Friday, 23 January 2015

PENDUDUK TEPI PANTAI JANGAN DENGAR KHABAR ANGIN KATA ZAKARIA


OLEH: SHAIMON S JUMADI



GUM-GUM : Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Gum Gum Datuk Zakaria Haji Mohd Edris menasihati masyarakat khususnya penduduk di pesisir pantai supaya tidak mudah mempercayai  berita palsu yang sengaja dibuat untuk menakutkan orang ramai.


Mengambil contoh, Zakaria berkata khabar angin sekumpulan pengganas dari Selatan Filipina telah mencerobohi perairan kita dan mendarat di Kampung Luboh, dalam Mukim Rancangan Sungai Manila bulan Disember lepas itu telah mencetuskan ketakutan kepada orang ramai.

Justeru itu, Zakaria yang juga Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, mengingatkan masyarakat supaya sentiasa merujuk kepada pihak keselamatan atau ESSCOM apa juga berita yang tersebar untuk mengetahui kesahihannya.

 “Masyarakat perlu terus bekerjasama dengan pasukan keselamatan dan ESSCOM dengan memberikan maklumat yang benar agar sebarang ancaman dapat ditangani dengan segera. Mereka juga perlu yakin dengan jaminan pihak keselamatan dalam menjaga kedaulatan dan keselamatan daripada sebarangan ancaman serta pencerobohan,” tambah Zakaria.

Beliau turut mengingatkan pemimpin-pemimpin masyarakat agar tidak melindungi sebarang kegiatan jenayah atau Pendatang Tanpa Izin (PATI) di kawasan masing-masing.

Katanya lagi, pihaknya tidak akan berkompromi jika didapati terdapat pemimpin berbuat demikian memandangkan perbuatan itu cuba menggugat keamanan dan ketenteraman awam.

“Sebaliknya mereka perlu melaporkan kepada pihak keselamatan atau ESSCOM mengenai perkara itu,” kata Zakaria.

“Kita yakin dengan adanya ESSCOM maka isu keselamatan sudah tentu terjamin dan rakyat bebas untuk menjalankan aktiviti harian seperti sedia kala,” katanya lagi.

“Pihak agensi keselamatan mampu untuk mengawal keadaan jika berlaku apa jua kemungkinan," katanya.

Zakaria menyambut baik dan memuji dedikasi serta komitmen yang ditunjukkan oleh ESSCOM dalam penganjuran program seperti yang telah diadakan di sini hari Rabu lepas.

Beliau percaya ia akan menjadi landasan kepada rakyat dan pihak penguatkuasa keselamatan dalam menangani sebarang  kemusykilan dan jenayah di kawasan perairan di Pantai Timur Sabah.

Zakaria berkata demikian di sini kelmarin ketika diminta mengulas mengenai penganjuran Majlis Pertemuan ESSCOM bersama Masyarakat Mukim Rancangan Sungai Manila di Dewan Penyayang Taman Cahaya Kampung Muhibbah.



No comments:

Post a Comment