Oleh : TARMIZI MOHD JAM
& ARIF ATAN
MUKADIMAH: Rahsia sebenar 'Projek IC Biru Sabah' yang hangat
didengar Suruhanjaya Diraja (RCI) di
Kota Kinabalu Sabah kini dibongkar apabila Harakah diperkenalkan kepada Mat
Swandi Awi, anak Semenanjung keturunan
Bawean (Boyan) berasal dari Ipoh, Perak mendedahkan satu persatu modus operandinya.
Beliau bertugas di Sabah
sebagai Pengurus Cawangan Bank Pembangunan
Malaysia Bhd. (BPMB) pada
tahun 1985-1988 dan diberi peranan penting oleh Tun Datu Mustapa Datu Harun dengan
sokongan padu Kuala Lumpur untuk
merangka 'Grand Design' dan seterusnya mengetuai operasi 'Projek
IC' ini.
Walaupun namanya diutarakan
kpeada RCI tetapi beliau tetap tidak dipanggil. Kenapa? Ikuti butiran lanjut
DATO' TARMIZI MOHD JAM dan ARIF ATAN membongkar projek ini daripada 'arkitek'
sebenar yang dinaungi Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu.
Harakah
: Kami difahamkan saudara orang kuat Tun Abdullah Ahmad Badawi sejak sekian
lama dan di kalangan Umno, saudara terkenal sebagai 'Gurkha Setia' akar umbi
Pak Lah sehingga ke saat ini. Boleh ceritakan sedikit bagaimana saudara boleh akrab dengan Pak Lah dan sedia
diwawancara oleh kami daripada Harakah?
MAT SWANDI: Saya mula
berkenalan dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah)
sejak tahun 1978. Apabila saya
dipinjamkan (seconded) dari Bank
Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) ke Jawatankuasa Pemandu (JKP), Bahagian
Penyertaan Bumiputera, Unit Penyelarasan
Perlaksanaan, Jabatan Perdana Menteri Pulau Pinang untuk membantu Bumiputera yang tertekan
dengan sifat anti-Melayu, anti DEB dan anti Kerajaan Pusat dan Kerajaan Gerakan
pada masa itu. Pada masa itu gandingan 2M - Mahathir Musa
Hitam amat hebat dan digeruni
kawan dan lawan.
JKP yang dipengerusikan oleh Ketua
Pengarah ICU, iaitu allahyarham
Dato’ Mohd. Saffian Abd. Majid dan
dianggotai oleh semua ketua-ketua
pengarah agensi Kerajaan Pusat seperti MARA, UDA, Bank Pertanian Malaysia, MARDI, MIDF, BPMB, dll bertindak
sebagai badan penyelaras kepada semua agensi-agensi pusat ini dalam
usaha membantu Bumiputera P. Pinang
dalam segala aspek, seperti pembangunan
usahawan, urusan pinjaman bank sekiranya ada karenah dari bank-bank yang berkenaan, pembangunan hartanah,
seminar keusahawanan, membantu usahawan-usahawan Bumiputera mendapatkan kontrak,
pengagehan rumah-rumah yang dibangunkan oleh Penang Development Corporation (PDC) kepada Bumiputera
yang mahu membelinya dan sebagainya.
Ini kerana aktiviti-aktiviti penting
ini memerlukan seorang
pegawai yang tahu dalam aspek
banking dan pembangunan usahawan, rezeki badan saya
terpilih dari kalangan ramai pegawai
yang dikenalapsti dari agensi-agensi Kerajaan Pusat seperti MARA,
MIDF, Bank Pertanian dan sebagainya.
Pengarah JKP pada masa itu
ialah Mohd. Hanafiah Omar, orang kelahiran
Penang, adik Tan Sri Alias Omar, orangnya amat baik. Saya hormat beliau sampai sekarang walau dah
sama-sama tua ini.
Pada masa itu, Tun Abdullah
baru menjawat jawatan sebagai
Setiausaha Parlimen di JPM,
orangnya masih muda dan
kacak. Beliau yang dilahirkan
dari keluarga yang alim banyak mendidik dan membimbing saya dalam kepimpinan,
baik politik atau kemasyarakatan.
Teguran-teguran beliau,
kadang-kadang pedas sampai menyusuk ke dalam
jantung adalah ilmu yang
saya warisi sampai ke akhir hayat saya. Lagi
pedas dan panas teguran beliau kepada saya lagi saya suka sebab itu
adalah tanda kasih sayang
beliau kepada saya
supaya saya jadi orang.
Ilmu dari Tun Abdullah ini
tidak boleh saya perolehi
dari mana-mana universiti dalam
dunia ini. Semuanya lahir dari
keikhlasan hati beliau.
Begitu juga
dengan allahyarham Tun Mustapa
Datu Harun, bimbingan, tunjuk ajar dan
teguran beliau tidak dapat saya
nilaikan dengan apa sahaja pun.
Semoga jasa allahyarham yang
banyak mendidik dan menegur segala kesilapan saya menjadi pahalanya dialam
barzah dan insyaallah diakhirat nanti. Semoga Allah SWT menempatkan roh allahyarham
di kalangan hamba-hambaNya yang soleh. Siapalah saya dalam masyarakat dan dalam
dunia politik tanpa Tun Abdullah dan tanpa allahyarham Tun Mustapa.
Harakah
: Sejak Pak Lah diberhentikan secara paksa oleh Mahathir, Najib dan Muhyiddin, kami difahamkan saudara
selalu hadir dalam ceramah-ceramah Pakatan, mengapa?
MAT SWANDI : Memang benar.
Sejak Pak Lah disondol keluar
oleh gerombolan Mahathir, Najib dan
Muhyiddin yang tidak sabar-sabar untuk mengambil alih
jawatan tertinggi negara
daripada Pak Lah, saya sudah
hilang hormat kepada kepimpinan UMNO sekarang
ini. Mereka memaksa Tun Abdullah turun
kononnya Pak Lah lembik, tak ada uumppp memimpin, tak ada hala tuju, lemah, tidak konsisten dalam keputusan dan pendiriannya
dan macam-macam lagi.
Mereka anggap mereka
adalah manusia terhebat, terpandai, jauh
lebih hebat dari Pak Lah dalam memimpin
negara dengan falasafahnya 'transformasi', semuanya nak ditransform, tetapi seperti mana
yang rakyat jelata dapat lihat sekarang ini, semua
semakin meleset, UMNO semakin hancur,
semakin berkecamuk, semakin
ditolak oleh rakyat, teramat takut untuk mengadakan PRU.
Harakah
: Bukankah beberapa hari lepas Mahathir akui Najib lebih lemah daripada Pak
Lah?
MAT SWANDI : Dr. Mahathir
(Mohamad) yang bekerja keras sebagai 'defacto-PM' mengakui sendiri
secara umum bahawa Najib jauh lebih
lemah dari Pak Lah dan tidak mampu
memimpin sehingga Najib terpaksa
akur dengan segala permintaan
dari banyak pihak, terpaksa membazir wang rakyat untuk BR1M1 dan
2, terpaksa akur kepada
permintaan untuk membina banyak tokong dan macam-macam lagi dan ini
belum pernah berlaku dalam sejarah
politik negara kita di mana seorang PM terpaksa
tunduk kepada 'political ransom'
sepertimana yang dilakukan oleh Najib sekarang ini di atas macam-macam alasan kononnya dia amat prihatin dan rakyat didahulukan.
Kalau 30 tahun dulu
rakyat bolehlah 'dibuyuk' kata orang Sabah,
tapi bukan sekarang 'ini lagi bah'.
Orang sudah boleh fikir
bah, kau kasi aku ambillah, tapi undi sory lah. Di manakah maruah seorang PM, UMNO dan Melayu kita sekarang ini yang terpaksa tunduk kepada
semua tuntutan.
Mukaddimahnya sahaja '1Malaysia' ditolak bulat-bulat oleh
orang Melayu sehingga Muhyiddin terpaksa melaungkan '1Melayu' untuk
menyejukkan hati orang Melayu. Kata
orang Sabah kau sudah kena ketulahan bah!
Harakah : Berbalik kepada 'Projek IC' di Sabah. Mengapa saudara
sedia bersama Harakah untuk membongkar rahsia sebenar operasi ini?
MAT SWANDI : Selama ini saya
hanya mengikuti perkembangan RCI melalui akhbar-akhbar samada
secara 'hardcopy' atau
melalui website mereka
dengan penuh minat. Kadang-kadang
lucu kerana rahsia
sebenar 'Projek IC' ini tidak langsung diketengahkan, seolah-olah mahu disorok daripada pengetahuan umum.
Tetapi apabila
nama Pak Lah yang tidak
pernah terlibat dengan
perkara ini diheret ke kancah polemik ini, saya
sebagai 'Gurkha Setia' yang
terlibat secara langsung
dalam operasi khas ini terpanggil
untuk mendedahkan rahsia
sebenar 'Projek IC' ini, sekaligus untuk bersihkan nama baik Pak Lah.
Apabila sahabat saya Dato'
Rameli Buyong memaklumkan saya, Harakah sedia mewawancara saya, saya
kata OK. Saya ucapkan terima kasih kepada Harakah kerana akhbar-akhbar
pro-BN sudah pasti tidak
berani mendedahkan apa
yang Harakah mampu buat.
Harakah
: Saudara marah dengan dakwaan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang meminta RCI memanggil Pak Lah dan Mahathir
untuk memberikan keterangan?
MAT SWANDI : Tidak sekali.
Dato' Seri Anwar Ibrahim sudah
banyak kali mengatakan
bahawa beliau tidak
pernah dan tidak langsung
terlibat dengan 'Projek IC' biru ini
dalam cara atau dalam bentuk apa pun, tetapi Mahathir yang berdendam
kesumat dengan Anwar terus menerus menghentam dan mendakwa Anwar terlibat
dalam 'Projek IC' biru walaupun beliau
mengaku tidak ada
bukti.
Sebelum itu Mahathir pun
menyalahkan Allahyarham Tunku Abdul
Rahman, dah nyanyuk betul Mahathir ni. Dulu dia kata Melayu mudah lupa. Celupar betul mulutnya, cakap macam
orang tak beriman, main syok
aje fitnah sana fitnah sini. Tak
takut azab Allah SWT dunia
akhirat.
Malah Tun Abdullah pun
pernah bertanya kepada saya dua
bulan lepas sama ada Anwar terlibat dalam 'Projek IC' biru ini dulu, saya
dengan tegas mengatakan Anwar tidak
pernah terlibat langsung dalam 'Projek IC'
biru ini sebab semua orang UMNO
tahu bahawa Anwar bukannya 'bed fellow' dengan allahyarham Megat Junid (Megat Ayob) dan juga dengan Pak (Tan Sri Aziz Samsudin) dan
mereka tidak pernah sebulu.
Malah allahyarham Tun
Mustapa dulu pun ada terguris hati dengan
Anwar, jadi macam mana Anwar
nak terlibat dalam 'Projek IC' biru ini. Saya tak salahkan Anwar meminta RCI memanggil Tun
Abdullah ke RCI. Itu mungkin jawapan beliau secara 'Impromptu' atau mungkin beliau
sengaja menjolok Tun Abdullah untuk menghentam balik Mahathir. Biasalah
orang politik memancing respons, apa pun Tun
Abdullah dah dengan tegas
menafikan pembabitan dalam
projek IC biru
ini.
Tun Abdullah tidak
memerlukan projek macam ini untuk menaikkan nama baik
beliau. Semua orang tahu bahawa Tun Abdullah tak pernah buat yang bukan-bukan, beliau keturunan keluarga ulama
besar, beliau banyak beristigfar sebelum
melalukan sesuatu itu.
Harakah
: Macam mana saudara boleh diberi
kepercayaan oleh Tun Mustapa untuk ketuai 'Projek IC' ini,
sedangkan saudara adalah anak Semenanjung?
MAT SWANDI : Saya diperkenalkan
kepada allayarham Tun Mustapa Datu Harun oleh adik allahyarham yang bernama Datu Abdul
Salam yang datang berjumpa saya memohon pinjaman untuk menyiapkan hotelnya di
Kudat yang sekian lama terbengkalai sejak USNO dikalahkan oleh Berjaya pada
tahun 1976 dengan hanya 'super
structure' yang siap.
Pada awal perkenalan dengan
allahyarham Tun Mustafa, saya hanya
menceritakan latar belakang dan pengalaman pekerjaan saya, tak lah seberapa
sangat sebab pada tahun 1986
itu pun saya berumur 36 tahun dan
terlalu banyak lagi
yang perlu saya pelajari dalam hidup
ini. Saya juga maklumkan kepada allahyarham Tun Mustafa bahawa saya
adalah Gurkha Akar umbi Tun Abdullah.
Rupa-rupa allahyarham Tun
Mustapa pun menghormati keperibadian dan
latar belakang Tun Abdullah dan perbualan semakin rancak sehingga meliputi isu-isu politik semasa. Agaknya
allahyarham Tun Mustafa tertarik dengan
kareer banking saya dan mungkin juga dengan sedikit pengalaman saya yang belajar mengenai
perjuangan serta kepimpinan politik dari
Tun Abdullah, lalu allahyarham Tun mengupas
luas sejarah perjuangan beliau
menentang penjajahan Jepun dulu, sejarah
penubuhan, perjuangan dan kesilapan USNO, masalah 'Generation Gap' di antara kepimpinan veteran USNO dengan generasi
muda terpelajar anak-anak Melayu, masalah kesukuan di antara
Bumiputera Islam, kepincangan akhlak
di kalangan sesetengah pemimpin USNO, struktur organisasi USNO yang tidak
tersusun terutamanya di peringkat bahagian dan cadangan dan banyak lagi.
Banyak yang saya pelajari
dari penjelasan allahyarham sambil makan
malam di rumah allahyarham di Tanjong Aru dan banyak pula 'case studies' yang
boleh saya buat
dari banyak masaalah yang
allahyarham kemukakan itu. Saya hanya memberikan ulasan dan cadangan-cadangan yang saya fikirkan praktikal dan boleh pula dilakukan
tanpa banyak masaalah.
Allahyarham Tun Mustapa menunjukkan
minat yang mendalam untuk membawa saya
ke jemaah 'inner circle' nya dan
saya teramat bersyukur kerana mula diberikan penghormatan
untuk memberikan cadangan-cadangan yang mampu saya hujahkan dalam beberapa kes yang tertentu.
Ujian tugas pertama yang
allahyarham Tun Mustapa berikan kepada saya
ialah membawa seramai mungkin generasi muda terpelajar dari kalangan
kakitangan Kerajaan Negeri dan Pusat untuk menyokong perjuangan USNO dan untuk menjadi 'Core Supporters' allahyarham.
Bagi saya tugas ini mudah
sangat sebab dengan kedudukan saya
sebagai seorang pengurus bank
yang masih muda dan bertenaga serta ramai
kenalan, amat mudah sekali saya mempelawa generasi muda
terpelajar datang berborak-borak
dengan saya selepas pejabat dan juga semasa
makan tengahari, tambahan lagi
saya mempunyai elaun keraian.
Di samping itu, sebagai Ketua
Jabatan Agensi Pusat, saya kerap dijemput
untuk menghadiri mesyuarat
di Kementerian Pembangunan Luar
Bandar Sabah, Kementerian Kewangan Sabah, Kementerian Kebudayaan dan Sukan Sabah dan banyak lagilah. Dari situlah saya berkenalan dengan Shafie Apdal, Masidi
Manjun, Mustapa Kula, Kasitah Gadam, Karim
Bujang, Dr. Yusuf Yakob,
Ansari Abdullah, Aizah Mohd. Dun, Sapawi Ahmad, Yahya Husin, Mohd.
Nor Mokhtar, Basalie Ahmad, Datu
Nasrun dan ramai lagi.
Syukur alhamdulillah
buat pertama kali saya dapat menjemput dan mengumpulkan sahabat-sahabat saya di atas dan ramai lagi selain dari
pegawai-pegawai Kerajaan Pusat dirumah allahyarham Tun Mustapa yang turut dihadiri oleh Tun Sakaran Dandai, Tan
Sri Ampong Puyon, Datuk
Askalani, Railey Jeffery dan
ramai lagi veteran USNO.
Selepas sesi pertama
ini saya meneruskan dengan sesi perjumpaan hari
raya dan sesi-sesi yang
lain di rumah allahyarham Tun
Mustafa dengan ramai lagi generasi mudaterpelajar dan
sokongan akar umbi allahyarham Tun
Mustapa semakin baik.
Saya juga diminta oleh Allahyarham
Tun Mustafa membuat audit di beberapa buah bahagian USNO, tetapi akhirnya saya
diherdik dan diumpat oleh kebanyakan
Ketua dan AJK bahagian kerana mereka yang
tidak pernah mengalami audit seperti ini
tidak boleh menerima laporan
professional yang sistematik dan tidak boleh
menerima teguran serta cadangan yang membina. Dalam pepatah
Inggeris kita kata 'Old Habits
Die Hard'.
Saya juga berjaya merayu
kepada beberapa orang pemimpin veteran
USNO seperti Karim Ghani dan Yahya Lampong berhenti dari terus mengkritik kepimpinan allahyarham Tun Mustapa
sebab masa itu kita sedang berhadapan
dengan tentangan Kerajaan PBS yang berjaya
mengambilalih kuasa dari Berjaya
dalam pilihanraya negeri pada bulan
April 1985 yang memenangi kalau tidak silap mengikut catatan saya 26 dari 48 kerusi DUN.
Saya menjemput
pemimpin-pemimpin veteran USNO yang kritis ini
berbincang di pejabat saya selepas jam 1700. Jadi bilik mesyuarat
bank saya jadi bilik perbincangan
politik selepas jam 1700.
Apa yang saya lakukan saya
berikan laporan bertulis ringkas kepada Allahyarham
Tun Mustapha. Di samping itu apabila masuk waktu saya tetap istiqomah menunaikan kewajipan saya sebagai orang Islam yang tetap
menjaga solat fardunya, termasuk
ketika saya berada di rumah Allahyarham atau di pejabatnya di bangunan
USIA.
Semuanya ini membuat
allahyarham Tun Mustafa semakin selesa
dan semakin yakin dengan saya
sehinggalah beliau boleh menceritakan
secara terperinci kepada saya hubungan beliau dengan Allahyarham Tunku Abdul Rahman dan Allahyarham Tun Abdul
Razak dan macam mana kita membantu perjuangan Moro.
Semuanya ini akan saya
khazanahkan sebagai sejarah bertulis untuk pengetahuan dan rujukan anak-anak cucu cicit saya agar mereka boleh juga menjadi pejuang
yang ikhlas untuk ugama, keluarga, bangsa dan negara, tetapi tidak boleh dijadikan sebagai rujukan awam.
Harakah : Baiklah, sekarang
saudara cerita secara terperinci macam
mana saudara terlibat dalam
perancangan 'Grand Design' Projek IC yang kesannya berlanjutan sehingga sekarang ini.
MAT SWANDI : Sebelum saya
menghuraikan perkara ini dengan lanjut, saya ingin mengimbas sedikit sejarah
politik Sabah dari mula PBS memenangi pilhanraya
negeri pada bulan April tahun 1985 itu. Selepas ubahsuai pejabat cawangan BPMB
siap pada awal tahun 1985, kalau
tidak silap pada bulan Februari
1985, saya sepatutnya terus berpindah dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu untuk
memulakan operasi pejabat cawangan ini.
Tetapi apabila Kerajaan
Berjaya yang banyak membantu saya dalam
urusan penyediaan pejabat cawangan BPMB ini kalah kepada PBS yang
memenangi 26 dari 48 kerusi DUN, saya pun amat berat
untuk berpindah ke Kota Kinabalu
sebab saya tahu PBS ini
anti-Melayu/anti-UMNO/anti-Islam dan anti-Semenanjung; sedangkan pada
masa itu semua kakitangan pejabat
cawangan bank sudah saya pilih dan lantik untuk memulakan tugas, hanya tunggu
saya membuka pejabat.
Akhirnya apabila pengurusan bank memberikan kata dua
kepada saya, saya dalam protes terpaksa juga
terbang ke Kota Kinabalu.
Saya amat kecewa apabila
pelanggan-pelanggan KDM yang dulunya
amat baik berulang alik dari KK ke KL untuk menguruskan pinjaman mereka amat baik dengan saya tiba-tiba
boleh bersifat anti-Semenanjung dan menjadi tidak mesra
dengan saya.
Pagi-pagi buta saya sudah mendapat panggilan
telefon dari orang KDM
meminta orang Malaya balik
berambus sebab Sabah
boleh hidup tanpa
orang Malaya, bank kau boleh
tutup bah, dan macam-macam lagi sehingga
saya terpaksa memasang alat perakam suara untuk saya berikan
kepada ibu pejabat
saya.
Saya berjumpa
dengan OCPD KK pada masa itu (Supt
Haji Ishak Awadan) untuk memohon
perlindungan polis. Syukur alhamdulillah
semakin lama semakin ramai
kenalan dari kalangan
pelanggan orang Melayu kita
termasuk Ansari Abdullah dan
Pandikar Amin Mulia yang saya lantik sebagai panel peguam bank.
Keadaan sosio-politik dan
sosio-ekonomi Sabah sejak PBS memerintah
amat bercelaru sehingga banyak 'Capital Flights' berlaku.
Muluk Awang Damit (bekas MP
Labuan) yang bertugas sebagai pengurus
cawangan City Finance Bhd. milik Musa Aman meminta pertolongan
saya untuk mendapatkan pelanggan untuk
menyimpan/menabung di syarikat
kewangannya.
Keyakinan perniaagaan amat
rendah sekali. Hidup rakyat
hari-hari hanya dipenuhi dengan cakap-cakap politik untuk menjatuhkan Kerajaan
PBS manakala kepimpinan PBS terus memperkukuhkan kedudukan mereka dengan menaikkan
pangkat pegawai-pegawai KDM ke jawatan-jawatan penting. Ini membuat
orang Melayu semakin marah kepada PBS.
Ringkas cerita, akibat
tentangan hebat gabungan USNO-Berjaya yang
berterusan yang mengakibatkan
tidak ketentuan dan ketidak setabilan politik negeri, PBS terpaksa membubarkan DUN
sekali lagi pada bulan Februari 1986
setelah 10 bulan memerintah dan dalam pilihanraya semula
kali ini PBS menang dengan
majoriti 34 dari 48 kerusi DUN dan
kedudukan mereka semakin kukuh manakala tentangan dari USNOdan Berjaya semakin rancak lagi.
Pemimpin-pemimpin dan
penyokong-penyokong USNO-Berjaya yang terus tidak puas hati dengan kemenangan
besar PBS terus menerus menjolok penyokong masing-masing yang berakhir dengan perarakan besar di Kota
Kinabalu pada 13 Mac, 1986 yang diketuai oleh Tun Sakaran Dandai yang
menyebabkan rusuhan, letupan bom,
pembakaran kedai dan kenderaan-kenderaan di Karamunsing dan juga menyebabkan
kematian sehingga menyebabkan
perintah berkurung.
Pada masa itu saya baru
keluar dari mesyuarat di Kementerian
Pembangunan Luar Bandar Sabah dan terperangkap di tengah jalan. Saya kembali
ke pejabat, menutup pejabat
dan mengarahkan semua kakitangan pulang segera untuk keselamatan
diri mereka. PBS berjaya menjadi anggota komponen BN kalau
tidak silap pada bulan Jun 1986.
Bagaimanapun keanggotaan PBS
dalam BN tidak juga mengendurkan
tentangan ahli-ahli USNO dan Berjaya yang tetap tidak puas hati dengan
Kerajaan PBS yang dilihat sebagai
anti-Melayu / anti-Islam.
Perniagaan bank saya tidak mencapai
kemajuan yang saya harapkan dan saya terpaksa berpeluh melaporkan
masalah sosio-politik di Sabah pada masa itu kepada ibu pejabat saya di Kuala
Lumpur sedangkan saya sebagai Pengurus Cawangan BPMB di Pulau Pinang
pada tahun 1980-1983 dimahkotakan
sebagai di antara pejabat cawangan yang mencapai prestasi yang terbaik.
Saya terus diminta oleh
Allahyarham Tun Mustapa untuk membantu
memperkuatkan sokongan akar umbi USNO dengan mendekati masyarakat KDM, khasnya kaum Dusun sebab
ramai di antara mereka
yang berugama Islam.
Ketika saya sedang bekerja
di pejabat pertengahan tahun 1987, Allahyarham
Tun Mustapha memanggil saya ke London untuk
membincangkan perkara yang amat penting.
Saya kebingungan kerana saya tidak mempunyai sebarang alasan untuk
mengambil cuti kecemasan untuk
keluar negara yang saya
tidak tahu berapa hari pula saya mesti
bercuti.
Saya menjelaskan kepada Allahyarham
Tun Mustapha kerumitan saya, tetapi
beliau bertegas demi berjuangan untuk
ugama, bangsa dan negara saya tidak ada pilihan dan beliau kata beliau
akan menyelesaikan dengan Pengerusi BPMB
iaitu Allahyarham Tan Sri Samad Idris sekiranya BPMB mengambil tindakan terhadap saya.
Dengan hati yang berat dan penuh serba salah, saya pun melangkah
ke lapangan terbang KK untuk ke London
melalui Singapura.
Sampai di Heathrow, Pengurus
MAS London menunggu saya dengan pemandu Allahyarham Tun Mustapa dan
mereka memberikan 'Greeting' kepada saya
dengan kata-kata aluan “Welcome to
London Mr. Mat, Special Assistant to Tun
Mustapa”. Saya ketawa dalam hati dengan gelaran tersebut.
Saya terkejut bila
pemandu allahyarham Tun Mustafa
mempersilakan saya naik kereta Rolls
Roycenya! Allahyarham Tun Mustapa memberitahu saya bahawa dengan cara apa pun
kita mesti menjatuhkan PBS dalam pilihanraya negeri yang berikutnya pada atau sebelum tahun
1990.
Jadi kita mesti memikirkan
sesuatu yang terbaik dan paling berkesan untuk
memperkuatkan sokongan akar umbi USNO, satu daripadanya ialah dengan menambah undi dari:
•Orang Islam dari kalangan
penduduk tetap Filipina yang sudah lama
tinggal di Sabah.
•Tentera dan polis yang
bertugas di Sabah tetapi undi mereka belum
dipindahkan ke Sabah dan juga tambahan undi anggota dari Semenanjung.
•Guru-guru, pegawai-pegawai
dan kakitangan agensi-agensi Persekutuan
yang bertugas di Sabah.
•Peneroka-peneroka Felda
sekiranya ada yang dipindahkan dari Semenanjung ke Felda seluruh Sabah.
•Sahabat-sahabat kenalan dan
semua ahli keluarga saya yang undi mereka dipindahkan ke Sabah.
•Mendaftarkan semua orang
Melayu/Bumiputera Sabah sebagai
pengundi.
•Saya yang juga
dilantik sebagai Ahli
Majlis Tertinggi Dewan Perniagaan
Bumiputera Sabah (DPBS) mesti memastikan semua ahli DPBS menyokong USNO.
Saya bertanya kepada
allahyarham Tun Mustapha samada gerakan seperti
ini pernah dilakukan di zaman USNO dan
juga di era Kerajaan Berjaya.
Allahyarham Tun Mustapha memaklumkan
saya bahawa semasa era USNO, anak-anak pendatang asing Filipina Islam yang
berkelayakan professional diberikan
kerakyatan dengan mudah dan diberikan juga peluang pekerjaan di Sabah.
Ramai juga permastautin
tetap Islam Filipina yang sudah lama tinggal di
Sabah diberikan kerakyatan, tetapi
itu semuanya dilakukan secara 'adhoc'
kerana di zaman USNO tidak ada keperluan untuk menambahkan kekuatan sokongan
akar umbi USNO.
Semasa era Kerajaan Berjaya,
allahyarham Tun Mustafa mengatakan
ramai pula orang
Pakistan membanjiri Sabah sehingga menyebabkan
banyak masaalah sosial
kerana ramai wanita-wanita termasuk
isteri-isteri orang pun naik syok dengan lelaki Pakistan ini yang
mancung hidungnya dan 'barangnya' pun dikatakan lebih hebat dari lelaki tempatan.
Apabila saya pulang ke
Sabah, Allahyarham Tun Mustapa
mengarahkan saya untuk merangka
cadangan 'Grand Design' operasi khas ini untuk beliau halusi.
Selepas dua hari di London, saya menalefon isteri
saya di Kota Kinabalu untuk
bertanyakan khabar anak-anak yang masih
kecil. Saya terkejut bila isteri saya memaklumkan saya bahawa saya
diarah pulang segera oleh ibu pejabat BPMB di Kuala Lumpur untuk
menghadapi tindakan tatatertib
kerana meninggalkan pejabat tanpa sebab dan bukannya pula
kerana tugas rasmi.
Saya memaklumkan allahyarham Tun Mustapa mengenai dilema saya. Allahyarham Tun Mustafa mengarahkan
saya segera menghubungi Ampong Puyon dan Abu
Bakar Abbas (Datuk),
Setiausaha Agong DPBS untuk memaklumkan Ampong Puyon (Tan Sri) untuk segera menelefon allahyarham Tun Mustapha di London.
Allahyarham Tun
mengarahkan Ampong Puyon (Tan
Sri) untuk segera berjumpa
dengan Tan Sri Abdul Samad
Idris, pengerusi BPMB
untuk menyelesaikan tindakan
tatatertib BPMB terhadap saya.
Sekembalinya saya ke
pejabat selepas hampir seminggu menghilangkan diri di London, surat tindakan tatatertib sudah terpapar
di atas meja saya.
Bagaimanapun walaupun perkara tersebut telah diselesaikan oleh kepimpinan tertinggi USNO
dengan pengurusan BPMB, ia tetap
merupakan titik hitam
dalam kareer banking saya.
Tidak lama
kemudian saya menerima
pula arahan untuk
kembali ke Kuala Lumpur dengan segera. Saya naik bingung
sedangkan anak-anak saya baru mula bersekolah di Kota Kinabalu dan pertukaran
sekolah di pertengahan penggal akan menimbulkan banyak masalah kepada pelajaran
anak-anak saya.
Sekali lagi saya terpaksa memaklumkan Allahyarham Tun Mustapa yang
naik berang dengan tindakan BPMB sedangkan kerja-kerja 'Part Time' saya membantu perjuangan USNO semakin rancak
dan semakin mendapat sokongan pegawai-pegawai dan kakitangan Melayu/Bumiputera
Islam Kerajaan Negeri dan Pusat, golongan generasi muda terpelajar
dan ahli-ahli DPBS.
Allahyarham Tun Mustapha dan Ampong
Puyon (Tan Sri)
terpaksa berjumpa sekali lagi dengan pengurusan
tertinggi BPMB untuk membolehkan
saya dipinjamkan pula ke DPBS sebagai Penasihat Eksekutif.
Akhirnya saya pun bertukar baju sebagai Penasihat Eksekutif DPBS dan dengan tanpa topi sebagai seorang banker, saya
pun semakin laju menggunakan kedudukan saya di DPBS
memperkuatkan lagi sokongan akar
umbi kepimpinan allahyarham Tun
Mustapa dan USNO. Ramai di kalangan
usahawan-usahawan KDM yang menjadi ahli
DPBS.
'Secondment' saya ke
DPBS merupakan satu
ujian yang getir
kepada saya kerana BPMB tidak memberikan saya sebarang gaji, tetapi
bayaran pinjaman perumahan dan
kereta saya dibekukan buat
sementara waktu.
DPBS memberikan saya elaun
sebanyak RM700 /bulan sedangkan gaji
saya sebagai Pengurus Cawangan BPMB
Sabah lebih dari RM5,000/ bulan pada masa itu dengan semua kemudahan yang lain.
Hidup anak-anak isteri
saya yang terpaksa
ikat perut memang merupakan satu ujian dalam hidup saya, tetapi demi
perjuangan, maruah dan martabat ugama,
bangsa dan negara, saya sanggup
melalui detik-detik kesusahan itu selama lebih dari setahun.
Namun, dengan semangat yang
berkobar-kobar untuk memastikan
kemenangan mudah USNO dalam pilihanraya negeri yang akan datang, semua perasaan kesusahan tidak berapa dirasai. Tambahan pula ramai penyokong-penyokong dari
pantai timur Sabah
dan dari daerah-daerah lain
datang membawa udang, ketam, sotong
dan lain-lain makanan laut tanpa putus sehinggakan tidak
cukup tempat dalam
peti sejuk saya.
Tidak kurang
pula yang datang memberikan
daging payau, kijang,
tembadau dan pelandok di samping saya sendiri
yang kerap masuk
hutan dengan kawan-kawan saya.
Saya kembali
ke Semananjung pada hujung tahun
1988 apabila tamat tempoh 'secondment' saya ke DPBS. Sahabat-sahabat
setia seperjuangan saya seperti
Yahya Hussin, Shafie
Apdal, Mustapa Kula, Abu
Bakar Abas, Mohd.
Nor, Bahari Aship,
Mohd. Yunus Tahir,
Sabdin Ghani, Karim
Bujang dan ramai
lagi menghantar saya ke terminal
Feri Malaysia.
Kami berpelukan
sambil mengalirkan air mata
sebelum saya masuk ke feri
di dini hari,
kalau tidak silap
jam 0100 pagi.
Semasa dalam kabin feri, air
mata mengalir tanpa
saya sedari sehinggakan isteri
saya yang
sibuk menidurkan anak-anak
yang masih kecil memujuk
saya supaya bertenang dan
bersabar.
Terbayangkan segala
keseronokan perjuangan untuk mengembalikan
pemerintahan Melayu dan Islam di Sabah sejak saya ditugaskan di Sabah. Terkenang segala pertemuan dan
perbicangan dengan kawan-kawan seperjuangan boleh dikatakan hampir setiap
malam di rumah saya di Taman Berhwemin, Kepayan.
Terkenang pesan kawan-kawan
seperjuangan supaya saya terus berjuang
dari KL. Terkenang keseronokan mencari payau
dengan kawan-kawan yang sering
kali disertai oleh
Prof. Ustaz Dato’
Harun Din.
Harakah
: Bila 'Projek IC' ini dimulakan?
MAT SWANDI : Seminggu selepas
saya berpindah balik
ke KL, Allahyarham
Tun Mustapa memanggil saya ke rumah
Allahyarham di Petaling Jaya. Beliau merujuk kembali kepada rancangan 'Grand Design' yang sudah persetujui itu dan mengarahkan
saya segera menubuhkan
pusat gerakan.
Saya segera meminta
kebenaran Datu Abdul
Salam, adik allahyarham Tun Mustapa untuk menggunakan dan
mengubahsuai Pent House
Hotel Dashrun beliau untuk bilik gerakan ini dan beliau terus
mempersetujuinya. Dengan sumbangan dana dari Allahyarham Tun
Datu Mustapha, saya
membeli tiga buah komputer
dan dua buah
printer dot matrix yang besar dan berkelajuan tinggi.
Saya dibantu oleh beberapa rakan yang
pernah bertugas dengan BTN
dan mereka ini
adalah anak didik
Aziz Samsudin. Untuk memasukkan
data ke dalam komputer,
saya dibantu oleh
beberapa orang operator
sambilan.
Allahyarham Tun Mustapa juga
memaklumkan saya bahawa akan
berjumpa dengan Nur Misuari
di luar negara untuk memastikan
bahawa rakyat Filipina Islam yang
diberikan kad pengenalan
biru menyokong dan mengundi USNO dan tidak terpikat dengan umpanan PBS.
Saya diarahkan bertemu
dengan adik Nur
Misuari serta beberapa orang
komander Moro di Lapangan Terbang Subang
di mana mereka singgah
sebentar (transit) dalam perjalanan
mereka ke Libya.
Beberapa orang
anggota cawangan khas
termasuk saudara susu saya yang ditugaskan
mengawasi kumpulan komander Moro ini terkejut
besar bila mereka melihat
saya berjumpa dan berbincang dengan mereka.
Harakah : Apa yang diarah
Tun Mustafa untuk tindakan segera dalam 'Projek IC' ini?
MAT SWANDI : Tun Mustafa
mengarahkan saya...
• Menyediakan teks 'Talking Points'
beliau dengan Dr.Mahathir
Mohamad dan Megat
Junid Megat Ayub.
• Membuat temujanji
dengan Tengku Ahmad
Rithaudeen, Menteri Pertahanan dan 'Talking
Points' dengan YBM Tengku.
• Menghubungi Ibu
Pejabat SPR.
• Membuat analisa
keputusan pilihanraya negeri 1985 dan 1986 dan seterusnya membuat analisa keperluan tambahan
undi yang diperlukan
di semua kawasan-kawasan yang harus Usno menang kembali tetapi jatuh ke tangan
PBS dalam tahun 1986 serta membiarkan kawasan
majoriti KDM seperti Tambunan, Moyog, Kinabalu dan Penampang.
Tambahan undi pula
di kawasan-kawasan tumpuan untuk
kemenangan lebih dari 2/3 mestilah
komposisinya dari berbagai lapisan pengundi dan tidak hanya dari satu golongan sahaja.
Misalnya undi tentera jangan
dilonggokkan di satu kawasan,
pecah-pecahkan kebeberapa kawasan
dan kekurangannya mesti diambil
dari guru-guru Semenanjung
dan sebagainya.
Kerja ini
amat rumit kerana saya
terpaksa melakukannya sendiri
tanpa dibantu oleh orang lain supaya
rahsia besar ini tetap rahsia.
• Mengenalpasti bakal-bakal
calon terutamanya daripada generasi muda terpelajar untuk tapisan cawangan khas.
• Merangka keperluan dana.
Tugas saya teramat
berat, siangnya kerja di
BPMB, lepas jam 1700 bergegas pula ke
Dashrun Hotel memerah otak
di bilik khas yang
tidak boleh dimasuki oleh orang lain selain dari Datu Abdul Salam.
Harakah
: Apa hasil pertemuan Tun Mustapha dengan Tengku Ahmad
Rithaudeen?
MAT SWANDI : Ringkas cerita, hasil pertemuan dengan Tengku
Ahmad Rithaudeen, empat orang
pegawai tinggi dari Kementerian Pertahanan datang berjumpa saya
dengan Datu Abdul Salam di Hotel Dashrun. Seorang major ditugaskan khas
untuk bekerjasama dengan saya. Pegawai
tersebut amat baik, amat aktif
dan komited dalam tugasnya. Kami
berjumpa bila-bila sahaja diperlukan
untuk memutuskan sesuatu yang diperlukan, tidak kira masa. Di Sabah saya berhubung dengan Panglima ATM di Kem Lokawi.
Di Ibu Pejabat Kontingen
Polis Sabah saya berhubung dengan
Commissioner Maulana Babje dan kemudiannya kalau tidak silap dengan Commissioner (Tan
Sri) Rahim Noor yang menumbuk Anwar Ibrahim. Saya bekerjasama rapat dengan OCPD KK Supt. Ishak
Awadan.
Saya diperkenalkan
kepada Setiausaha SPR (Tan Sri) Abdul Rashid
Abdul Rahman oleh 'Childhood Family
Friend' saya, Zahid Hamidi.
Harakah
: Bila saudara mula kenal dengan Megat Junid?
MAT SWANDI : Saya berjumpa
dengan Megat Junid
Megat Ayob buat pertama kalinya
di rumah Tun Mustapha di Petaling Jaya, hanya
perbincangan enam mata
sambil makan tengah hari. Kali kedua saya berjumpa dan
berbincang dengan Allahyarham Megat
Junid di rumah Allahyarham
Tun Mustapa di Petaling Jaya bersama Osu Sukam (Timbalan Menteri Kerjaraya pada masa itu) dan Datu Abdul Salam Datu
Harun, pun sambil sarapan tengah hari.
Kali ketiga saya dipanggil
seorang diri berjumpa Allahyarham Megat Junid di pejabat beliau di Bukit Perdana.
Saya sanjung komitmen beliau. Orangnya
berani, amat disayangi oleh Allahyarham Tun Mustapa.
Harakah
: Apa tindakan saudara untuk menjayakan 'Projek IC' ini?
MAT SWANDI : Saya berulang
alik dari KL ke KK boleh
dikatakan setiap minggu membawa
berkotak-kotak borang kuning SPR dengan
penerbangan akhir supaya tidak
kelihatan oleh umum bila
kotak-kotak SPR itu diturunkan oleh
Yahya Hussin dan anggota-anggota cawangan khasnya dan
dibawa terus ke rumah saya di Taman
Berhwemin, Kepayan.
Sahabat-sahabat seperjuangan
setia saya seperti Shafie Hj Apdal,
Sapawi Ahmad, Karim
Bujang, Datuk Dr. Hasbullah, Utuh Usbah, Mohd. Yunus Tahir,
Abu Bakar Abas, Bahari
Aship dan ramai lagi membantu saya
mengagehkan borang-borang SPR ini kepada
pembantu-pembantu USNO untuk merekodkan nama-nama pengundi baru.
Harakah
: Operasi ini dijalankan di rumah saudara?
MAT SWANDI : Rumah saya
di Kepayan menjadi intipan agen-agen
PBS. Saya terpaksa tidur dengan senjata
api, pun tidak nenyak tidur. Malah kalau
mandi pun barang itu saya
bawa sama. Memang
membebankan, tapi seronok pula
kerana peluang untuk berbakti kepada ugama, bangsa dan negara bukannya datang
selalu. Lagi pun bukannya semua orang yang Allah SWT berikan peluang untuk berjihad
seperti ini. Bagi saya itu semuanya adalah
peluang dan pengalaman sekali sahaja
dalam seumur hidup.
Harakah
: Siapa daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang terbabit?
MAT SWANDI : Saya bekerjasama
dengan amat baik sekali dengan
Abdul Rauf Sani
(Dato), Pengarah JPN Sabah pada
masa itu. Peranan beliau amat penting sekali. Kerana saya
bekerja sepenuh masa di BPMB, saya tidak ada masa langsung
untuk terlibat dalam mengenalpasti orang yang diberikan IC biru ini dan langsung tidak
pernah terlibat dalam apa bentuk pun dengan operasi sulit JPN Sabah atau JPN Pusat.
Di pusat gerakan
saya di Kuala Lumpur veteran-veteran USNO seperti Ahmad
Awang dari Tawau, allahyarham
Piting dan ramai lagi yang sudah
meninggal dunia datang membawa ratusan keping setiap seorang salinan
photostat kad pengenalan
yang data-datanya saya suruh pembantu-pembantu saya masukkan ke dalam
komputer. Proses ini dilakukan sepanjang tahun 1989 sehingga bulan April 1990.
Harakah
: Kemudian apa yang saudara lakukan?
MAT SWANDI : 'Print-outs'
senarai pengundi-pengundi baru ini saya kemukakan sendiri
kepada ibu pejabat SPR yang
kebetulan pula duduk di Bangunan
BPMB. Jadi amat mudahlah
saya berurusan dengan ibu pejabat
SPR, khasnya dengan Abdul Rashid
Abdul Rahman (Tan
Sri). Saya tabik diatas komitmen
beliau.
Saya juga dapat menjalinkan
hubungan sokongan yang amat baik dengan kumpulan gerakan Al-Ar’qam dan ketuanya yang
bekerjasama dengan saya ialah Ustaz
Halim, Timbalan kepada Allahyarham Ustaz Ashaari Muhammad. Saya memohon sokongan mereka untuk menyokong USNO. Pada mulanya
mereka itu OK, tetapi
lama kelamaan mereka juga memohon menjadi calon.
Harakah
: Berapa jumlah pengundi yang berjaya dibuat mellaui 'Projek IC' ini?
MAT SWANDI : Seingat saya,
lebih kurang 20,000 pengundi tambahan dapat disenaraikan dan diageh-agehkan ke kawasan-kawasan
yang jadi tumpuan USNO. Allahyarham Tun
Mustapa amat ceria dengan perkembangan 'Projek
IC' biru ini. Isu projek
IC biru ini akhirnya
terbongkar dan disebut dalam
sidang DUN Sabah.
Moral ahli-ahli dan
penyokong-penyokong USNO semakin tinggi. Hotel
Dashrun semakin sibuk dengan ahli-ahli dan penyokong-penyokong USNO. Di situlah tempatnya pegawai-pegawai
berbagai agensi Kerajaan Pusat berkumpul
berjumpa dengan saya serta dengan Datu
Abdul Salam. Semakin ramai
yang datang melobi untuk
menjadi calon menjelang awal tahun 1990 kerana pilihanraya
negeri akan diadakan pada
tahun tersebut.
Tidak kurang
yang datang mengganggu saya di BPMB.
Jemputan untuk makan malam
tidak putus-putus saya
terima. Bekalan ikan kering, udang, sotong
kering dan macam-macam lagi tidak putus-putus saya terima
dari Sabah.
Allahyarham Ahmad Ali Lope (orang Ipoh
teman itu) datang berjumpa saya di pejabat
saya di BPMB bagi pihak
Musa Aman untuk menyatakan hajatnya untuk menjadi calon USNO. Saya dan Datu Abdul
Salam ditengking oleh Allahyarham Tun Mustapa bila kami menyampaikan
hajat Musa Aman. Ringkas
cerita, kerana pulus Musa
Aman kuat, akhirnya
Musa Aman diterima oleh Allahyarham Tun
Mustapa sebagai calon
USNO, kalau tidak silap di Sibuga.
Harakah
: Kemudian apa terjadi dengan 'Projek IC' ini?
MAT SWANDI : Malang
menimpa diri saya
bila satu hari Abdul Rashid
Abdul Rahman (Tan Sri) memanggil saya
turun ke pejabatnya. Saya
pun turun dan
dibawa terus ke bilik
khas di mana saorang
pegawai IT nya membuka
senarai pemilih baru.
Apabila satu nombor KP
itu di klik, saya terkejut
besar bila lebih 20 nama keluar
yang menggunakan nombor
KP yang sama!
Klik satu
nombor KP, begitu juga
dan apabila sudah kali jadi seperti
ini, Abdul Rashid dengan
nada yang kecewa bertanya kepada saya
- “Now, tell
me Mat, which one is
genuine? I can’t do this
type of stupid
job. It’s tiring and embarassing. If this
is the case, I am going
to cancell all”.
Saya tekedu, malu
dan tidak tahu apa
yang saya nak
jawab. Sia-sia segala
pengorbanan dan penat lelah
saya selama ini!
Harakah : Tindakan saudara?
MAT SWANDI : Saya pun terus berjumpa dengan Datu
Abdul Salam. Saya menghantar nota
bertulis kepada Allahyarham Tun Mustapa menyatakan kekecewaan saya. Saya
dipanggil datang kerumah Allahyarham Tun sekali lagi di Petaling Jaya. Beliau
memaklumkan saya supaya bersabar
kerana beliau mahu
membincangkangnya dengan
allahyarham Megat Junid dan untuk
menyelesaikannya.
Harakah
: Apa yang berlaku di sebalik satu no IC digunakan ramai orang itu?
MAT SWANDI: Saya membuat
risikan sendiri dan akhirnya saya dapati orang yang diberikan kepercayaan untuk
mengenalpasti bakal pengundi baru
menjadikannya sebagai jalan paling mudah untuk mencetak wang supaya cepat
kaya. Rupa-rupanya satu nombor KP baru itu dijual kepada lebih 20 orang dengan bayaran diantara
RM200 – RM500 seorang! Kalau kita
andaikan hitung panjang RM300 dikutip daripada
setiap orang, hasil kutipan dari 20,000 orang ialah RM6.0 juta!
Saya memaklumkan perkara ini
kepada Ahmad Said (Dato Seri), Pengarah
BPR Sabah pada masa itu dan juga
kepada pegawai-pegawai Bukit Aman. Akhirnya ramai yang ditangkap di bawah ISA.
Saya memutuskan untuk terus
meninggalkan operasi 'Projek IC' biru ini
dan bertekad untuk berehat ambil melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana.
Syukur alhamdulillah, walaupun saya memohon lewat dan permohonan sudah pun
ditutup, dengan rahmat Allah SWT saya
diterima juga untuk melanjutkan pelajaran ke Asian Institue of Management
(AIM) Manila, Philippines.
Professor yang menemuduga
saya didatangkan khas dari Manila untuk menemuduga dan menjalankan ujian IQ
saya seorang sahaja di sebuah hotel dan selesai kertas ujian saya berikan kepadanya dalam masa yang singkat, beliau berkata “Most Welcome
To AIM, You Are A Potential Distinction Candidate”.
Saya teramat bersyukur dan esok tiga hari kemudian apabila
saya menerima surat tawaran ke AIM melalui faks, saya terus memohon kepada Ketua
Eksekutif BPMB untuk cuti belajar dengan bantuan biasiswa dan
gaji penuh.
Malang sekali
lagi, saya terpaksa
mengambil cuti belajar
tanpa biasiswa dan
tanpa gaji. Nasib
baik saya dapat
kelulusan segera dari
MARA untuk melanjukan
pelajaran ke AIM
dengan bantuan tiket
kapal terbang.
Allahyarham Tun Mustapa
memberikan saya USD1,000
yang saya tinggalkan dengan isteri
pertama saya manakala
Datu Haji Abdul Salam
memberikan saya RM1,000
yang saya tinggalkan
dengan isteri kedua saya. Anak-anak saya
yang masih kecil
terpaksa saya tinggalkan.
Saya terbang
ke AIM pada bulan Jun 1990 dengan hanya RM500 dalam poket, sedihnya hanya
Allah SWT yang tahu. Zahid Hamidi
menjanjikan bantuan Tabung Pemuda UMNO kepada saya, tetapi sampai
saya habis belajar habuk
pun tak ada.
Saya menyerahkan semua fail-fail
rahsia serta disk 3.5” kepada
Allahyarham Tun Mustapa dan juga kepada Datu Abdul Salam
sebelum saya bertolak ke Manila.
Syukur alhamdulillah, apa
pun beberapa orang generasi
muda terpelajar seperti
Yahya Hussin, Dr. Yusuf Yakob,
Karim Bujang, Datu Nasrun dan
lain-lain lagi dipilih sebagai calon dalam pilihanraya negeri dalam bulan Oktober 1990. Ramai yang
kalah kepada PBS.
Harakah
: Jadi apa peranan Tun Mahathir dalam 'Projek IC' di Sabah itu?
MAT SWANDI : Semuanya itu
adalah agenda terselit Mahathir untuk menjatuhkan Tun Mustapha dan Usno agar
Umno mudah dibawa masuk ke Sabah tanpa banyak rintangan daripada Tun Mustapha.
Ini terbukti Mahathir
menghina Tun Mustapha dan tidak melantiknya Ketua Perhubungan Umno Sabah
apabila Umno diizinkan masuk, sebaliknya Sakaran Dandai, bapa saudara Shafie
Apdal Mahathir pilih jadi Ketua Umno Sabah. Sedangkan Sakaran selama duduk
dalam Usno hanyalah Timbalan Presiden Usno.
Bagi saya penghinaan
terhadap Tun Mustapha sebagai Bapa Kemerdekaan Sabah yang sanggup bubarkan Usno
dan bagi masuk Umno ke Sabah adalah penghinaan terhadap rakyat Sabah itu
sendiri.
Oleh itu rakyat Sabah, wajib
bangun kali ini menolak Umno-BN bulat-bulat. Sejak Umno bertapak di Sabah,
keluarga Tun Mustafa dibiarkan jadi melukut di tepi gantang, tdak hairan
sekarang, keluarga Tun Mustapha bangkit bersama Pakatan menolak Umno-BN
"Ini kali lah".
Harakah
: Apa sebab khusus Mahathir mahu jatuhkan PBS masa itu?
MAT SWANDI : Di antara
agenda Mahathir yang meminta Allahyarham Tun Mustapa untuk menjatuhkan PBS dengan apa cara sekali pun
ialah kerana Mahathir tercabar dengan ura-ura bahawa PBS mahu membawa Sabah
keluar dari Malaysia. Buktinya 'Kambing
Hitam' PBS yang menjadi mangsa ura-ura ini ialah Pengarah Institute of
Development Studies (IDS) Sabah iaitu Datuk Dr. Jeffery Kitingan, adik kepada Datuk
Pairin Kitingan ditahan di bawah ISA.
Mahathir pernah mengeluarkan
amaran bahawa tiada jalan untuk sesiapa yang mahu membawa Sabah keluar dari
Malaysia dan sesiapa sahaja yang
mencetuskan cabaran ini akan ditahan di bawah ISA.
Kalau tidak silap lewat tahun
1994 semasa saya melawat Allahyarham Tun
Mustapa di hospital, Allahyarham menangis sambil berkata kepada saya bahawa kalau direnung-renungkan
balik semuanya apa
yang beliau lakukan untuk 'Projek
IC' biru itu dulu dengan saya ialah agenda tersembunyi jangka
panjang Mahathir Mohamad yang
mahu membawa UMNO masuk tanpa ditentang
daripada Tun Mustafa.
Harakah
: Apa sikap Tun Mustapha?
MAT SWANDI : Tun Mustafa
dengan hati yang berat membubarkan USNO
di atas pujukan Mahathir Mohamad dengan penuh harapan bahawa beliau akan dilantik secara automatik sebagai Ketua
Perhubungan UMNO Sabah, tetapi
sebaliknya apa yang Mahathir buat ialah melantik Datuk Sakaran Dandai (Tun), pakcik kepada Shafie
Apdal sebagai Ketua Perhubungan UMNO
Sabah sedangkan selama ini
sebelum UMNO bertapak di Sabah,
Datuk Sakaran Dandai (Tun) ialah Timbalan Presiden USNO.
Dengan air mata yang mengalir dalam keadaan badan yang sakit,
lemah semangat dan dengan nada perlahan
yang terputus-putus, Allahyarham Tun Mustapa mengatakan kepada saya bahawa seolah-olah
UMNO meletakkan hujung pedang di atas
kepalanya apabila Mahathir tanpa
merujuk kepada beliau terlebih dahulu melantik Datuk Sakaran Dandai (Tun) sebagai Ketua Perhubungan UMNO Sabah
sedangkan beliau masih lagi hidup.
Allahyarham Tun Mustapha
menyifatkan penghinaan Kuala Lumpur ini
terhadap beliau ini sudah keterlaluan saolah-olah beliau
dipermainkan oleh Mahathir sebagai 'budak
suruhannya' dalam 'Projek IC' biru dulu. Habis manis sepah dibuang. Rakyat Sabah
tanpa mengira bangsa, keturunan dan fahaman politik wajib ingat bahawa
tanpa kesediaan Allahyarham Tun Mustapa
membubarkan USNO pada tahun 1991, UMNO tidak
mungkin dapat bertapak di Sabah sehingga ke saat ini.
Penghinaan UMNO ini terhadap
Allahyarham Tun Mustapa bukannya
hanya merupakan penghinaan
terhadap Allahyarham Tun Mustafa sendiri,
malah adalah penghinaan kepada seluruh
rakyat Sabah. UMNO Sabah sewajibnya memberikan penghormatan kepada
keluarga besar Allahyarham Tun Mustapa dalam menyatupadukan rakyat Sabah, khasnya
di kalangan Bumiputera yang berbilang latar belakang itu, tetapi malangnya
kerana terlalu rakus kuasa dan angkuh, keluarga Allahyarham Tun Mustapa
dibiarkan seperti melukut di tepi gantang.
Harakah
: Apakah 'Projek IC' seperti di Sabah juga sedang berjalan di Semenanjung?
MAT SWANDI : Di Johor mereka
ditarbiah mengapa mereka diberikan kad pengenalan biru/kerakyatan Malaysia
secara mudah kerana UMNO yang sedang nazak ini amat memerlukan sangat undi
mereka ini untuk memastikan kemengan UMNO-BN dengan cara apa sekali pun sebab
orang-orang UMNO ini mengakui kekuatan tentangan rakyat tempatan
terhadap UMNO-BN pimpinan Najib-Muhyiddin Yasin.
Pemegang kad pengenalan biru baru ini
ditakut-takutkan kalau UMNO kalah kepada Pakatan nanti kononnya kuasa politik orang Melayu akan
hilang di bumi Malaysia dan orang Melayu akan dihina oleh orang Cina. Cerita 'Tragedi
13 Mei 1969' ditimbulkan kembali untuk menakut-nakutkan pemegang kad pengenalan
Malaysia dari Indon ini. Mereka juga diberikan amaran bahawa kalau mereka tidak
mengundi UMNO-BN, SPR boleh kesan undi mereka dan akhirnya kerakyatan Malaysia
mereka akan ditarik balik!
Yang teramat peliknya
sokongan dan undi
warga Indon ini
ditagih, tetapi kebajikan
mereka tetap dianaktirikan oleh
UMNO-BN pimpinan
Najib-Muhyiddin ini. Perniagaan
mereka di Chow Kit, di Jalan Masjid India, di
pasar tani, pasar
malam, pasar borong
dan di lain-lain tempat dizalimi dan barang-barang perniagaan mereka dirampas
dan dirosakkan oleh DBKL.
Undi pemegang
kad pengenalan 'Projek IC' biru ini
diperlukan oleh UMNO-BN,
tetapi pelajaran anak-anak
mereka kelahiran Malaysia
dan bertaraf warganegara
Malaysia tetap dianaktirikan oleh
UMNO. Mereka tidak diberikan kemudahan pinjaman buku, tiada bantuan pelajaran
apabila mendapat tempat di IPTA/IPTS!
Warga keturunan Indonesia yang baru
mendapat kerakyatan Malaysia
hasil 'Projek IC' biru wajib
sedar bahawa mereka ini diperkudakan
dan diperbodohkan oleh UMNO.
Mereka wajib menolak UMNO dalam PRU13 ini dan pastikan Pakatan menang
besar untuk mengembalikan
maruah, martabat dan harga diri
rakyat Malaysia keturunan
Indonesia ini.
Harakah
: Jadi apa persepsi saudara dengan Umno hari ini?
MAT SWANDI : UMNO selepas
era Tun Abdullah sudah hilang panduan, hilang pertimbangan, hilang arah tuju
yang betul dan semakin
terkeluar dari matlamat penubuhan dan perjuangan asal UMNO. Orang yang
dan pencen pun semakin nyanyuk
menjadi nahkoda kapal UMNO yang
semakin bocor dan semakin terumbang
ambing.
Sudah terlalu lama UMNO memimpin Kerajaan. UMNO
semakin letih dan lesu. Saya tetap 'sayangkan UMNO'. Orang yang
sayangkan kawannya yang
letih mesti membantunya
berehat secukupnya supaya
orang yang cukup rehat boleh bangun kembali dan segar meneruskan tugasnya.
Oleh itu, saya yang 'sayangkan
UMNO' mahu semua rakyat Malaysia merehatkan UMNO dalam PRU13 ini supaya semua karat barat UMNO, semua penyakit kanser UMNO dan
semua kuman UMNO dapat dibersihkan dan
sambil berehat dalam ICU, UMNO
boleh melihat bagaimana gabungan Kerajaan
baru Pakatan Rakyat boleh mampu mentadbir negara dengan jauh
lebih baik lagi tanpa
rasuah, tanpa keangkuhan, tanpa
salah guna kuasa, tanpa
membazirkan wang rakyat,
tanpa AES yang
mengazlimi rakyat, tanpa PTPTN tetapi biasiswa, tanpa tol, tanpa harga
bahan api yang tinggi, tanpa
kadar bayaran letrik yang tinggi, tanpa bekalan air disabotag oleh UMNO
seperti yang berlaku di Selangor.
No comments:
Post a Comment