Thursday 7 March 2013

KIRAM III WAJAR PANGGIL BALIK PENGGANAS







Oleh: SAIMON S JUMADI

SANDAKAN : Pertubuhan Masyarakat Suluk Bersekutu (USCO) menggesa Sultan Jamalul Kiram III memanggil balik pengganas yang kini masih berkubu di Kampung Tanduo, Tungku di Lahad Datu bagi mengelak berlakunya lagi pertumpahan darah.

Presiden USCO, Bentan Alamin, menegaskan tindakan pengikut Sultan Jamalul yang kini menjadi pengganas di Sabah, amat dikesali kerana ia tidak akan membawa apa-apa makna atau sebarang penyelesaian; malahan mengundang masalah akibat daripada tindakan menceroboh kedaulatan negara ini.

Katanya, pihak penceroboh perlu menyedari bahawa negeri ini sudah pun dimiliki oleh Malaysia sekiranya dikaji selidik dari segi fakta sejarah lebih-lebih lagi melibatkan lelaki barat yang bernama Baron De Overback Alfred Dent.

"Kita difahamkan bahawa Sabah diberi kepada Baron di mana semua kawasan Sungai Pandasan di pantai barat ke seluruh pantai timur sejauh Sungai Sibuco.

"Ini kena difahami ... kalau nak tuntut pun, gunakanlah saluran yang betul dan bukan menggunakan cara sehingga boleh membawa kepada pertumpahan darah," jelasnya dalam satu kenyataan akhbar di sini, kelmarin.

Lagi pun, kata Bentan, pemerintahan Kesultanan Sulu dikatakan tamat pada sekitar 1876. 

Justeru itu, beliau percaya masyarakat Suluk bumiputera di negeri ini sama sekali tidak menyokong dan menolak sekeras-kerasnya tindakan Sultan Jamalul dan pengikutnya itu.

"Seperkara lagi, mereka kena ingat ... kerajaan Malaysia tidak akan mengusir orang-orang Suluk di Sabah.

"Oleh hal demikian, saya ingin berpesan kepada orang-orang Suluk terutama ahli-ahli USCO agar tidak mempercayai sebarang khabar angin kononnya orang-orang Suluk akan ditahan dan ditangkap pihak polis ... itu tidak benar," ujarnya.

Dalam pada itu, Bentan mengucapkan takziah kepada keluarga anggota polis yang terkorban dalam pertempuran dengan kumpulan penceroboh di Kampung Tanduo dan Semporna baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment