Monday, 2 February 2015

MAS bayar pampasan 3 minggu lepas selesai proses dokumentasi



Wang pampasan mangsa tragedi Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 akan dimasukkan ke dalam akaun waris kira-kira tiga minggu selepas proses dokumentasi dan kertas kerja selesai, kata Pengarah Krisis MH370/MH17, Fuad Sharuji.
  
Beliau berkata terlebih dahulu waris perlu membuktikan pertalian dengan mangsa dengan memberikan dokumen seperti sijil kelahiran dan sijil perkahwinan yang telah disahkan oleh Pesuruhjaya Sumpah.
  
Menurutnya selepas dokumen berkenaan sudah disah dan diserahkan maka bayaran akan dibuat terus ke dalam akaun waris dalam tempoh tiga minggu.
  
"Peguam kami akan menghubungi waris dan akan membantu mereka dalam proses dokumentasi tersebut," katanya dalam program 'Landskap' terbitan RTM1 yang dikendalikan oleh Sayed Munawar Sayed Mustar dan Shuhaimi Mohamed.
  
Program tersebut disertai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya dan Naib Presiden Kanan dan Ketua Komunikasi Korporat MAS, Datuk Najmuddin Abdullah
  
Fuad berkata jumlah pampasan dijangka akan dibayar lebih dari apa yang ditetapkan oleh Konvensyen Montreal 1999 tapi jumlah pampasan tersebut tidak boleh didedahkan lagi.
  
"Pampasan kita lebih dari skema minima (Konvensyen Montreal)... kita bagi satu jumlah (pampasan)...mungkin ada pelarasan tertentu jika waris dapat buktikan penumpang patut dapat lebih (pampasan).
  
"Contohnya, ahli keluarga atau mangsa berpendapatan tinggi, umur masih muda dan patut dapat lebih banyak... kita boleh pertimbangkan," katanya.
  
Beliau turut ditanya mengenai syarikat insurans hayat, Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) yang telah menyelesaikan hampir kesemua tuntutan bernilai RM16.875 juta oleh anggota keluarga dan waris.
  
Jelasnya, itu adalah insurans nyawa yang diambil sendiri penumpang yang ada insurans dan tidak perlu menunggu deklarasi untuk tuntutan dan pembayaran.
  
Beliau berkata ini berbeza berbanding MAS yang memberikan pampasan berikutan penumpang menggunakan perkhidmatan penerbangannya.
  
Menjelaskan mengenai keperluan deklarasi kematian penumpang pesawat MH370, Fuad berkata kerajaan memutuskan untuk membuat deklarasi bagi memudahkan pampasan disalurkan kepada mangsa terlibat.
  
Beliau berkata tanpa deklarasi, waris terpaksa menunggu sehingga tujuh tahun (untuk isytihar seseorang yang hilang itu telah mati) untuk meneruskan dengan tuntutan pampasan.
  
"Memang boleh bagi pampasan tanpa deklarasi. Tapi deklarasi penting untuk waris dapatkan pengesahan.
  
"Kalau ikut perundangan, kena tunggu tujuh tahun. Tapi adakah kita hendak tunggu? Jadi kerajaan ambil keputusan untuk buat deklarasi dan kita boleh ambil kesempatan ini untuk teruskan dengan pampasan," katanya.
  
Khamis lepas, kerajaan Malaysia mengisytiharkan kehilangan pesawat penerbangan sebagai nahas di bawah peraturan penerbangan antarabangsa dan kesemua 239 penumpang serta anak kapal dianggap terkorban.
  
Ketika membuat pengumuman itu, kerajaan Malaysia menegaskan bahawa misi mencari pesawat Boeing 777-200ER itu tetap menjadi keutamaan.
  
Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal ke Beijing, hiland daripada imbasan radar sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam, 8 Mac tahun lepas.
  
Pesawat milik MAS itu sepatutnya tiba di ibu negara China itu pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.

- Bernama

No comments:

Post a Comment