Sunday, 25 November 2012

PEKERJA SPA WARGA FILIPINA AKAN DIBEKU





KOTA KINABALU: Berkuatkuasa Januari tahun depan, pengambilan pekerja warga Filipina untuk bidang spa dan refleksologi akan dibekukan. Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk Mohammad Mentek (gambar sisipan) berkata penguatkuasaan berkenaan dibuat dengan mengambil kira pelbagai masalah sosial yang melibatkan pekerja warga terbabit.

Menurutnya, pihak berkuasa kerajaan negeri turut bersetuju dengan keputusan itu memandangkan banyak aduan yang diterima melibatkan perkhidmatan tidak bermoral yang ditawarkan termasuklah khidmat seks.

“Selain itu, mereka juga menawarkan diri menjadi ‘call girl’ kepada para pelanggan yang terdiri dari kalangan warga tempatan.

“Justeru, kita banyak menerima aduan daripada isteri-isteri warga tempatan yang diganggu gugat sehingga meruntuhkan rumahtangga dan berlaku perceraian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis tilawah al-Quran peringkat Jabatan Imigresen negeri di Dewan Semarak, Wisma Dang Bandang di sini malam Khamis lepas.

Mohamad berkata, pada masa ini terdapat 807 pekerja asing yang mendaftar sebagai pekerja spa dan refleksologi di Sabah.

Jelasnya, daripada jumlah itu, seramai 531 adalah warga China, 188 warga Filipina, 72 orang daripada Thailand dan 16 orang lagi warga Indonesia.








Tambahnya, mulai tahun depan, pihaknya turut menguatkuasakan tempoh mengisi kuota pekerja asing dalam sektor spa dan refleksologi yang dipendekkan kepada enam bulan berbanding dua tahun sebelum ini.

Menurutnya, para pengusaha perlu mengisi kuota sedia ada dari tarikh kelulusan dikeluarkan.

“Jika mereka gagal berbuat demikian dalam tempoh berkenaan, apa sahaja baki kuota yang ada akan terbatal.

“Kita tidak mahu lagi seperti sekarang yang mana kita perhatikan ramai pengusaha spa dan refleksologi memohon sebanyak mungkin kuota kerana mereka akan isi dalam tempoh dua tahun yang bagi kami terlalu lama,” katanya.

Mengulas mengenai program pengampunan 3+1 yang akan berakhir 30 November ini, beliau menegaskan pihaknya tidak akan melanjutkan lagi tempoh pengampunan melibatkan warga asing yang tinggal melebihi tempoh itu.

Mohamad berkata, borang permohonan hanya akan diterima selewat-lewatnya jam 5 petang pada 30 November ini dan tiada rayuan akan dilayan.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Imigresen Negeri, Ismail Ali dan Presiden Persatuan Kebajikan Wanita Imigresen Sabah (Perkis), Datin Hairani Mohd Tajudin.

Seramai 15 orang menyertai majlis tilawah al-Quran tahunan yang dianjurkan Perkis dan Kelab Rekreasi Imigresen Sabah (KRIS) itu. (UB)

No comments:

Post a Comment