Oleh : AMIN ISKANDAR DAN
HAFIDZ BAHAROM
SHAH ALAM : Penganalisis
telah mempertikaikan hasil kajian badan tinjauan bebas yang menunjukkan
penurunan sokongan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan parti
pemerintah Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya umum (PRU). Hasil
kajian itu dikatakan tidak menggambarkan sentimen sebenar pengundi.
Khamis lalu, Merdeka Center
menyatakan penilaian terhadap kelulusan Najib turun satu peratus kepada 64
peratus pada bulan Jun tetapi penilaian kelulusan terhadap BN menurun enam
peratus kepada 42 peratus pada bulan sama dan penurunan paling tampak adalah antara
pengundi Melayu.
Penganalisis politik
memberitahu The Malaysian Insider bahawa penurunan dalam penilaian bukanlah
satu penunjuk tepat bagaimana prestasi BN pada PRU 13 kerana responden yang
dikaji, terhad jumlahnya.
“Isu-isu yang berkenaan
dengan rating biasanya bersifat sementara,” kata Prof Datuk Paduka Mohamad Abu
Bakar dari Universiti Malaya (UM).
“Sebab isu ini dihadam untuk
disegerakan impaknya seperti pemberian bonus, pemberian kupon ataupun voucher
itu semua adalah bersifat sementara,” kata pemangku Ketua Jabatan Kajian
Strategik dan Hubungan Antarabangsa universiti terkemuka itu.
“Itu sebab rating perdana
menteri boleh turun naik dalam waktu yang singkat dan tidak semestinya
mempengaruhi pilihan raya kerana bila tiba pilihanraya isu dah tidak panas
lagi,” kata Mohamad ketika dihubungi oleh The Malaysian Insider semalam.
Selain itu, Mohamad juga
berkata, sokongan terhadap prestasi PM, Datuk Seri Najib Razak tidak boleh
diterjemahkan menjadi sokongan kepada BN oleh kerana populariti peribadi Najib
belum tentu mempengaruhi BN secara keseluruhan.
“Sokongan terhadap prestasi
Najib tidak boleh terjemahkan menjadi sokongan terhadap BN.
“Sebab Najib adalah peribadi
persendirian yang belum tentu mempengaruhi kedudukan BN secara keseluruhan.
“Kenaikan atau penurunan
persepsi terhadap Najib belum tentu boleh diterjemahkan menjadi kenaikan atau
penurunan sokongan terhadap BN,” katanya lagi.
Najib menjadi PM keenam
negara selepas jawatan diserahkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi kepadanya pada
April 2009, setahun selepas BN hilang penguasaan majoriti dua pertiga di
Parlimen dan empat buah negeri. Beliau memerlukan mandat peribadi dalam PRU
akan datang dan berharap untuk meningkatkan prestasi BN berbanding PRU 2008.
Pengarah Eksekutif Institut
Asas Kajian Kemasyarakatan (INSKA), Anuar Mohd Nor mengatakan bahawa hasil
kajian Merdeka Center terhadap prestasi Najib sebagai tidak tepat.
Menurut Anuar, sokongan
politik bukanlah seperti pasaran saham yang boleh turun naik dalam masa yang
begitu singkat.
“Macam mana sokongan
terhadap PM turun dan naik mendadak dalam masa setahun?
“Sokongan bukanlah sejenis
komoditi atau harga saham,” katanya.
Pengarah Eksekutif INSKA itu
juga tidak bersetuju dengan hasil kajian Merdeka Center yang mengatakan berlakunya
penurunan sokongan orang-orang Melayu kepada BN.
“Saya rasa survey ini tidak
tepat. Saya percaya sokongan orang Melayu masih lagi bersama BN, atau lebih
spesifik lagi bersama Umno,” katanya lagi.
Menurut Anuar lagi, masalah
utama BN kini adalah parti-parti komponen yang lain seperti MCA, Gerakan dan
MIC tidak berkerja keras sepertimana yang dilakukan oleh Umno.
Sementara itu, Prof Dr Jayum
A. Jawan, pensyarah Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM)
berkata, berkata, adalah tidak tepat jika Merdeka Center menyatakan bahawa
sokongan masyarakat Cina kepada PM meningkat kerana itu tidak menggambarkan
situasi sebenar di lapangan.
Menurut Dr Jayum lagi, pada
PRU akan datang, sokongan masyarakat Cina terhadap Pakatan Rakyat (PR) lebih
kuat berbanding dengan PRU 2008.
"Dari pengalaman saya
turun kebawah mengajar dan menghadiri forum-forum baik sebagai pembicara atau
peserta, saya rasakan hasil kajian yang dibuat oleh Merdeka Center ini tidak
begitu tepat.
"Saya tidak fikir
pengundi Cina akan kembali menyokong Barisan Nasional. Ini adalah kerana
sentimen kemarahan mereka (masyarakat Cina) terlalu tinggi terhadap BN kerana
terlalu banyak isu yang gagal diselesaikan oleh kerajaan.
"Dalam pilihan raya
akan datang, peratusan masyarakat Cina yang mengundi pembangkang lebih tinggi
berbanding pilihan raya tahun 2008," kata Jayum ketika dihubungi oleh The
Malaysian Insider semalam.
Bagaimanapun, menurut
Mohamad badan-badan kajian dan survey seperti Merdeka Center, Pusat Kajian
Demokrasi dan Pilihan Raya (Umcedel) bagus kerana sekurang-kurangnya, kerajaan
kini mendengar pandangan dari badan-badan bebas.
“Kerajaan kini tidak hanya
mendengar laporan perisikan atau cawangan khas sahaja.
“Third opinion atau
pandangan tambahan itu bagus, mereka ini bebas.
“Tetapi survey mereka ini
juga terhad dan dibatasi oleh responden yang mungkin tidak mewakili pandangan
secara keseluruhannya,” katanya lagi.
Tinjauan pendapat Merdeka
Center yang dijalankan di kalangan pengundi di Semenanjung Malaysia menunjukkan
bahawa kepuasan terhadap prestasi PM keenam merosot di kalangan pengundi Melayu
dan India masing-masing daripada 79 peratus kepada 75 peratus, dan daripada 72
peratus kepada 69 peratus.
Walau bagaimanapun, pemimpin
pembangkang melihat keputusan kaji selidik itu menunjukkan persepsi pengundi
alternatif terhadap BN selepas memerintah lebih daripada setengah abad.
Tony Pua dari DAP dan
sekutunya dari PKR, Rafizi Ramli berkata menimbang dari keputusan kaji selidik
itu, populariti peribadi Najib adalah tidak mungkin dapat menyelamatkan kapal
BN yang hampir tenggelam dalam PRU 13, berdasarkan sokongan merosot di kalangan
pengundi Melayu, yang merupakan kaum terbesar iaitu sebanyak lebih 60 peratus
daripada jumlah populasi rakyat Malaysia pelbagai kaum yang berjumlah 28 juta
orang.
No comments:
Post a Comment