Apa motif kau datang ke sini? Mahu hancurkan sesama Islam di sini? Kau datang sini menghasut bikin apa? Bikin malu sahaja.
PETALING JAYA: Selepas dibebaskan daripada ditahan di Kota Kinabalu, Sabah, tersebar pula video di laman sosial ‘disebalik tabir’ mengenai situasi yang berlaku sewaktu kedatangan Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) Fahmi Zainol dan rombongannya sewaktu memasuki Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Video yang berdurasi selama 4:02 minit itu telah dimuat naik oleh seorang pengguna Youtube yang menggunakan ID Buaya Biawak.
Di dalam video tersebut, telah dipaparkan Fahmi dan rakan-rakannya diugut oleh ‘samseng-samseng’ dengan menyatakan “Universiti Malaya (UM) kau boleh buat itu macam, ini Sabah kau mahu buat ini macam? Saya bagi ‘bet’ sama kau, kau ‘try’. Tiada kepala kau di Semenanjung,” kata seorang individu yang tidak dapat dikenal pasti.
Di dalam video itu juga dipaparkan beberapa orang anggota keselamatan berada di lokasi kejadian bagi mengawal keadaan. Individu tersebut juga mencabar Fahmi bersama 7 lagi rakannya, dengan mengatakan “Kau keluar, kalau kau berani, kau ‘try’ diluar”.
Bukan itu sahaja, terdapat juga individu lain yang mempersoalkan kedatangan Fahmi ke UMS. “Apa motif kau datang ke sini? Mahu hancurkan sesama Islam di sini? Kau datang sini menghasut bikin apa? Bikin malu sahaja,” soal individu tersebut.
Tidak terhenti di situ, Fahmi dan rakan-rakan terus dikecam, “Kasi habis kau punya belajar dahulu, ini bukan semenanjung yang kau boleh bikin macam-macam. Ini orang Sabah”.
Lelaki tersebut turut mengeluarkan kata-kata kesat, dituruti teriakkan, “Kami orang Sabah, jangan kau ingat bukan-bukan, ini anak Sabah. Kau ‘try’ lah orang Sabah. Perpaduan kami tinggi di sini,”
Teriakkan individu tersebut disambut dengan tepukan oleh beberapa ‘penyokong’ individu tersebut yang menyokongnya. Perkataan-perkataan seperti anjing dan syaitan turut dilemparkan kepada Fahmi dan rombongannya dalam siri ‘Jelajah Reformasi’ ke UMS itu.
Individu dan beberapa orang ‘penyokong’ itu juga dilihat cuba menyembunyikan adegan ‘disebalik tabir’ itu dengan tidak membenarkan rakaman dan gambar diambil. Ini dapat dilihat apabila individu tersebut mempersoalkan individu-individu lain yang cuba mengambil gambar ‘bukti’ kejadian.
Di dalam video tersebut juga dapat dilihat, telefon bimbit individu yang mengambil gambar dirampas kerana tindakannya yang mengambil gambar. Fahmi di dalam Twitter miliknya turut memberitahu bahawa akaun Facebooknya telah disekat dan sebarang maklumat hanya boleh didapati di Twitter @fahmizainol_.
Sebelum ini, Fahmi dan 7 lagi rakannya telah dibebaskan setelah ditahan 2 kali di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu. Difahamkan, Fahmi bersama rakannya turut diarahkan menjalani ujian air kencing.
Fahmi mencetuskan kontroversi akibat tindakan beraninya meneruskan program “40 Tahun: Dari Universiti Malaysia ke Penjara” meskipun mendapat bantahan daripada pengurusan universiti UM.
Beliau bersama 7 lagi rakannya sedang menghadapi tindakan tatatertib daripada UM selain turut dikenakan pendakwaan mengikut Akta Hasutan 1948.
Jumaat lepas, Fahmi dan rakan-rakannya telah berkumpul di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Gombak bagi menyertai ‘Jelajah Mahasiswa’ di kampus itu. (Free Malaysia Today)
No comments:
Post a Comment