Oleh: DATUK RAIME UNGGI
Tuan Yang Di-Pertua,
Terima kasih saya ucapkan kerana diberi kesempatan dan peluang dalam Perbahasan Usul Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertua Agong di dewan yang serba indah dan mulia ini. Kita juga bersyukur kerana negara kita terus maju kehadapan mengikut acuan sendiri serta berada dalam keadaan aman damai walaupun dihuni pelbagai bangsa, agama dan budaya kerana kita telah dikurniakan pemimpin yang bijaksana, tegas dan adil.
Tuan Yang Di-Pertua,
Sebagaimana yang kita maklum, sektor pertanian merupakan teras pembangunan luar bandar dan ini menunjukkan nafas baru kepada golongan peladang dan pekebun kecil yang sebahagiannya terdiri daripada golongan pribumi yang dahagakan perubahan hidup kepada yang lebih baik; seiring dengan arus pembangunan Negara dan bersesuian pula dengan Titah ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong yang memberi penekanan kepada sektor ini.
Kita tidak mahu warga desa atau penduduk di kawasan pendalaman ini terus terpinggir dan terhimpit di belenggu kemiskinan.
Maka, tibalah masanya untuk kita membangun dan meningkatkan corak hidup dan pendapatan perkapita mereka melalui sektor pertanian moden yang memfokuskan peningkatan pengeluaran hasil termasuk beras, sayur-sayuran, buah-buahan, perikanan dan ternakan secara lebih kompherensif, tersusun dan berorientasikan komersial yang lebih meluas dan melahirkan petani berpendapatan tinggi serta menggalakkan pelaburan sektor swasta yang lebih besar termasuk pelaburan asing.
Sehubungan ini, teras dasar adalah meningkatkan pengeluaran pertanian termasuk penerokaan sumber pertumbuhan baru dengan penyertaan sektor swasta yang lebih besar seperti Sime Darby dan sebagainya.
Dalam pada itu, usaha akan dilaksana untuk meningkatkan pengeluaran pertanian melalui pembangunan tanah baru, tanam semula, penyatuan dan pemulihan tanah serta penggunaan lebih meluas klon dan baka bermutu tinggi, kejuruteraan ladang dan amalan agronomi yang baik ke arah peningkatan produktiviti.
Penglibatan sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) harus digalakkan untuk meningkatkan pelaburan pertanian melalui insentif dan sokongan yang lebih baik bukan hanya dalam penanaman kelapa sawit malah juga penanaman kopi secara besar-besaran dan juga dalam bidang ternakan. Tumpuan juga hendaklah diberikan untuk meningkatkan penyertaan individu petani dan penternak dalam aktiviti tersebut.
Justeru, melalui bantuan dan kerjasama, Jabatan Persekutuan dan juga negeri khususnya kepada jabatan berkenaan, agar dapat menyalurkan bantuan dari segi modal, kepakaran, infrastrukrur, Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) yang berterusan. Dengan sokongan demikian, saya percaya hasil pengeluaran akan bertambah serta berkualiti sekaligus menambah pendapatan golongan pekebun kecil.
Dengan yang demikian, maka pulangan yang dizahirkan kepada para petani dan pekebun kecil ini barulah dikatakan berbaloi dengan jumlah tenaga dan masa kerja yang mereka curahkan, pada masa yang sama dapat menyangkal tuduhan yang mengatakan sektor ini tidak menjanjikan pendapatan yang lumayan.
Saya berharap harga komoditi ini akan berterusan malah bertambah baik sebagai tanda dan sokongan kerajaan dalam membantu golongan ini agar sama-sama menikmati kekayaan di negara ini secara saksama lagi adil sejajar dengan hasrat kerajaan untuk membasmi kemiskinan tegar.
Tuan Yang Dipertua,
Sektor pertanian telah memainkan peranan yang besar terutama dalam mengubah kehidupan masyarakat di luar bandar. Inisaitif kerajaan dalam penubuhan institusi-institusi pembangunan kawasan, penyatuan dan pemulihan tanah seperti FELDA, FELCRA, RISDA dan agensi-agensi (FAMA, PELADANG, JABATAN PERTANIAN DAN JABATAN HAIWAN) harus dipergiatkan lagi bagi mendokong matlamat pembasmian kemiskinan, di mana keberhasilannya nanti bukan sahaja dapat menjana pendapatan yang lumayan kepada petani-petani luar bandar malahan juga meningkatkan ekonomi Negara.
Pada setengah tahun 2010 sahaja, harga makanan dunia melambung sehingga 32 peratus akibat bencana alam termasuk kemarau di Rusia, Kazakhstan dan Negara Eropah, di samping banjir yang melanda India, China dan Australia. (Sumber Rencana Berita Harian 21/02/2011).
Kini tiba masanya untuk kita memandang serius masalah pertanian di negara kita amnya, khususnya di daerah Tenom. Masalah bencana alam yang tidak menentu ketika ini amat mempengaruhi pengeluaran hasil pertanian. Transformasi sektor pertanian ke arah yang lebih dinamik dan berdaya saing harus ditingkatkan kerana ianya untuk mengurangkan pergantungan terhadap barangan import bahan makanan dalam jangka masa yang panjang.
Sebagai suatu langkah masa panjang, kerajaan juga harus memperluaskan fungsi Kementerian Pertanian dan Asas Tani bukan sahaja merangkumi bidang pertanian, malah turut merangkumi bidang industri asas tani.
Tujuannya adalah supaya sektor pertanian dan industri asas tani dimajukan berdasarkan semua aspek pengurusan rangkaian bekalan, iaitu dari peringkat pengeluaran benih, pengendalian lepas tuai, penyimpanan, peruncitan, pemborongan, pemasaran, penjenamaan, pemerosesan sehingga dijual kepada pengguna. Selain daripada pengeluaran pertanian, fokus masa hadapan akan diberi kepada industri asas tani yang boleh disertai oleh industri kecil dan sederhana.
Hari ini pelbagai teknologi moden telah diperkenalkan, khususnya dalam sektor pertanian. Maka tidak hairan ia pengeluaran hasil produk berasaskan pertanian telah bertambah. Walaubagaimanapun adakah kita sedar hanya segelintir golongan petani yang dapat menggunakan teknologi moden ini seperti penggunaan jentera, baja kimia, racun dan lain-lain lagi.
Malah ada sesetengah teknologi ini tidak sampai ke kawasan pedalaman yang kebanyakannya adalah petani. Justeru itu, golongan petani yang berada nun jauh di kawasan pedalaman ini masih bergantung dengan kaedah tradisional yang lebih murah walaupun hanya membawa kepada hasil yang sedikit dan hanya dapat menampung kehidupan seharian.
Apa lagi dengan kekurangan teknologi moden yang diperkenalkan kepada mereka. Contohnya di Tenom, peladang hanya mempunyai beberapa buah jentera yang tidak mencukupi untuk membantu golongan petani dalam mengusahakan tanah sawah mereka. Malah jentera ini digunakan untuk pelbagai kegunaan yang tidak tertumpu kepada satu sektor sahaja. Ini juga mempengaruhi pengeluaran hasil padi di kalangan mereka.
Dalam erti kata lain, usaha kerajaan ke arah pertanian moden tidak kesampaian akibat penggunaan kemudahan teknologi masih di tahap yang rendah, sistem pengairan yang secara tradisional serta tidak efisyen dan tidak menyeluruh, bahkan mereka tidak menikmati sistem pertanian modern secara saksama kerana kekurangan jentera pengemburan tanah. Lantaran itu, banyak tanah terbiar dan tidak diurus secara lestari.
Saya merasa sedih melihat kini banyak kawasan sawah yang terbiar kerana tidak diusahakan. Saya yakin sekiranya kawasan-kawasan ini diusahakan maka dapatlah menambah hasil pendapatan petani yang mengusahakannya. Namun sebaliknya yang terjadi. Kawasan-kawasan ini terbiar ditumbuhi rumput yang tidak mendatangkan faedah kepada rakyat.
Namun begitu, saya berterima kasih kepada Kerajaan kerana telah menyalurkan peruntukan untuk memajukan kawasan pertanian padi sawah di Kuala Tomani, Tenom; sedikit sebanyak dapat meningkatkan hasil pegeluaran beras mereka. Bagaimanapun saya berharap agar kawasan ini terus diberi perhatian oleh kementerian yang terbabit supaya kawasan sawah ini dapat diusahakan sepenuhnya oleh petani di Kuala Tomani.
Akhir kata, sebagai tanda penghargaan kepada penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman, yakni warga petani yang juga tidak ternilai jasa mereka, mohon Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah dapat menyalurkan sedikit peruntukan untuk menangani permasalahan mereka agar tidak berlanjutan, sekaligus membolehkan mereka duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan sektor lain.
Ya, setuju untuk membagunkan industri agrikultur menjadi sektor pertanian, penternakan dan perikanan moden.
ReplyDeleteSektor ini amat berpeluang menjadi sektor yang maju dan bernilai tinggi jika dilakukan dengan cara yang betul.
ReplyDeleteaktiviti pertanian memang mempunyai potensi untuk dimajukan kerana permintaan yang banyak.
ReplyDeleteaktiviti pertanian penting dalam menjana ekonomi negara. para petani harus jadikan pertanian sebagai satu perniagaan.
ReplyDeleteSemoga ekonomi argikultur akan maju dan terus maju pada masa hadapan.
ReplyDeleteTahniah dan terima kasih diucapkan kepada Datuk Raime kerana begitu perihatin dalam pembelaan nasib rakyat di luar bandar terutamanya P181 Tenom. semoga usaha beliau akan membuahkan hasil kerana yang bakal menikmatinya adalah kita para petani.
ReplyDeleteIf they are willing to work hard, they could succeed in everything.
ReplyDelete