MCA telah menggesa DAP
keluar daripada Pakatan Rakyat ekoran "provokasi berterusan" PAS,
demi "memelihara maruah" masyarakat Cina dan bukan Islam.
"Saya menggesa DAP
menarik diri daripada Pakatan kerana DAP tidak mempunyai kekuatan untuk
menangkis provokasi berterusan dan penindasan dari PAS yang membabitkan maruah
pengundi Cina dan bukan Islam," kata ahli jawatankuasa pusat MCA, Loh Seng
Kok dalam satu kenyataan kelmarin.
Beliau dirasakan merujuk
kepada laporan media mengenai seorang pendandan rambut wanita bukan Islam di
Kota Bharu yang didakwa telah disaman oleh majlis perbandaran kerana memotong
rambut pelanggan lelaki.
"Walaupun Lim Guan Eng
dan PAS mendakwa bahawa dasar tegas PAS itu tidak akan menimbulkan ancaman
kepada amalan budaya bukan Islam, tetapi jika DAP tidak mahu menggadai hak
masyarakat Cina dan bukan Islam, maka DAP perlu menarik diri daripada Pakatan
dan mengisytiharkan dengan tegas bahawa mereka tidak menyokong undang-undang
hudud PAS bagi memadamkan kebimbangan masyarakat Cina dan bukan Islam tentang
kesan hudud PAS ke atas mereka," kata Loh (gambar kiri).
Loh membuat gesaan itu
selepas Setiausaha Agung MCA, Chew Lee Giok mengaitkan laporan itu kepada isu
hudud, yang menjadi bahan kempen utama MCA terhadap pembangkang menjelang
pilihan raya umum ke-13.
Sementara itu, Pengerusi
Wanita MCA Pulau Pinang , Tan Cheng Liang (kanan) dalam satu kenyataan
berasingan berkata PAS 'bohong' apabila mengatakan orang bukan Islam tidak akan
terjejas dengan undang-undang hudud.
"Penipuan ini direka
untuk kelihatan sederhana dan memenangi undi bukan Islam. Kes pendandan rambut
di Kota Bharu itu hanyalah satu lagi contoh bagaimana dasar PAS menyebabkan
kehilangan pendapatan secara tidak adil terhadap usahawan bukan Islam yang mahu
hidup secara yang jujur," katanya.
No comments:
Post a Comment