Monday, 1 October 2012

UTUSAN MAHU MALAYSIAKINI MINTA MAAF




UTUSAN Malaysia hari ini menuntut Malaysiakini memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia atas dakwaan bahawa portal berita itu dibiaya jutawan George Soros.

Dalam edisi hujung minggunya hari ini, Awang Selamat – nama samaran untuk Pengarang Akhbar tersebut – juga mempersoalkan jika Malaysiakini berniat untuk menjadi 'Alat Pihak Asing'.

"Dengan sekian banyak bukti, jangan lagi berulang kali mendakwa portal itu bersifat bebas, itu hanya menghina diri sendiri. Belum terlewat lagi untuk kembali ke pangkal jalan, lebih-lebih lagi ini adalah soal kedaulatan," kata penulis tanpa nama itu.

Penulis berkenaan menyalahkan pembiaya asing yang didakwanya 'menjadi ancaman kepada keselamatan dan kedaulatan negara' atas laporan 'memburuk-burukkan kerajaan' dan menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam kempennya sebelum ini, Utusan turut melaporkan dakwaan seorang bekas editor Malaysiakini yang mendakwa salah seorang pengarah portal itu, Harlan M Mandel merupakan 'Orang Soros'.

Bagaimanapun, akhbar milik Umno itu tidak melaporkan kenyataan dan penjelasan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini, Premesh Chandran berhubung isu tersebut.

Akhbar itu juga tidak melaporkan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad sudah berbaik-baik dengan Soros dan turut meminta jutawan itu menyokong Projek Anti-Perang Forum Keamanan Dunia yang diusahakan Bekas Perdana Menteri itu.

Malaysiakini sebelum ini mendedahkan bahawa Mandel menjadi salah seorang Pengarah Mkini Dotcom Sdn Bhd selepas mengetuai Media Development Loan Fund pada tahun lalu.

No comments:

Post a Comment