OLEH: SAIMON S
JUMADI
SANDAKAN: Penduduk yang menetap di kawasan
rendah dan berhampiran sungai dinasihati supaya sentiasa berwaspada dan
bersedia menghadapi kemungkinan banjir.
“Cuaca mendung dan hujan yang turun tidak
henti-henti telah mengakibatkan banjir di beberapa kawasan di negeri ini. Jika
ia berlarutan, kemungkinan banjir akan melanda kawasan-kawasan yang
lain,” Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Datuk Zakaria
Haji Mohd Edris berkata kepada media di sini kelmarin.
Maka saya menasihati penduduk yang tinggal di
kawasan rendah dan berdekatan sungai agar mengambil langkah berjaga-jaga untuk
menghadapi kemungkinan banjir pada musim tengkujuh ini, tambah Zakaria yang
juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Gum Gum.
“Para penduduk harus bersedia dengan apa-apa
kemungkinan terutama apabila hujan turun berterusan dan ditambah faktor air
pasang kebiasaannya menjurus kepada fenomena banjir. Mereka perlu ambil
perhatian kepada perkara ini dan apa yang terbaik adalah untuk semua pihak
mengambil langkah berjaga-jaga,” kata Zakaria.
Zakaria meminta penduduk kerap mendengar laporan
kaji cuaca terkini melalui radio serta akhbar-akhbar dan bersedia untuk
berpindah jikalau diarah oleh pihak berkuasa apabila berlaku banjir di
tempat-tempat mereka.
Menurut Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri
Sabah jumlah mangsa yang ditempatkan di lima pusat pemindahan di tiga
daerah dua hari lepas meningkat kepada 910 orang berbanding dengan 615 orang
hari Jumaat.
Kawasan-kawasan yang terlibat ialah Kota Belud (810
orang), Kota Marudu (82) dan Pitas (18).
No comments:
Post a Comment