RAYU….penduduk kampung rayu campur tangan kerajaan selesaikan masalah tadahan air yang bakal dicemari dan diceroboh syarikat kelapa sawit.
Oleh: ROZIE JUMAT
PENDUDUK Kampung Pangas Ulu, Keningau, Sabah merayu agar kerajaan masuk campur bagi menyelamatkan pusat tadahan air di kampung itu yang bersempadan hanya 50 meter dari kawasan perladangan yang kini sedang dirintis oleh syarikat perladangan kelapa sawit.
Pengerusi JawatanKuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kg.Pangas Ulu, Jinus Angkis, 43, berkata, seramai 250 penduduk di kampung itu dan sekitarnya yang bergantung kepada punca air di Sungai Sikaraan, akan terjejas kerana penanaman kelapa sawit itu sangat hampir dengan pusat tadahan air.
“Kami sangat bimbang dengan keselamatan dan kesihatan kami, kerana sudah pastinya penebangan kayu dan juga penggunaan racun bakal menjejaskan punca air kami satu-satunya di kawasan ini,” kata Jinus yang membawa Sabahkini.net ke kawasan pusat tadahan tersebut yang terletak di dua buah bukit tidak jauh dari perkampungan Pangas Ulu.
Sementara itu Ketua Kampung, Alexander A.Pantin, 50, berkata, pihaknya telah membantah penyukatan kawasan PT .91130649 (CL.135366871) dan PT .91130647 (CL.135366862) sejak dari tahun 2000 kerana memasuki kawasan tadahan air graviti kepada Penolong Pemungut Hasil Tanah dan Ukur Daerah Keningau.
Malahan kata Alexander, Pihak Jabatan Pengairan dan Saliran juga telah memberi surat kepada Penolong Pemungut Hasil Tanah yang menyokong permohonan kampung mengenai pembatalan penyukatan dengan menyertakan pelan lokasi kawasan-kawasan tadahan air bagi Negeri Sabah.
Setelah berusaha agar pusat tadahan tersebut tidak diganggu dan jaminan surat Penolong Pemungut Hasil Tanah kepada Juru Ukur Daerah yang meminta penyukatan tersebut ditangguhkan pengukuran sehingga isu tadahan air diselesaikan.
Bagaimanapun kata Alexander, apabila mereka membuat rujukan mengenai bantahan mereka itu pihak pejabat berkenan memberi alasan akan mencari fail tersebut.
“Kadangkala apabila ada pegawai yang kami cari mengenai bantahan itu, kakitangan memberi alasan pegawai tidak berada di pejabat sambil menunjukkan bilik yang kosong, mereka tidak mahu melayan kami,” kata Alexander yang mahu masalah tersebut diselesaikan dengan segera kerana telah mengambil masa yang sangat lama untuk diselesaikan.
Pada 2003, kata Alexander, kawasan yang telah diukur pada tahun 2000 mula diusahakan dengan tanamam kelapa sawit dan kawasan yang mereka bantah agar dikeluarkan dari penyukatan itu tidak mempunyai perubahan.
“Kami telah berjuang sejak 2000 untuk memastikan pusat tadahan air ini tidak diganggu, pihak pengurusan ladang kelapa sawit itu telah bertukar sebanyak tiga kali, dan pemilik terkini mahu meluaskan penanaman kelapa sawit dan hasratnya itu akan menjejaskan pusat tadahan air kami,” kata Alexander.
Pihak kami dan pemilik ladang itu telah mencari jalan penyelesaian dengan menemui Penolong Pemungut Hasil Tanah yang meminta kami menulis surat kepada Pengarah Jabatan Tanah Dan Ukur sama ada geran tanah itu dibatalkan atau sebaliknya.
“Masa sangat suntuk bagi kami kerana kerja-kerja merintis tanah itu telah dimulakan dan ianya sangat hampir lebih kurang 50 meter dari pusat tadahan tersebut,” kata Alexander.
Sehubungan dengan itu kata Alexander, penduduk kampung merayu agar Ketua Menteri Sabah dan Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur membantu mereka menyelesaikan masalah itu dengan segera.
Menurut Alexander, Pusat tadahan air tersebut telah digazet oleh Jabatan Kesihatan semasa era Datuk Lawrence Gimbang menjadi wakil rakyat di kawasan itu dan baru-baru serombongan kakitangan kerajaan telah melawat tapak tadahan itu dan menyatakan pusat tadahan itu akan dinaiktaraf.
Tetapi pihak pengurusan ladang sawit itu menafikan adanya pusat tadahan di situ dan menuduh orang kampung menipu.
Sementara itu Jinus (Gambar bawah) berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus campur tangan dalam menyelesaikan masalah permohonan tanah di kawasan perkampungan di luar bandar kerana, sebagai contoh, penyukatan tanah di kampung yang dilakukan pada tahun 2000 mudah mendapat geran berbanding permohonan yang dikemukakan oleh penduduk asli di kampung itu yang dibuat pada tahun 1980-an yang masih menunggu geran sehingga kini.
KESAL.... Jinus kesal kerana kawasan reparian dicerobohi dan Jabatan Kerajaan hanya tutup mata.
“Adakah kerja juru ukur swasta lebih diiktiraf berbanding juru ukur kerajaan? kerana penyukatan juru ukur swasta lebih cepat diproses berbanding juru ukur kerajaan, SPRM tolong pantau,” kata Jinus kerana ramai penduduk di kampung itu masih menunggu geran tanah yang mereka pohon sejak tahun 1980-an.
“Ada yang sudah meninggal tetapi tidak mendapat geran tanah mereka,” kata Jinus.
No comments:
Post a Comment