sumber : Page Facebook Dr Wan Azizah Wan Ismail
Keputusan Meletakkan Kesemua Buku Pada Berkadar Sifar Di Saat Akhir Bukti Kerajaan Tidak Bersedia Dengan Pelaksanaan Gst
Setelah bertalu-talu diasak dan ditekan; termasuklah menerusi penyertaan 100 warganegara Malaysia yang membuat aduan di kaunter awam Pejabat Kastam Kelana Jaya pada 23 Mac, Kementerian Kewangan akhirnya menambah senarai barang dan perkhidmatan yang dikecualikan cukai di bawah regim baru (GST) cukai barang dan perkhidmatan yang bermula 1 April ini.
Ternyata, kita mengalu-alukan keputusan kerajaan yang memperluaskan GST pada kadar sifar yang dahulunya hanya tertakluk buat buku tertentu seperti buku latihan, kamus, buku teks, buku rujukan, kitab agama, surat khabar termasuk versi elektronik, buku bergambar, buku lukisan dan buku berwarna kanak-kanak yang diumumkan sebelum ini; kini dikadarsifarkan buat semua jenis bahan bacaan. Akhirnya gesaan rakyat, beserta rangkaian warga penerbitan dan pembaca terlaksana jua.
Saya juga mengalu-alukan keputusan meluaskan skop ubat-ubatan yang berkadar sifar dibawah rejim GST, walaupun, saya ingin menggesa kerajaan untuk mengkadarkan sifar terus kesemua perkhidmatan, ubatan dan juga alatan kesihatan, untuk tidak menambah beban rakyat terbanyak.
Pun begitu, pengumuman di saat akhir sebegini menimbulkan kebimbangan samada kerajaan benar-benar bersedia untuk mengimplementasikan GST April ini?
Pertama, wajib dipersoalkan mengapa kebimbangan mengenai GST ke atas ubat-ubatan dan buku yang saya bangkitkan semenjak November 2014 gagal diendahkan.
Yang kedengaran hanya komentar hambar Timbalan Menteri yang melahirkan kebimbangan kawalan bagi caj perkhidmatan di rumah pasca keluhan isteri Perdana Menteri dan dandanan rambut yang mencecah RM1,200.
Kerajaan dan pihak kastam punyai lebih enam tahun masa persediaan bagi menilai impak sosial dan merancang pelaksanaan regim GST yang rapi.
Malangnya, 6 hari sebelum pengenalan GST, senarai pengecualian masih belum dimuktamadkan. Apakah pampasan dapat diberikan kepada syarikat-syarikat penerbitan - samada berskala kecil atau besar - yang sudah melaksana pembelian stok barangan yang sudah dicukai dalam senarai terdahulu?
Ternyata, kegagalan pejabat Kastam menjawab persoalan rakyat menerusi 106 persoalan yang dibangkitkan oleh rakyat yang membantah GST di Kelana Jaya tempoh hari mencalar kewibawaan dan kesediaan kerajaan dalam memperkenal regim cukai baru kelak. Lebih malang apabila soalan tidak terjawab, dan mereka yang menyoal dikasari, ditangkap dan kemudiannya didakwa. Keengganan bersifat terbuka dan konsultatif sebegini terserlah menerusi keputusan ad hoc di saat akhir. Di manakah bukti bahawa perancangan pengenalan GST ini kononnya demi manfaat rakyat terbanyak? Bagaimanakah mencukai ilmu dan kesihatan dilihat sebagai manfaat?
Kita dapat menjangkakan bahawa lebih banyak kekhilafan bakal disedari kelak - apakah jaminan bahawa di masa mendatang pihak kastam tidak akan menukar fikiran mereka - lantas menambah atau mengurangkan senarai barangan yang dikecualikan atau dikenakan GST?
Justeru, kerajaan wajib menangguhkan pengenalan regim GST sehinggalah rakyat mempunyai pendapatan median dua kali ganda daripada nilai sekarang; kerajaan benar-benar bersedia, dan meleraikan kekeliruan dalaman atau dasar ad hoc yang menyulitkan pelaksanaan; dan Perdana Menteri dan anggota kabinet mengorak langkah membanteras keborosan dan rasuah yang semakin membarah sehingga ke saat ini.
NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
NAIB PRESIDEN KEADILAN
PENGARAH JAWATANKUASA PILIHANRAYA PUSAT KEADILAN
No comments:
Post a Comment