Oleh: Darrel Mat Salong
Gambar RUDY S MAIRI 6 – Presiden PMS.
TENOM: Pertubuhan Mamagun Sabah (PMS) sependapat dengan beberapa persepsi lain bahawa kemungkinan ada sindiket yang mengarah sebagai 'dalang' dan ianya berpengkalan di Kuala Lumpur untuk mengatur kebanjiran warga asing ke negeri ini, yang bukan sahaja kepada warga Pakistan tetapi juga kepada warga Indonesia, Filipina dan lain-lain.
Oleh itu, salah satu daripada jalan penyelesaian untuk mengikis segala kebimbangan ini, PMS amat bersetuju cadangan Adun Tamparuli Datuk Seri Wilfred M Bumburing agar semua Kad Pengenalan ditarik balik dan digantikan dengan Kad Pengenalan baru keluaran Sabah, kata Presidennya Rudy Sulaiman Mairi.
Rudy berkata demikian pada Selasa sebagai mengulas isu kebanjiran warga Pakistan di Sabah sepertimana yang telah di nyatakan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum beberapa hari lalu.
Pada minggu lalu, Malanjum menggesa pihak berkuasa memeriksa dokumen semua rakyat Pakistan di Sabah selepas penemuannya terhadap lima warga Pakistan bersalah kerana menggunakan visa dan pas lawatan sosial yang butirannya adalah palsu.
“Agak mustahil isu ini (kebanjiran warga asing) tidak dapat diselesaikan, jika pihak berkuasa ikhlas dan jujur untuk menanganinya, (daripada) banyak bercakap sahaja, tidak ada jalan penghujungnya, malahan masalah terus berlarutan sehingga berdekad lamanya.
“Kerajaan harus memperketatkan kawalannya terhadap pelawat yang memasukki negeri ini dan jangan ada ruang bagi mereka ini lolos masuk ke negeri ini melalui laluan yang tiada pemeriksaan Imigresen khususnya di Menumbok atau di Jesselton Point.
“Jangan lagi ada anggapan bahawa laluan itu tidak mengancam keselamatan kerana ianya sesuatu perkara kecil menyebabkan ada kelonggaran namun kita harus tegas untuk menutup ketirisan dengan seberapa yang boleh,” katanya.
Dalam pada itu, berhubung dengan kritikan bekas Ahli Parlimen Libaran Datuk Akhbar Khan Abdul Rahman terhadap Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum pada baru-baru ini tidak wajar kerana ia sekadar didorong oleh emosinya.
Semua orang tahu bahawa apa yang dinyatakan Malanjum itu merupakan senario yang benar-benar berlaku hari ini diseluruh Sabah khususnya di Pedalaman; warga Pakistan bertapak disitu baru beberapa tahun dengan jumlah yang semakin bertambah malahan ada diantaranya tidak boleh bertutur dalam Bahasa Malaysia.
“Kita jemput bekas MP Libaran itu turun padang dan melawat diseluruh pelusuk daerah untuk melihat sendiri keadaan sebenar sebelum membuat kritikan membuta tuli terhadap Malanjum yang bercakap menerusi fakta dan bukan semborono.
“Mungkin Datuk Akhbar terkejut apabila mendapat tahu ada di antaranya tidak langsung faham berbahasa Malaysia tetapi mempunyai Kad Pengenalan dan tempat kelahirannya pula di kawasan jauh terpencil di daerah Pedalaman,” tegasnya.
No comments:
Post a Comment