Sunday, 31 March 2013

KERAJAAN KOMITED JANA PENDIDIKAN






PECAH TANAH.....Azizah mengendalikan jentera sebagai simbolik perasmian pecah tanah Perpustakaan Desa di Kg Batu 58, Beaufort.

BEAUFORT : Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Azizah Mohd Dun berkata, kerajaan tidak pernah mengabaikan kawasan luar bandar dalam agenda pembangunan pendidikan di negeri ini.

Beliau berkata, ini terbukti di mana kerajaan telah dan akan terus membina lebih banyak Perpustakaan Desa sebagai suntikan awal untuk anak-anak mencintai ilmu dan menanam budaya suka membaca.

Katanya, perkhidmatan Perpustakaan Desa adalah salah satu perkhidmatan yang disediakan oleh Perpustakaan Negeri Sabah selain daripada perkhidmatan Perpustakaan Wilayah, Perpustakaan Cawangan dan Perpustakaan Bergerak.

“Tiga projek Pembangunan Desa telah diluluskan iaitu Perpustakaan Desa Kg. Rancangan Klias, Perpustakaan Desa Batu 58 Beaufort dan Kg. Kebimbangan, Semporna. Pembinaan ketiga-tiga bangunan Perpustakaan Desa ini akan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan.

“Kita amat menghargai jasa, peranan dan sokongan Perpustakaan Negara Malaysia dari awal proses permohonan dikemukakan sehinggalah kepada kelulusan projek pembangunan Perpustakaan Desa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pecah Tanah Perpustakaan Desa Kg.Batu 58, Beaufort, di sini, kelmarin.

Bermula dengan pembinaan Perpustakaan Desa yang pertama di kampung Sunsuron, Tambunan pada tahun 1986, kini Sabah memiliki 75 buah Perpustakaan Desa di seluruh daerah di negeri ini.

Azizah berkata, apabila siap kelak, Perpustakaan Desa Batu 58 itu akan dilengkapi pelbagai kemudahan dan bahan bacaan seperti majalah dan surat khabar sesuai dengan fungsinya sebagai tempat menimba ilmu dan tempat belajar.

“Lokasi tapak Perpustakaan Desa itu amat strategik kerana berhampiran dengan jalan raya yang menghubungkan kampung-kampung sekitar.

“Saya berharap dengan terbinanya Perpustakaan Desa ini kelak, penduduk kampung akan menggunakannya sebaik mungkin untuk meningkatkan ilmu pengetahuan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri sedar akan kepentingan dan peranan perpustakaan untuk menyemai dan menggalakkan tabiat membaca di kalangan rakyat.

“Oleh itu, kementerian saya melalui Perpustakaan Negeri Sabah akan sentiasa merancang pembangunan perpustakaan sama ada Perpustakaan Wilayah, Perpustakaan Cawangan, Perpustakaan Desa atau Perkhidmatan Perpustakaan Bergerak di negeri ini untuk manfaat rakyat di negeri ini,” katanya.

Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Asnimar Sukardi; Pengarah Perpustakaan Negeri Sabah Wong Vui Yin; Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Rangkaian Perpustakaan mewakili Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia Rosyam Abd Shukor; Penolong Pegawai Daerah Beaufort Mohd Shaid Othman; Ketua Daerah OKK Wong Samie dan Naib Ketua Umno Bahagian Beaufort Datuk Kimjus Duim.

No comments:

Post a Comment