Oleh : RIDZAL ABDULLAH
LAHAD DATU : Golongan belia
adalah tunggak harapan negara yang bakal mewarnai dan mewarisi kepimpinan di masa
akan datang, terutama melestarikan status negara maju 2020.
Pembantu Menteri kepada
Ketua Menteri, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur menyeru belia khususnya di daerah
ini agar bersatu-padu dan saling nasihat menasihati untuk menjauhi gejala
sosial.
“Apabila golongan belia
cenderung berpersatuan, maka kesepaduan dan persefahaman mudah dibentuk, wujudnya
persatuan-persatuan belia secara langsung dapat menlahirkan belia yang
berdisiplin dan akan tersemai perasaan cintakan negara; sekaligus mengelak
daripada melakukan aktiviti sosial yang kurang sihat seperti penyalahgunaan
dadah, rempit dan sebagainya,” katanya semasa menerima kunjungan hormat
daripada Gabungan Persatuan Belia Tiga Daerah (3D) Zon Lahad Datu, di pejabat beliau petang tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri
itu juga megumumkan akan memberi bantuan pakaian seragam persatuan dan
perkhidmatan internet Wi-Fi di kawasan pejabat Belia dan Sukan Lahad Datu bagi
tujuan memberi keselesaan kepada ahli-ahli persatuan belia.
“Saya berharap agar jalinan
dan sokongan yang telah diberikan ini akan berterusan dan memberi manfaat baik
kepada semua pihak dan bagi pihak saya akan terus memberi bantuan kepada
golongan belia secara berterusan,” katanya.
Setiausaha Gabungan Belia
3D, Mohd.Khalid Sulaiman, berucap kepada pemberita berkata pihak mereka amat
berterima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Nasrun kerana menghargai dan
mengambil berat permasalahan yang dihadapi oleh golongan belia di daerah ini.
“Kami amat terharu dengan
kesungguhan Yang Berhormat untuk membimbing dan membantu kami, ternyata beliau
bukan sahaja ahli politik yang berjiwa rakyat malah berjiwa muda kerana mampu
menyelami hati kami,” kata Khalid.
Kunjungan hormat yang julung
kali diadakan di daerah ini melibatkan 10 buah persatuan belia diwakili oleh
Pengerusi Dan Setiausaha masing-masing dari daerah Lahad Datu dan Tungku itu
telah membawakan beberapa usul dan permohonan untuk membantu golongan belia.
No comments:
Post a Comment