Oleh : ZULKIFLI JALIL
KELMARIN, ketika sidang akhbar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Putrajaya untuk memaklumkan persetujuan penggunaan dakwat kekal pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), tidak ada langsung kelibat sampel botol dakwat berkenaan.
Maka, tertanya-tanyalah pihak media. Jika pada 2007 hanya peringkat pegawai suruhanjaya itu yang diarahkan mengendalikan urusan dakwat kekal berkenaan termasuklah urusan pengimportan dan kuantitinya, kali ini kerja itu hanya dimonopoli seorang sahaja; Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria .
Segalanya rahsia, kalau tahu pun alkisah dakwat ini cuma seorang lagi, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof. Tidak lagi sewenang-wenangnya sampel dakwat itu ditunjukkan atau didemonstrasikan oleh pegawai seperti mana yang lepas.
Pada PRU 2008, suruhanjaya itu pernah bercadang menggunakan dakwat kekal ini tetapi dibatalkan kerana selain dikatakan melanggar perlembagaan (sebenarnya cuma menyalahi peraturan), timbul pula laporan dakwat terbabit diseludup dari Thailand. Lantas, dakwat dengan kos RM 2.4 juta itu dilupuskan pada 25 November 2009.
Begitupun, perlu diperjelaskan di sini bahawa penggunaan dakwat kekal atau indelible ink yang dipersetujui SPR ini bukan bermakna siri berbelas-belas pilihan raya umum dan berpuluh-puluh pilihan raya kecil yang berlangsung sejak merdeka termasuk awal sedikit pada 1955 tidak telus.
Persetujuannya disebabkan untuk menghapuskan persepsi oleh pembangkang bahawa kononnya pilihan raya yang dijalankan tidak telus.
Kalau dakwaan ini diterima pakai, masakan pembangkang boleh menang lima negeri pada 2008 dan Pas boleh memerintah Kelantan selama lebih 20 tahun dengan sesekali menguasai Terengganu.
Dan sehingga hari ini pun, dakwaan kononnya pilihan raya yang berlangsung di negara ini yang dikatakan tidak adil boleh ditolak bulat-bulat kerana tidak ada satu pun petisyen pilihan raya pun difailkan sehingga membatalkan keputusan pilihan raya di sesebuah kerusi Parlimen dan DUN terbabit.
Justeru, penggunaan dakwat kekal pada PRU13 ini hanyalah untuk mengelak rakyat negara ini daripada mengundi lebih dari sekali.
Beberapa negara seperti Pakistan, Afghanistan, India, Filipina, Indonesia dan negara membangun lain telah pun menggunakan dakwat kekal dalam bentuk penanda pilihan raya bagi menghalang penipuan pilihan raya.
Jawatankuasa pilihan raya di India misalnya menggunakan dakwat kekal dalam banyak pilihan raya, menanda jari dan kuku pengundi. Ia bertujuan untuk mengesahkan seseorang itu telah menunaikan tanggungjawabnya.
Indonesia turut menggunakannya semasa pilihan raya di Aceh. Di Mali, ia diletakkan pada kuku jari tangan di mana dokumen pengenalan warganegara tidak terpiawai atau berinstitusi sekali gus menjadikan pengesahan identiti pengundi tidak diperlukan.
Dakwat kekal turut digunakan di sesetengah negara mundur seperti di Afrika yang mana penduduknya terlalu ramai hingga menyukarkan bancian, pendaftaran, dan kawalan.
Dakwat kekal bererti ‘tidak dapat dihilangkan’. Tanda dakwat kekal biasanya kalis air dan tahan selama beberapa hari atau hampir seminggu.
Tanda ini akan hilang apabila sel kulit lama mati dan digantikan dengan sel kulit baru. Oleh itu sebarang tanda pada kutikel dijamin hilang dalam tempoh 2-3 minggu. Begitupun sesetengah dakwat kekal memiliki jangka hayat simpanan yang pendek kerana pelarut yang digunakan cepat terpeluwap.
Di negara ini, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 8 Ogos 2007 telah membincangkan Hukum Penggunaan Dakwat Kekal Dalam Pilihan Raya Malaysia.
Muzakarah memutuskan bahawa berdasarkan penjelasan dan hasil ujikaji yang telah diberikan oleh pakar-pakar dalam bidang kimia serta hujah-hujah dan pandangan ahli-ahli Jawatankuasa, muzakarah memutuskan Indelible Ink ini tidak mengandungi bahan-bahan najis yang diharamkan oleh syarak, tidak mendatangkan mudarat kepada kesihatan dan tidak menghalang air untuk sampai ke kulit apabila digunakan.
Oleh itu penggunaan Indelible Ink adalah dibenarkan oleh syarak kerana ia tidak akan menimbulkan masalah kepada ibadah umat Islam.
Bagaimanapun, keputusan muzakarah pada 2007 ini hanya tertakluk kepada kandungan dan tahap ketelapan Indelible Ink yang dicadangkan penggunaannya pada PRU 2008.
Ini bermakna keputusan muzakarah tersebut tidak lagi boleh dipakai dalam konteks persetujuan pengunaan dakwat ini yang diputuskan SPR semalam kerana jenis dakwat berkenaan masih dirahsiakan.
Apa pun, perkara pokok yang diutamakan dalam penggunaan dakwat ini ialah ia tidak mendatangkan kesan pada kesihatan sekiranya termakan atau terminum, kuantiti sedikit yang dijangka dapat bertahan sekurang-kurangnya 24 jam dan penggunaannya tidak akan menimbulkan sebarang keraguan dari aspek hukum syarak.
Afghanistan pernah dicemari oleh isu penggunaan dakwat kekal. Ia didalangi oleh pihak tertentu di mana kerajaan yang hendak digulingkan dituduh melakukan penipuan jenis dakwat yang digunakan. Kerajaan yang disasarkan untuk digulingkan dituduh sebagai tidak telus dan memanipulasikan dakwat kekal.
SPR dengan sokongan Jawatankuasa Terpilih Parlimen bagaimanapun diyakini cukup berwibawa untuk mengelakkan menularnya unsur-unsur seumpama ini menjelang PRU13. (UM)
Mungkin kita kena tunggu sedikit masa lagi untuk mengetahui sejauh mana hasil kajian SPR mengenai penggunaan dakwat kekal.
ReplyDeletekeputusan penggunaan dakwat kekal dibuat SPR berdasarkan beberapa keprluan, ia tak perlu dipertikaikan lagi.
ReplyDeleteramai yang minta penggunaan dakwat kekal tapi sekarang lain cerita pula.
ReplyDeletebila dakwat kekal diluluskan, Perkasa pula yang lebih dahulu membantah. takkanlah nanti sebab ugutan Perkasa bahawa orang Melayu tidak mahu keluar mengundi, maka keputusan ini diubah lagi?
ReplyDeletetidak perlulah persoalkan penggunaan dakwat kekal ni. kalau memang orang yang dipertanggungjawabkan untuk laksanakan pilihanraya jalankan tugas dengan amanah, pilihanraya pasti terlaksana dengan bersih dan adil.
ReplyDeleteSPR ada tanggungjawab memastikan pilihan raya berjalan dengan lancar, adil dan bersih tanpa berat sebelah. Harap mereka akan menunaikan tanggungjawab mereka dengan baik.
ReplyDeleteHarap penggunaan dakwat kekal akan dipertimbangkan semula kerana ia satu cara yang boleh memastikan tiada pengundi yang berulang.
ReplyDeleteyang penting sekarang, spr telah bersetuju menggunakan dakwat kekal sebagai jawapan kepada tuntutan pembangkang dan rakyat Malaysia yang mahukan proses pilihanraya bersih dan adil..
ReplyDeletejika pembangkang masih gagal merampas kerajaan selepas ini, anggaplah kegagalan itu berpunca dari kelemahan sendiri..
ReplyDeleteBagaimana penggunaan dakwat kekal ini dapat menjamin ketelusan sistem pengundian?
ReplyDeletesekarang ni SPR bersetuju untuk menggunakan dakwat kekal..itu perkembangan yang baik.
ReplyDeleteharap ini akan dapat menambahbaik sistem pilihanraya sedia ada.
ReplyDeleteHarap perkara ini akan dapat dikaji sebaiknya. penggunaan dakwat perlu dilihat boleh membantu atau tidak.
ReplyDelete