Monday, 10 August 2020

Program PANTAS ukur 36,137 hektar tanah NCR


 

KOTA KINABALU: Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) yang dilaksanakan sejak 2011 berjaya menyelesaikan kerja pengukuran tanah hak adat anak negeri (NCR) seluas 36,137 hektar sehingga akhir tahun lalu.

 

Ia membabitkan 21,378 lot tanah di 92 kampung di 16 daerah seluruh negeri dengan kebanyakannya di kawasan luar bandar dan pedalaman seperti Beaufort, Tuaran, Ranau, Kota Marudu, Sipitang dan Semporna.

 

 

Daerah lain ialah Beluran, Kinabatangan, Tongod, Nabawan, Papar, Kudat, Sandakan, Keningau, Lahad Datu dan Tawau dengan kerja pengukuran dilaksanakan 80 pasukan juru ukur yang dilantik Jabatan Tanah dan Ukur Sabah (JTU).

 

Peruntukan khas RM20 juta setahun biaya program

 

Pengarah JTU, Datuk Safar Untong, berkata program itu dibiayai menerusi peruntukan khas untuk tanah NCR daripada kerajaan Pusat berjumlah kira-kira RM20 juta setahun, termasuk untuk pengukuran tanah bagi pengeluaran hak milik secara berkelompok atau Geran Komunal.

 

"Melalui Bajet 2018, kerajaan memperuntukkan RM20 juta lagi bagi melaksanakan kerja pemetaan dan pengukuran berkaitan dengan tanah adat di Sabah bagi mempercepatkan pengeluaran geran PANTAS dan Komunal di seluruh negeri tahun ini," katanya.

 

Atasi kelewatan

 

Beliau berkata, pendekatan itu untuk memastikan pengeluaran geran berstatus anak negeri (NT) untuk tanah NCR yang sudah lama diduduki dapat dipercepatkan bagi mengatasi kelewatan dalam proses permohonan biasa sebelum ini.

 

Program PANTAS adalah inisiatif kerajaan negeri dengan kerjasama kerajaan Pusat bagi menyelesaikan isu NCR yang membelenggu rakyat Pribumi Sabah sejak sekian lama.

 

Ketika Majlis Penyerahan Geran PANTAS di Kiulu yang disempurnakan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, baru-baru ini, Safar menjelaskan penduduk menyokong usaha itu dan memberi kerjasama yang baik ketika kerja pengukuran tanah dijalankan.

 

Bagi daerah Tuaran, katanya sebanyak 2,141 lot tanah diukur di empat kampung iaitu di Lokos, Nulu, Tiong Ratau dan Tiong Simpodon selepas kira-kira dua tahun kerja pengukuran dijalankan oleh 29 pasukan juru ukur sejak 1 Februari 2015.

 

Katanya, kerja pengukuran tanah NCR akan diteruskan lagi di seluruh negeri dengan kira-kira 17,000 hektar tanah disasar dapat diukur menggunakan peruntukan RM20 juta yang disediakan kerajaan bagi program PANTAS dan Geran Komunal di seluruh negeri tahun ini.

 

Bincang naikkan peruntukkan ukur tanah NCR

 

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika lawatannya ke Kiulu pada 22 Mac lalu, memberi jaminan akan membincangkan cadangan bagi menaikkan lagi peruntukan pengukuran tanah NCR di negeri ini.

 

Katanya, perkara itu akan dibincangkan bersama Ketua Menteri berikutan permintaan pemimpin negeri ini agar peruntukan program itu ditambah bagi membolehkan lebih ramai rakyat yang menduduki tanah NCR dapat memiliki geran.

 

Sumber : Berita Harian

 

No comments:

Post a Comment