PECAH
TANAH.....Azizah mengendalikan jentera sebagai simbolik perasmian pecah tanah Perpustakaan
Desa di Kg Batu 58, Beaufort.
BEAUFORT : Menteri
Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Azizah Mohd Dun berkata,
kerajaan tidak pernah mengabaikan kawasan luar bandar dalam agenda pembangunan
pendidikan di negeri ini.
Beliau berkata, ini terbukti
di mana kerajaan telah dan akan terus membina lebih banyak Perpustakaan Desa
sebagai suntikan awal untuk anak-anak mencintai ilmu dan menanam budaya suka
membaca.
Katanya, perkhidmatan
Perpustakaan Desa adalah salah satu perkhidmatan yang disediakan oleh
Perpustakaan Negeri Sabah selain daripada perkhidmatan Perpustakaan Wilayah,
Perpustakaan Cawangan dan Perpustakaan Bergerak.
“Tiga projek Pembangunan
Desa telah diluluskan iaitu Perpustakaan Desa Kg. Rancangan Klias, Perpustakaan
Desa Batu 58 Beaufort dan Kg. Kebimbangan, Semporna. Pembinaan ketiga-tiga
bangunan Perpustakaan Desa ini akan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan
Persekutuan.
“Kita amat menghargai jasa,
peranan dan sokongan Perpustakaan Negara Malaysia dari awal proses permohonan
dikemukakan sehinggalah kepada kelulusan projek pembangunan Perpustakaan Desa
ini,” katanya.
Beliau berkata demikian
ketika berucap pada majlis Pecah Tanah Perpustakaan Desa Kg.Batu 58, Beaufort,
di sini, kelmarin.
Bermula dengan pembinaan
Perpustakaan Desa yang pertama di kampung Sunsuron, Tambunan pada tahun 1986,
kini Sabah memiliki 75 buah Perpustakaan Desa di seluruh daerah di negeri ini.
Azizah berkata, apabila siap
kelak, Perpustakaan Desa Batu 58 itu akan dilengkapi pelbagai kemudahan dan
bahan bacaan seperti majalah dan surat khabar sesuai dengan fungsinya sebagai
tempat menimba ilmu dan tempat belajar.
“Lokasi tapak Perpustakaan
Desa itu amat strategik kerana berhampiran dengan jalan raya yang menghubungkan
kampung-kampung sekitar.
“Saya berharap dengan
terbinanya Perpustakaan Desa ini kelak, penduduk kampung akan menggunakannya
sebaik mungkin untuk meningkatkan ilmu pengetahuan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan
negeri sedar akan kepentingan dan peranan perpustakaan untuk menyemai dan menggalakkan
tabiat membaca di kalangan rakyat.
“Oleh itu, kementerian saya
melalui Perpustakaan Negeri Sabah akan sentiasa merancang pembangunan
perpustakaan sama ada Perpustakaan Wilayah, Perpustakaan Cawangan, Perpustakaan
Desa atau Perkhidmatan Perpustakaan Bergerak di negeri ini untuk manfaat rakyat
di negeri ini,” katanya.
Turut hadir, Setiausaha
Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Asnimar
Sukardi; Pengarah Perpustakaan Negeri Sabah Wong Vui Yin; Timbalan Pengarah
Kanan Bahagian Rangkaian Perpustakaan mewakili Ketua Pengarah Perpustakaan
Negara Malaysia Rosyam Abd Shukor; Penolong Pegawai Daerah Beaufort Mohd Shaid
Othman; Ketua Daerah OKK Wong Samie dan Naib Ketua Umno Bahagian Beaufort Datuk
Kimjus Duim.
No comments:
Post a Comment