Thursday, 11 June 2020

Shafie: Tiga kali Anifah hubungi Mohammadin minta lompat parti





Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal mendakwa bekas menteri pelancongan, Mohammadin Ketapi dipujuk oleh Anifah Aman supaya meninggalkan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Beliau berkata tiga kali bekas menteri luar itu menghubungi wakil rakyat berkenaan supaya melompat parti.

"Mohammadin maklum kepada saya sudah dihubungi tiga kali oleh Anifah aman pujuk berbagai perkara yang sekiranya nak memasuki parti perjuangan mereka.

"Saya tanya (Mohammadin) you sure (awak pasti)....Mohammadin kata saya tahu suara dia, saya tahu nombor telefon dia," katanya di Kota Kinabalu, hari ini.




Mohd Shafie bagaimanapun berkata bahawa wakil rakyat Warisan telah membuat keputusan untuk kekal bersama parti yang dipimpinnya.

Namun, Mohammadin tidak bersama Mohd Shafie pada sidang media yang berlangsung petang tadi.

Mohd Shafie memaklumkan yang anggota Parlimen Lahad Datu itu berada di Kuala Lumpur dan telah memaklumkan pendiriannya untuk kekal bersama Warisan.

"Mohammadin berkata apa juga keputusan beliau tetap akan mempertahankan, pendirian beliau cukup jelas," katanya.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi Mohammadin dan Anifah berkaitan dakwaan itu.

Sebelum ini, Umno Sabah menafikan tuduhan Mohd Shafie bahawa parti itu dan bekas ketua menteri Musa Aman sedang "membeli wakil rakyat" bagi menjatuhkan kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan) di negeri itu.

Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin berkata kenyataan yang dikeluarkan pemimpin parti Warisan itu adalah bersifat provokasi melampau serta hasutan.


Beliau berkata, kerajaan Warisan adalah kerajaan pintu belakang dalam erti kata sebenarnya dan kerajaan itu goyang disebabkan ketidakupayaan mereka mentadbir negeri.

"Kekalutan dalam pentadbiran kerajaan Warisan ditambah lagi Mohd Shafie dibarisi kabinet dan pemimpin yang mengamalkan sindrom penafian, kurang bekerja untuk rakyat, itu menjadi punca kerajaan Warisan goyang.

"Tiada kena mengena dengan dakwaan yang Umno sedang melakukan gerak kerja untuk merampas kuasa daripada kerajaan yang asalnya dari belakang.

"Warisan perlu sedar bahawa kerajaan yang ditubuhkan mereka secara pintu belakang tidak pernah kukuh sejak dari awal lagi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata selain Mohammadin beberapa lagi nama pemimpin parti Warisan disebut-sebut oleh pihak lawan akan meninggalkan parti itu.

Oleh itu beliau meminta pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya bertindak terhadap pihak yang cuba menyogok wakil rakyat ini.

"Saya harap agensi-agensi berkaitan seperti SPRM, ambil tindakan.

"Tawar jawatan, imbuhan wang ini rasuh untuk dapatkan sokongan," katanya .

Jelas Mohd Shafie wakil rakyat Warisan tidak akan sesekali berpaling tadah kerana maruh dan perjuangan mereka tidak boleh dinilai dengan wang ringgit.

Sumber : Malaysiakini

No comments:

Post a Comment