LAKSANAKAN TUGAS... Razak (dua dari kanan) bersama Marjaran Osman dan Penolong Pegawai Daerah Semporna Haji Abdullah Sukka di majlis tersebut
SEMPORNA: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung di seluruh negara akan dilantik sebagai Penolong Pendaftar Pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya untuk mendaftar pengundi baru.
Setiausaha Politik Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Dato' Razak Tun Sakaran berkata, JKKK akan berkerjasama dengan pihak Kemas, JASA dan SPR untuk melaksanakan program pendaftaran pengundi baru di setiap kampung yang mereka wakili.
“Sebagai badan yang dilantik oleh kerajaan JKKK, akan bertindak sebagai Penolong Pendaftar bagi mendaftarkan pemilih baru terutamanya golongan muda agar mereka mendaftar sebagai pemilih untuk menjamin hak mereka mengundi di dalam sesuatu pilihan raya dan menjalankan tanggungjawab sebagai warganegara” katanya ketika ditemui selepas mewakili Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Dato Sri Panglima Haji Mohd Shafie Hj. Apdal merasmikan Pelancaran Taklimat Perlantikan JKKK Sebagai Penolong Pendaftar SPR bagi kawasan Parlimen P.189 Semporna dekat sini kelmarin.
BERI PENJELASAN...Razak ketika berucap mewakili Shafie merasmikan program tersebut
Hadir sama Wakil Setiausaha Tetap Kementerian Kemajuan Luar Bandar Marjaran Osman dan Penolong Pegawai Daerah Semporna Haji Abdullah Sukka.
Menurut Razak yang juga Ketua Penerangan Umno Bahagian Semporna, di peringkat awal semua Pengerusi JKKK khususnya di kawasan Parlimen Semporna akan memastikan penduduk kampong yang mereka wakili telah mendaftar sebagai pemilih termasuklah mendaftarkan pemilih baru.
HADIR...Antara pengerusi JKKK dari kawasan Parlimen Semporna yang hadir ke majlis taklimat tersebut
“Dari pemantuan kita masih ada penduduk termasuk ahli keluarga JKKK dan Ketua Cawangan parti Umno atau Barisan Nasional yang belum mendaftar sebagai pemilih sedangkan di pihak pembangkang mereka begitu aktif mendaftarkan ahli mereka mendaftar sebagai pemilih” katanya.
Sehubungan dengan itu Razak meminta JKKK termasuk ketua ketua cawangan Umno perlu proaktif melaksanakan program pendaftaran pemilih baru ini dari masa ke semasa agar tidak ada penduduk mahupun ahli parti Umno/Barisan Nasional yang tercicir dari pendaftaran sebagai pemilih yang sah.
“Diperingkat Umno bahagian ketika telah melaksanakan program pendaftaran pemilih baru ini melalui program Membara yang telah dan akan kita anjurkan dari masa ke semasa" katanya.
No comments:
Post a Comment