Tuesday, 2 April 2013

SOKONGAN TERHADAP PAS DI BATU SAPI MEMUNCAK






SOKONGAN..... Haji Hamzah bersama-sama penduduk kampung yang menyatakan sokongan terhadap Pakatan Rakyat.

Oleh : SITI SALASIAH SALAMUN

Pada 29 Mac yang lalu, PAS Kawasan Batu Sapi meneruskan rencana menyantuni masyarakat sekitar Parlimen Batu Sapi dan menjejaki pengundi yang berdaftar.

Kali ini agenda penting PAS Kawasan Batu Sapi bertapak di Kampung Good View, Forest Sandakan yang terletak berdepan dengan salah sebuah sekolah kebangsaan di Batu 2 Sandakan.

Kampung ini yang juga merupakan salah sebuah kampung air yang kebanyakan masyarakatnya terdiri daripada suku kaum Bajau.

Ceramah kelompok yang diadakan di salah sebuah rumah penduduk kampung di situ dihadiri lebih daripada 30 orang penduduk yang membawa pelbagai harapan terhadap pimpinan PAS Kawasan Batu Sapi yang sudi mendengar luahan dan masalah yang ditanggung oleh mereka selama ini.

Antara masalah yang sering menghantui mereka adalah masalah kad pengenalan atau pendokumen pengenalan diri. Rata-rata mereka yang ditemui mempunyai masalah yang sama iaitu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah walaupun sudah berpuluh tahun menetap di Sabah.
Puan Daya Majid merupakan salah seorang penduduk yang datang berjumpa dengan salah seorang petugas PAS yang ada dan meluahkan masalah yang ditanggungnya selama ini, iaitu tidak mempunyai kad pengenalan mahupun pengesahan sahtaraf.

Puan Daya sudah menetap di Sandakan lebih daripada 20 tahun dan sudah mempunyai anak dan cucu yang lahir di sini. Beliau menyatakan kekesalan terhadap sistem birokrasi kerajaan yang menyukarkannya untuk mendapatkan pengesahan sah taraf dan kad pengenalan.

Tambahan pula jarak yang jauh antara rumahnya dan Jabatan Pendaftaran juga menjadi salah satu faktor yang menyebabkan beliau sukar untuk menguruskan dokumen yang berkaitan.

Apabila Tuan Haji Hamzah, Yang Dipertua PAS Kawasan Batu Sapi mendedahkan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) pernah melakukan ‘jenayah’ terbesar dengan memberikan kad pengenalan atau pun IC kepada penduduk, hal ini menjadikan penduduk tempatan menjadi berang.

Bagi mereka, tindakan ini tidak sepatutnya dilakukan kerana ia akan mendatangkan kesan buruk dalam jangkamasa yang panjang. Tidak mustahil satu hari nanti Sabah akan diambilalih oleh pendatang asing yang diberikan projek IC tersebut. Natijahnya, rakyat tempatan akan merempat di tempat sendiri.

Kesengsaraan rakyat di sekitar kampung tersebut juga berlegar dalam 3 isu utama iaitu isu kad pengenalan, bekalan air bersih dan capaian elektrik serta hak milik petempatan.

Masyarakat ini amat berharap agar mereka dapat diberikan taraf tetap sebagai penduduk di kampung tersebut. Rumah yang dibina semuanya hasil dari titik peluh sendiri tanpa bantuan sesen pun daripada kerajaan Negeri.

Petugas PAS yang hadir juga terpaksa meletakkan kenderaan jauh dari rumah penduduk kerana ketiadaan tempat meletak kereta. Petugas juga terpaksa mengharungi keadaan jambatan yang agak uzur dan berlubang di sana sini.

Hal ini amat menyedihkan kerana perkampungan ini mempunyai ramai penduduk. Mereka sentiasa mengharapkan agar nasib mereka dibela terutama oleh wakil rakyat Barisan Nasional.

Oleh yang demikian, berilah mandat kepada Pakatan Rakyat dalam gelombang PRU ke 13 ini nanti. Kita mahukan pemimpin yang dipilih menjadi mata dan telinga kepada rakyat, bukannya mensia-siakan harapan rakyat. Rakyat adalah agen terbesar dalam perubahan ini. Ini kali lah!

No comments:

Post a Comment