswa merupakan satu entiti dalam sebuah masyarakat sivil. Mahasiswa merupakan satu golongan berpendidikan yang tidak sepatutnya dikekang suaranya, dirantai pemikirannya dan dilumpuhkan aksinya. Sebaliknya mahasiswa harus dibiarkan bebas beridea, mengkritik malah menyuarakan pendapat mereka secara bebas. Hal ini tidak dapat disangkal di mana mahasiswa yang kritikal dan kritis di universiti merupakan golongan yang sentiasa cakna mengenai permasalahan masyarakat serta berpartisipasi dalam membela nasib masyarakat yang kurang bernasib baik.


AUKU dan HEP menghalang aktivisma mahasiswa

Hari ini kita dapat menyaksikan bahawa AUKU 1974 atau nama penuhnya Akta Universiti Kolej Universiti merupakan satu akta yang sekian lamanya membelenggu mahasiswa dari menjadi seorang yang kritis dan kritikal. Kewujudan HEP yang lahir sejak akta ini diluluskan sedikit sebanyak menghalang aktivsma mahasiswa yang kritis dan kritikal. HEP atau nama penuhnya Hal Ehwal Pelajar merupakan satu badan yang menguruskan hal ehwal pelajar di universiti menggantikan “student union”. Dahulu sebelum tahun 1974 mahasiswa sering berada di jalanan. Mereka bersuara demi kebajikan masyarakat. Sejarah membuktikan bagaimana Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) memperjuangkan nasib penduduk Baling yang dihimpit kemiskinan, mahasiswa memperjuangkan nasib penduduk Teluk Gong yang dirampas tanah mereka oleh pihak yang tidak berhati perut. Mahasiswa turun ke jalan raya, berdemonstrasi menuntut kerajaan supaya berfikir dengan waras dan berhati perut.

Rentetan dari peristiwa demonstrasi mahasiswa ini, kerajaan telah menubuhkan satu akta yang menyekat aksi dan idea mahasiswa dan akta itu ialah AUKU 1974. Penubuhan akta ini mengakibatkan perubahan struktur pentadbiran universiti. Dahulunya kebajikan hal ehwal pelajar diuruskan oleh persatuan mahasiswa yang dipilih oleh mahasiswa digantikan oleh badan Hal Ehwal Pelajar (HEP). Badan HEP inilah yang menjadi pendokong kepada AUKU yang menyekat idea serta aksi mahasiswa yang sebelum ini bergelut dengan masalah masyarakat dan rencam permasalahan sosial negara ini. Sesiapa bersuara akan diancam, siapa yang beridea lain dari acuan kerajaan dianggap ancaman, siapa yang kritis dan kritikal dianggap subversif dan mengancam keamanan. Mahasiswa tidak lagi dihormati, mahasiswa telah diperlekeh dan lebih teruk mahasiswa yang merupakan pelapis kepada kepimpinan negara dianggap sebagai musuh dan memalukan universiti.

Akta (AUKU) ini seringkali dikaitkan sebagai satu usaha murni kerajaan untuk memudahkan mahasiswa. Semenjak kewujudan badan HEP mahasiswa tidak lagi perlu risau akan kebajikan mereka. Jika dahulunya kebajikan mahasiswa diuruskan oleh mahasiswa, kini badan HEP yang menguruskannya. Apabila mahasiswa kritis dan kritikal menyuarakan permasalahan masyarakat akan dituduh sebagai pembangkang yang subversif dan mengancam keamanan. HEP mencandukan mahasiswa dengan idea bahawa universiti adalah hanya tempat menuntut ilmu bukanlah tempat untuk berpolitik dan memikirkan masalah masyarakat. Ini amat bertentangan dengan konsep universiti sebagai gedung ilmu. Apakah ertinya jika ilmu yang diterima di universiti tidak dapat diaplikasikan? Bukan sahaja mahasiswa, malah pensyarah turut dikunci mulutnya dan dirantai idea-idea mereka.

Kesimpulannya, kewujudan AUKU 1974 dan badan HEP adalah projek pembodohan tirani yang menyekat idea serta suara mahasiswa. Bukanlah akta ini mahu memudahkan mahasiswa serta mengekang mahasiswa menyertai pembangkang dengan alasan mahasiswa tugasnya hanya belajar bukan berpolitik. Ini adalah candu yang diberikan kepada mahasiswa agar khayal di dalam dunia ekslusif mereka, belajar di dalam dewan berhawa dingin serta biasiswa yang lumayan tanpa memikirkan masalah masyarakat.

Demi survival politik

Sebenarnya AUKU dan HEP adalah projek pembodohan yang menghalang mahasiswa dari kritis dan kritikal membahaskan polisi kerajaan dan turun menentang penindasan. Sebenarnya mereka bukan takut mahasiswa menyertai parti pembangkang tetapi mereka mahu membunuh sikap kritis dan kritikal mahasiswa yang seringkali berlainan pendapat. Ini semua adalah demi survival politik pihak yang berkepentingan. Hasilnya mahasiswa menjadi “pak angguk” yang takut bersuara secara kritis dan kritikal, mahasiswa menjadi mandom (lesu), tidak progresif malah takut untuk berfikir melampaui kotak serta menelan segala apa yang dimuntahkan oleh pensyarah di universiti tanpa usul periksa dan ragu ragu.
Hari ini masih ada mahasiswa yang lantang bersuara dan lantang menyuarakan keperitan masyarakat, tetapi sekali lagi AUKU dan HEP mahu mencantas mereka ini. Jumaat ini 8 orang mahasiswa dari Universiti Malaya iaitu Fahmi Zainol yang merupakan presiden PMUM (Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya), Khairol Najib Hashim presiden PMIUM (Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya), Safwan Shamsuddin pengerusi Pro M UM (Pro Mahasiswa Universiti Malaya), Yu Sheng Long ahli PMUM, Adam Fistival Wifrid ahli PMUM, Abraham ahli PMUM, Syamimi Munira Mohamed ahli PMUM dan Khairul Anwar ahli PMUM akan dikenakan tindakan tatatertib dan dihadapkan ke mahkamah universiti kerana membawa masuk Anwar Ibrahim untuk berucap di Universiti Malaya baru-baru ini. Mereka juga berjuang mempertahankan Kampung Chubadak Tambahan yang dirampas tanah mereka baru-baru ini.

Akhir sekali, saya mahu melontarkan soalan yang perlu kalian jawab dengan ikhlas. Adakah ini tidak membunuh generasi yang kritikal dan kritis? Adakah ini tidak membunuh pelapis kepimpinan negara? Mereka ini adalah mahasiswa yang lantang ke depan mendepani isu rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Adakah kita rela universiti terus dikongkong AUKU dan HEP dengan usahanya yang mengekang idea dan suara mahasiswa? Mahasiswa adalah tulang belakang dan pelapis kepada kepimpinan negara. Pemimpin datang dan pergi. Apakah kita mahu dipimpin oleh mereka yang penakut serta tidak kritis dan kritikal ideanya? Di manakah hala tuju pendidikan negara?

Suarakan pendapat kalian dan sokonglah perjuangan mahasiswa bagi membentuk sebuah masyarakat sivil.

- Muhammad Ashraf adalah anggota Kelab Bangsar Utama


SOURCE : FREE MALAYSIA TODAY

No comments:

Post a Comment