KOTA KINABALU: Berkuatkuasa
Januari tahun depan, pengambilan pekerja warga Filipina untuk bidang spa dan
refleksologi akan dibekukan. Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk Mohammad
Mentek (gambar sisipan) berkata penguatkuasaan berkenaan dibuat dengan mengambil kira pelbagai
masalah sosial yang melibatkan pekerja warga terbabit.
Menurutnya, pihak berkuasa
kerajaan negeri turut bersetuju dengan keputusan itu memandangkan banyak aduan
yang diterima melibatkan perkhidmatan tidak bermoral yang ditawarkan
termasuklah khidmat seks.
“Selain itu, mereka juga
menawarkan diri menjadi ‘call girl’ kepada para pelanggan yang terdiri dari
kalangan warga tempatan.
“Justeru, kita banyak
menerima aduan daripada isteri-isteri warga tempatan yang diganggu gugat
sehingga meruntuhkan rumahtangga dan berlaku perceraian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada
sidang akhbar selepas majlis tilawah al-Quran peringkat Jabatan Imigresen
negeri di Dewan Semarak, Wisma Dang Bandang di sini malam Khamis lepas.
Mohamad berkata, pada masa
ini terdapat 807 pekerja asing yang mendaftar sebagai pekerja spa dan
refleksologi di Sabah.
Jelasnya, daripada jumlah
itu, seramai 531 adalah warga China, 188 warga Filipina, 72 orang daripada
Thailand dan 16 orang lagi warga Indonesia.
Tambahnya, mulai tahun
depan, pihaknya turut menguatkuasakan tempoh mengisi kuota pekerja asing dalam
sektor spa dan refleksologi yang dipendekkan kepada enam bulan berbanding dua
tahun sebelum ini.
Menurutnya, para pengusaha
perlu mengisi kuota sedia ada dari tarikh kelulusan dikeluarkan.
“Jika mereka gagal berbuat
demikian dalam tempoh berkenaan, apa sahaja baki kuota yang ada akan terbatal.
“Kita tidak mahu lagi seperti
sekarang yang mana kita perhatikan ramai pengusaha spa dan refleksologi memohon
sebanyak mungkin kuota kerana mereka akan isi dalam tempoh dua tahun yang bagi
kami terlalu lama,” katanya.
Mengulas mengenai program
pengampunan 3+1 yang akan berakhir 30 November ini, beliau menegaskan pihaknya
tidak akan melanjutkan lagi tempoh pengampunan melibatkan warga asing yang
tinggal melebihi tempoh itu.
Mohamad berkata, borang
permohonan hanya akan diterima selewat-lewatnya jam 5 petang pada 30 November
ini dan tiada rayuan akan dilayan.
Turut hadir, Timbalan
Pengarah Imigresen Negeri, Ismail Ali dan Presiden Persatuan Kebajikan Wanita
Imigresen Sabah (Perkis), Datin Hairani Mohd Tajudin.
Seramai 15 orang menyertai
majlis tilawah al-Quran tahunan yang dianjurkan Perkis dan Kelab Rekreasi
Imigresen Sabah (KRIS) itu. (UB)
No comments:
Post a Comment