Oleh: Shaimon S Jumadi
KARAMUNTING : Masyarakat tentunya rugi jika sesuatu kemudahan asas yang membawa banyak manfaat tidak dijaga sebaik mungkin padahal ianya penting sebab dapat digunakan semua pihak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karamunting, Charles O Pang berkata, setiap kemudahan disediakan pihak kerajaan hendaklah sentiasa terjaga lebih-lebih lagi bagi masyarakat amat memerlukannya selama ini.
Beliau berkata, mana-mana wakil rakyat pun tidak pernah mengabaikan permintaan akar umbi malahan mereka bekerja keras dengan membantu untuk memastikan kemudahan yang diperlukan dapat disalur demi kepentingan bersama.
Katanya, perkara ini perlu difahami kerana mengambil kira usaha-usaha membawa pembangunan yang dibuat adalah bagi kepentingan rakyat jelata maka peri pentingnya segala kemudahan dijaga sebaik-baiknya.
"Saya berpesan di sini agar Dewan Serbaguna Kampung Air yang tersergam indah ini perlu dijaga kerana faedahnya banyak kepada penduduk setempat termasuklah di sekitar sini.
"Banyak aktiviti yang boleh dibuat samada majlis-majlis perkahwinan mahu pun aktiviti sukan atau yang melibatkan program kemasyarakatan. Jadi, jaganya sebaik mungkin kerana tanggungjawab berkenaan adalah bersama.
"Sebagai wakil rakyat, tentu rasa bangga kerana saya difahamkan bahawa Dewan Serbaguna ini merupakan satu-satunya dewan yang mempunyai keluasan yang terbesar di Sandakan.
"Ini menunjukkan kerajaan kita yakni Barisan Nasional (BN) sentiasa prihatin dan peka terhadap keperluan serta permintaan rakyat. Hal ini selaras dengan slogan kerajaan BN iaitu 'Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan'
"Dengan adanya dewan ini, saya berharap ianya dapat memberikan para penduduk kampung manfaat dan sekali gus menggunakan sebaik mungkin dengan mengadakan pelbagai aktiviti dan program yang ada di kampung.
"Untuk itu, demi menjaga keselamatan dan keselesaan penduduk setempat yang menggunakan dewan serbaguna ini, saya akan menaiktaraf lagi dewan ini dengan membaiki apa yang patut dibaiki melalui peruntukan Khas Adun pada masa yang akan datang," jelasnya.
Charles menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan Dewan Serbaguna Kampung Air di Jalan Bokara Lama, dekat sini, kelmarin.
Hadir sama Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Haji Mohd Hamsan Awang Supain; Pegawai Kerja Kanan di Bahagian Pembangunan Luar Bandar MPS, Norijah Haji Sani; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Karamunting, Alex Loh dan wakil-wakil daripada agensi kerajaan seperti Polis, Maritim, Bomba, Jabatan Belia serta Pengerusi JKKK Kg Air, Jafar Mustapah termasuk pemimpin masyarakat setempat.
Terdahulu dari itu, Hamsan berkata dengan terbinanya dewan serbaguna ini akan memberikan peluang kepada penduduk kampung untuk menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Malah, kata beliau, penduduk setempat terutama di sekitarnya boleh memanfaatkan kemudahan dewan serbaguna ini seperti mengadakan aktiviti-aktiviti yang berfaedah.
"Yang penting jaga kebersihan dewan serbaguna agar ianya terus terpelihara. MPS, sebagai agensi pelaksana akan sentiasa memantau apa jua keperluan yang boleh dipertingkatkan bagi membolehkan masyarakat memanfaatkan kemudahan asas ini," katanya.
No comments:
Post a Comment