BAGI membuktikan
kesungguhannya membalas dendam kesumat terhadap Musa Aman, Mantan Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk
Seri Panglima Lajim Haji Okin telah membuat Akuan Bersumpah berhubung Skandal
Derma RM40 Juta kepada UMNO Sabah. Berikut Surat Akuan yang dibuat Lajim atas
kapasitinya sebagai Mantan Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Ahli Majlis Tertinggi
UMNO dan AMT UMNO.
STATUTORY DECLARATION
Saya, Lajim Ukin
(550615-12-5069) yang beralamat di Pejabat Perhubungan Pertubuhan Pakatan
Perubahan Sabah (PPPS), Lot 18 & 19, Tingkat 1 & 2, Blok C, Millenium
Centre, Jalan Lintas Kepayan, Penampang 88200 Kota Kinabalu, Sabah, dengan
sesungguhnya dan sebenarnya membuat perakuan berikut:
1. Saya adalah seorang ahli
politik yang telah memegang pelbagai jawatan kanan di dalam Pertubuhan
Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) iaitu parti yang telah memerintah Malaysia
sejak merdeka dalam tahun 1957;
2. Saya telah memikul
tanggungjawab sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah sehingga tahun 2004 dan
telah menjadi wakil rakyat bagi beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri dan
Parlimen sejak 1994. Jawatan terakhir saya di dalam Kerajaan Malaysia adalah
sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan;
3. Saya meninggalkan
Kerajaan Malaysia dalam bulan Ogos 2012 berhubung perbezaan pendapat dan rasa
tidak setuju mengenai pelbagai perkara terutamanya nasib rakyat Sabah yang
telah lama diabaikan oleh Kerajaan Malaysia;
4. Sepanjang penglibatan
saya dengan Umno, saya telah dipilih sebagai ahli Majlis Tertinggi Umno sejak
tahun 2000. Majlis Tertinggi Umno adalah badan pembuat keputusan yang tertinggi
di dalam Umno dan bertanggungjawab terhadap segala keputusan Umno, termasuklah
hal ehwal kewangannya;
5. Saya juga menganggotai
Badan Perhubungan Umno Sabah yang bertanggungjawab terhadap segala keputusan
Umno di peringkat negeri, termasuklah hal ehwal kewangannya;
6. Pada 9 Oktober 2012,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Nazri Aziz mengejutkan Parlimen
apabila beliau mengumumkan bahawa dakwaan rasuah terhadap Ketua Menteri Sabah,
Dato’ Seri Musa Aman (berhubung dakwaan wang rasuah berjumlah RM40 juta yang
dikaitkan dengan beliau) telah digugurkan;
7. Menteri berkenaan telah
juga mengumumkan bahawa pihak berkuasa turut menggugurkan dakwaan rasuah
terhadap seorang niagawan balak dari Sabah bernama Michael Chia, yang sebelum
ini dikaitkan dengan tuduhan rasuah berhubung lesen pembalakan melibatkan Dato’
Seri Musa Aman;
8. Menurut kenyataan menteri
tersebut di Parlimen, dakwaan rasuah terhadap Dato’ Seri Musa Aman dan Michael
Chia digugurkan atas alasan wang RM40 juta yang disiasat itu merupakan derma
politik kepada Umno Sabah dan bukannya untuk kegunaan peribadi Ketua Menteri;
9. Saya dengan ini
mengisytiharkan bahawa sepanjang penglibatan dan pengalaman saya dalam pelbagai
kedudukan kepimpinan dan pengurusan di dalam Umno di peringkat pusat dan
negeri, saya tidak pernah tahu atau diberitahu mengenai:
i. Sebarang perbincangan
yang berlaku di peringkat Majlis Tertinggi Umno atau Badan Perhubungan Umno
Sabah mengenai usaha mendapatkan derma politik sebesar jumlah RM40 juta,
seperti yang didakwa menteri berkenaan di Parlimen;
ii. Sebarang pengisytiharan
yang dibuat di peringkat Majlis Tertinggi Umno atau Badan Perhubungan Umno
Sabah bahawa derma politik sejumlah RM40 juta telah dibuat kepada Umno Sabah,
seperti yang didakwa menteri berkenaan di Parlimen;
iii. Sebarang bukti
urusniaga, transaksi atau urusan yang dibentangkan kepada Majlis Tertinggi Umno
atau Badan Perhubungan Umno Sabah yang boleh membuktikan bahawa Umno Sabah
adalah penerima derma politik RM40 juta itu; dan
iv. Sebarang laporan atau
bukti yang dibentangkan kepada Majlis Tertinggi Umno atau Badan Perhubungan
Umno Sabah bahawa Umno telah mendapat manfaat dari derma politik RM40 juta itu;
10. Oleh yang demikian, saya
menyimpulkan bahawa kenyataan menteri berkenaan kepada Parlimen adalah tidak
benar, menyeleweng dan berniat untuk menutup isu yang lebih besar iaitu dakwaan
salahguna kuasa dalam anugerah lesen pembalakan di Sabah yang hanya
menguntungkan beberapa orang sedang rakyat dan negeri Sabah tidak mendapat
pulangan setimpal;
11. Buat sekian lama,
pembalakan telah menjadi sumber untuk mengkayakan diri bagi segelintir ahli
politik dan pemimpin kerajaan Sabah. Dari pengalaman saya sendiri sebagai
Timbalan Ketua Menteri, saya mengesyaki bahawa lesen pembalakan sering
dianugerahkan kepada individu yang rapat dengan pemimpin kerajaan Sabah;
12. Wang haram dari kegiatan
rasuah ini disyaki disimpan di luar negara menggunakan ejen yang mengendalikan
penjualan balak pada harga yang rendah dan merugikan Kerajaan Negeri.
Keuntungan dari penjualan balak pada harga rendah ini kemudiannya disalurkan sebagai
rasuah dan dimasukkan ke pelbagai akaun di luar negara, yang akhirnya
dipindahkan semula untuk manfaat ahli politik utama dan pemimpin kerajaan
Sabah;
13. Saya bersedia untuk
memberi kenyataan kepada mana-mana pihak berkuasa dari mana-mana negara yang
menyiasat perkara ini untuk menghentikan jaringan rasuah yang melibatkan
anugerah lesen pembalakan yang telah lama merugikan rakyat Sabah;
14. Saya yakin pengalaman,
pengetahuan dan maklumat dalaman yang saya ada mengenai perjalanan Umno dan
kerajaan di peringkat pusat dan negeri akan membantu siasatan.
Dan saya membuat Surat Akuan
Sumpah ini dengan kepercayaan bahawa apa-apa yang tersebut di dalamnya adalah
benar serta menurut Akta Akuan Berkanun 1960.
Diperbuat dengan sebenarnya
dan diakui oleh yang tersebut namanya di atas di Kota Kinabalu dalam negeri
Sabah pada 10 haribulan Disember, 2012
t.t
LAJIM BIN UKIN
Di hadapan saya,
PESURUHJAYA SUMPAH
No comments:
Post a Comment