Wednesday, 28 January 2015

Sabah milik kami – Esmail Kiram II




Tidak pernah menggunakan perkataan menuntut, tidak timbul soal pencerobohan kerana berdasarkan sejarah Sabah adalah milik Kesultanan Sulu


PETALING JAYA: Sultan Esmail Kiram II yang mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu mengisytiharkan adiknya, Datu Phugdal Kiram akan memegang gelaran Raja Muda dalam apa yang dipanggilnya sebagai Kesultanan Sulu.


Esmail memberitahu pada Selasa bahawa Phugdal, 68, dipilih kerana undang-undang Kesultanan mengenai penggantian yang menetapkan bahawa calon mestilah mempunyai keturunan langsung daripada Sultan Sharif ul-Hashim, Sultan Sulu yang pertama, lapor mStar Online.

Phugdal, yang merupakan seorang guru di sekolah awam, akan mengambil alih gelaran Raja Muda yang dipegang oleh abangnya, Allahyarham Azzimudie Kiram, 74 yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 13 Januari lalu.

Azzimudie mengetuai pencerobohan kumpulan bersenjata Sulu ke Kampung Tanduo di Felda Sabah 17 berhampiran Lahad Datu, Sabah, pada Februari 2013 yang membawa kepada pertempuran berdarah.

Apabila ditanya mengapa seorang lagi saudara lain, Datu Alianiapa tidak dinamakan untuk mengambil alih gelaran daripada Azzimudie, Esmail berkata di bawah undang-undang penggantian Kesultanan Sulu, Phugdal adalah lebih tua dalam adik-beradik dan bukan adiknya Alianiapa.

“Ada yang menyebarkan khabar angin mengenai perebutan kuasa untuk menunjukkan bahawa kita tidak bersatu. Datu Phugdal adalah pengganti yang sah,” katanya.

Ketika ditanya sama ada terdapat rancangan untuk menyerang Sabah lagi, Esmail berkata tidak timbul soal pencerobohan kerana berdasarkan sejarah Sabah adalah milik mereka.

“Kami tidak pernah menggunakan perkataan menuntut kerana Sabah adalah milik kami,” katanya.

Semasa serangan tentera untuk mendapatkan semula Tanduo pada Mac 2013, Azzimudie dan beberapa pengikutnya melarikan diri ke Tawi-Tawi tempat di mana dia telah bersembunyi sehingga kematiannya.

Kira-kira 60 orang, termasuk sembilan anggota keselamatan rakyat Malaysia terbunuh, dalam operasi terhadap kumpulan lelaki bersenjata Sulu.

Lain-lain yang ditahan termasuklah anak Esmail, Datu Amir Bahar Husin Kiram.

Mereka telah ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) dan kemudiannya didakwa atas pelbagai kesalahan termasuk pengkhianatan.


Perbicaraan sedang berjalan. (Free Malaysia Today)

No comments:

Post a Comment