YANG DIPERTUA Pertubuhan
Kebajikan Al-Ehsan, Datuk Seri Muhammad Ridzwan Sulaiman hari ini menyerah diri
di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang bagi membantu siasatan berhubung
pencerobohan bersenjata di Sabah.
Beliau, yang memakai baju
Melayu merah dan berserban, hadir bersama lebih 10 orang kenalannya di balai
polis itu pada 11.05 pagi tadi.
Bercakap kepada pemberita
sebelum menyerah diri kepada pihak polis, Muhammad Ridzwan mengaku memberi
bantuan kewangan kepada Sultan Sulu, Jolo, selatan Filipina iaitu Sultan
Muedzul Lail Tan Kiram yang pernah ditemuinya pada 15 dan 16 September tahun
lalu.
Beliau bagaimanapun
menafikan bahawa Jamalul Kiram, yang dipercayai menjadi dalang pencerobohan di
Sabah, adalah Sultan Sulu.
"Saya tidak kenal pun
Jamalul Kiram," katanya.
Muhammad Ridzwan menyerah
diri hari ini berikutan kenyataan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib
semalam yang memintanya menyerah diri dengan segera di mana-mana balai polis
berhampiran.
Hamza berkata Muhammad
Ridzwan, yang tidak terlibat dengan pengganas bersenjata dari selatan Filipina,
boleh membantu pihak polis dalam siasatan mengenai kes pencerobohan di Lahad
Datu pada 12 Februari lepas. (Bernama)
No comments:
Post a Comment