Wednesday, 15 April 2015

DAP Gesa Kerajaan Persekutuan Beri Lebih Bidang Kuasa Kepada Kerajaan Sabah Urus Tadbir Negeri, Kekang Gerakan Pemisah




DAP Sabah...akhirnya tidak bersetuju dengan tindakan SSKM membawa Sabah keluar dari Malaysia



DAP Sabah menggesa kerajaan persekutuan memberikan lebih bidang kuasa pentadbiran kepada kerajaan Sabah (desentralisasi) supaya pembahagian kemakmuran dan urus tadbir negeri akan lebih teratur,  adil dan menyeluruh. Gesaan ini juga selaras dengan semangat Perjanjian 20 Perkara dalam pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 yang telah dipersetujui. 


"Saya mengemukakan gesaan ini memandangkan sudah tiba masanya Sabah diberi ruang untuk menikmati pembangunan yang setanding dengan negeri-negeri di semenanjung Malaysia.

"Ini kerana, sejak Sabah membentuk Malaysia, ia seolah-olah dianak tiri oleh persekutuan sedangkan Sabah banyak menyumbang kepada ekonomi negara sehingga pernah disenarai sebagai negeri termiskin dalam Malaysia. Sabah juga masih ketinggalan jauh dari sudut pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman," ujar Jimmy Wong.


Gesaan ini juga bertepatan dengan dasar Pakatan Rakyat sebelum ini yang memperjuangkan “Desentralisasi dan pengupayaan pengurusan ekonomi negeri” dimana kerajaan negeri akan diberikan lebih bidang kuasa dalam menentukan pentadbiran ekonomi dan perlaksanaan pembangunan infrastruktur.


Disebabkan pembangunan yang tidak seimbang antara semenanjung dan Sabah, ada kalangan rakyat Sabah merasakan "negara" mereka seolah-olah menjadi sebahagian dari ‘tanah jajahan’ Semenanjung. Dalam masa yang sama, kebajikan dan keselamatan rakyat Sabah terus terhakis dan terancam. Hal ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan rakyat Sabah umumnya. Sabah dan Sarawak harus dilayan sebagai rakan kongsi persekutuan dan bukan sebaliknya.


Masih ramai rakyat Sabah di kawasan kampung dan pedalaman tidak mempunyai kemudahan infrastruktur yang baik seperti jalan, bekalan air, elektrik, kemudahan kesihatan dan sebagainya sehingga pernah ada kes di mana penduduk Pitas terpaksa menggunakan kerbau untuk membawa pesakit ke jalan utama. Situasi seperti ini terlalu banyak berlaku dan ia menyedihkan.


Mungkin hasil rasa tidak puas hati itu, wujud sebuah kumpulan dinamakan Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM). Mereka menjalankan kempen-kempen dilaporkan untuk meraih sokongan supaya Sabah dan Sarawak berpisah dari Persekutuan Malaysia.


"Sebelum itu, ingin saya tegaskan sekeras-kerasnya bahawa saya tidak menyokong apa juga usaha untuk memisahkan Sabah dan Sarawak dari Persekutuan Malaysia. Begitu juga dengan prinsip DAP yang sama sekali tidak akan menyokong apa juga gerakan yang berlawanan dengan semangat Pembentukan Malaysia dan “Malaysian Malaysia," tegas Jimmy Wong.


Sebagai langkah untuk mengekang gerakan pemisah ini, kerajaan telah mencadangkan sebuah pindaan Rang Undang-undang Akta Hasutan yang antara lain menyatakan “A excites a person of a group of persons to demand for the secession of State B from Malaysia. Such act is seditious.” 


Persoalannya, adakah menggunakan pindaan ini, Malaysia akan bebas dari sebarang ancaman pemisah atau seumpamanya? Bagi pandangan saya, untuk mengelak dari berpisah tidak semestinya perlu menggunakan undang-undang yang zalim. Sentimen dan perasaan rakyat Sabah Sarawak perlu dilihat dengan mendalam sepertimana telah saya nyatakan diatas.


Pembelaan di sini bukan bermaksud memberi sokongan kepada tuntutan untuk keluarkan Sabah dan Sarawak dari Malaysia. Membela hak seseorang tidak bermaksud kita setuju dengan pendirian seseorang. 


Sebaliknya, tidak bersetuju dengan pendirian seseorang itu tidak pula bermaksud kita boleh lucutkan hak mereka. Hak kebebasan seseorang haruslah dipertahan dan dibela. Penyokong SSKM itu hanya jalankan kempen mengutip tandatangan dan mengedar risalah kepada orang ramai, ia dijalankan secara aman, tiada keganasan berlaku dan tiada pun hasutan untuk revolusi.


Berkaitan SSKM, PDRM telah pun menahan 9 orang penyokong SSKM di Tuaran pada 2 Februari 2015, dan 5 orang pula ditahan di Lahad Datu pada 8 Februari 2015. 


Saya percaya wujud kaedah lain yang lebih baik dan demokratik. Saya amat berharap Perdana Menteri boleh mencontohi kerajaan UK menangani isu pemisahan ini. Kerajaan UK mengurus cabaran pemisah Scotland dengan sikap terbuka. Mereka memberi layanan wajar dan ruang kepada pemisah Scotland  dengan mengemukakan referendum kepada Scotland. Hakikatnya, Kebanyakan rakyat Scotland masih mahu bersama UK. 


UK tidak gunakan Akta Hasutan untuk menahan semua pemisah Scotland dan penjarakan mereka selama 7 tahun tanpa perbicaraan. Jika itu berlaku, mereka akan dianggap sebagai tidak bertamadun. Bagi pandangan saya,  Akta Hasutan tidak akan menghentikan suara kumpulan pemisah ini tetapi hanya akan menggalakkan perasaan tidak puas hati.


Jika pindaan Akta Hasutan ini hanya menambah rasa tidak puas hati rakyat Sabah dan Sarawak, ia bakal menjadi seperti gunung berapi yang meletup, maka, sejarah akan menghakimi kerajaan BN sebagai ‘golongan pemisah’ yang sebenar. Saya sekeras-kerasnya menolak pindaan rang undang-undang Akta Hasutan ini.


"Saya ingin tegaskan, untuk menyelesaikan masalah ini, sentimen dan perasaan rakyat Sabah dan Sarawak perlu diteliti sedalamnya dan diambil kira. Kerajaan Sabah harus diberi lebih kepercayaan untuk mengurus tadbir negeri yang mana dilihat mampu merapatkan jurang ekonomi dan pembangunan negeri. Saya amat yakin, rakyat Sabah umumnya sangat menyokong semangat Pembentukan Malaysia, justeru ia harus dihormati dan dipertahankan" tegas Jimmy Wong sebagai membuat kesimpulan akan pendirian DAP terhadap perkara ini.



No comments:

Post a Comment