Tuesday, 3 February 2015

Curi setandan kelapa, dua sahabat didenda RM1,000


OLEH : WARTAWAN SINAR HARIAN


Suhaimi (kiri) dan Lias masih sempat tersenyum ketika keluar dari mahkamah, hari ini


KOTA BHARU - Kedengaran lucu, namun ia realiti. Pengajaran buat dua sahabat kerana mencuri setandan kelapa milik seorang pekebun, mereka akhirnya didenda RM1,000 oleh mahkamah majistret, di sini, hari ini.


Denda diputuskan Majistret, Mohd Firdaus Zainal Abidin selepas kedua-duanya mengaku salah atas tuduhan itu dan sekiranya gagal menjelaskan denda, mereka perlu menjalani hukuman penjara selama sebulan.

Mohd Alias Ali, 29, dan rakannya, Suhaimi Salleh, 37, didakwa mencuri kelapa milik Ahmad Awang, 64, di kawasan kebun Kampung Binjai Banggu, di sini, pada jam 5.30 petang, 29 Januari lalu.

Dalam kejadian itu, pengadu sendiri melihat dua lelaki berkenaan sedang mengait buah kelapa di dalam kebunnya dan bertindak menghubungi pihak polis.

Selang lima minit kemudian, datang polis dan menahan kedua-duanya. Ketika ditahan, mereka juga gagal menunjukkan kad pengenalan diri.

Bagi kesalahan itu, mereka masing-masing didenda RM1,000 atau dua bulan penjara jika gagal jelas denda terbabit.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kelantan, Nurliyana Md Zukri memohon hukuman yang dapat memberi pengajaran kepada mereka dengan alasan bukti kecurian adalah jelas apabila mereka ditahan ketika kecurian itu.


“Kedua-duanya juga dilihat seperti sengaja tidak membawa kad pengenalan untuk melakukan kesalahan lain (mencuri),” katanya. (Berita Harian)

No comments:

Post a Comment