By : YUSOP TEPPO
SANDAKAN: Seorang kerani
yang trauma akibat ditetak sebanyak tiga kali oleh buruh ladang yang mengamuk
di Ladang Unisco, Desa 2, Kinabatangan Selasa lalu, menceritakan detik cemas
ketika kejadian itu.
Mangsa, Ledwina Peter, 24,
ketika ditemui di wad wanita Hospital Duchess of Kent (HDOK), di sini kelmarin,
menyatakan masih trauma dengan kejadian itu.
“Saya trauma selepas ditetak
dengan parang. Setiap kali mahu melelapkan mata, saya terbayang kejadian
ditetak tiga kali oleh buruh ladang yang mengamuk,” katanya.
Ledwina yang berasal dari
Kampung Maukab, Ranau berkata ini adalah kali pertama beliau berdepan detik
cemas seperti itu.
Menurutnya, ketika kejadian,
dia yang berada paling hampir dengan suspek cuba melarikan diri ketika melihat
lelaki berkenaan mengeluarkan parang, bagaimanapun ditetak sebelum sempat
berbuat apa-apa.
“Saya mengambil keputusan
untuk berhenti kerja kerana bimbang kejadian seperti ini akan berulang,”
katanya yang mengalami cedera di tengkuk, bahu dan belakang.
Dalam kejadian kira-kira jam
8.30 pagi Selasa lalu, suspek Yusri Kassim, 27, dipercayai mengamuk ekoran
berselisih faham dengan rakan sekerja ketika sesi taklimat pagi di kawasan
ladang berkenaan.
Suspek yang hanya memiliki
pasport itu berjaya ditenangkan dan dibawa masuk ke dalam pejabat, bagaimanapun
mengamuk kembali dan menetak mangsa sebanyak tiga kali.
Selepas itu, suspek
melarikan diri ke rumah pekerja dan turut mengamuk serta mengugut pekerja lain
di kawasan itu.
Anggota dari Pondok Polis
Kawasan (PPK) Tomanggong tiba dan cuba menenangkan dan menangkap suspek. Namun
dia enggan menyerah diri, malah menyerang polis dengan parang, hingga polis
terpaksa melepaskan dua das tembakan.
Selepas itu, suspek masih
lagi enggan menyerah diri dan terus menyerang polis. Anggota polis kemudian
melepaskan satu lagi das tembakan yang kena lutut suspek.
Dalam pada itu, Ketua Polis
Daerah Kinabatangan, Deputi Superintendan Martin Lugu memberitahu suspek
ditahan di Hospital Duchess of Kent untuk menerima rawatan lanjut berikutan
kecederaan yang dialaminya.
Beliau turut memberi
peringatan kepada syarikat perladangan khususnya yang terletak jauh daripada
balai polis agar sentiasa memantau keadaan pekerja mereka bagi mengelak
kejadian seperti itu berulang. (UB)
No comments:
Post a Comment