OLEH: SHAIMON S JUMADI
KERAKUSAN pihak tertentu untuk kepentingan diri sendiri sehingga menyebabkan bangunan Pasar Umum di daerah Sandakan yang merupakan khazanah warisan dibiarkan diroboh begitu saja.
Sepatutnya bangunan ini dikekalkan sehingga hari ini; kalaupun pihak tertentu hendak menambahkan bangunan yang lain seperti yang ada sekarang ini akan tetapi bangunan Pasar Umum lama janganlah diroboh malah ianya dikekalkan sampai bila-bila.
Alangkah baiknya jika bangunan pasar lama itu dinaik taraf dijadikan pasar seni yang berperanan sebagai pusat perniagaan barang-barang antik atau produk-produk diperbuat daripada anyaman buluh atau rotan.
Dengan adanya pasar seni bagi menempatkan jualan produk-produk tempatan, sudah tentu bakal menjadi satu tarikan kepada para pelancong luar dan dalam untuk berkunjung ke pasar itu.
Pasar Umum lama itu banyak membawa kenangan manis kepada masyarakat setempat khusus anak watan Sandakan kerana bermacam-macam jenis perniagaan yang ada didalam pasar itu. Selain tempat menjual sayur-sayuran, buah-buahan dan ikan masin di tingkat bawah manakala di tingkat atasnya pula tempat menjual pakaian, barang-barang runcit dan gerai makan minum.
Sepatutnya pihak yang berkenaan sebelum merobohkan bangunan pasar umum itu terlebih dahulu meminta pandangan daripada orang-orang tertentu yang tahu tentang sejarah pembinaan pasar itu. Hal ini kerana, bangunan pasar lama itu boleh dijadikan khazanah dan warisan sepanjang zaman turun-menurun hingga ke cucu cicit.
Setakat ini masih terdapat beberapa buah bangunan lama yang masih kekal seperti bangunan Pejabat Pos lama, Masjid Jamek dan bekas bangunan Mahkamah Tinggi ini khabarnya tidak lama lagi akan diroboh.
Yang paling ketara sekali adalah Masjid Jamek kerana nyaris-nyaris diroboh disebabkan status tanahnya. Mujurlah ada beberapa hamba Allah yang berani menentang untuk mempertahankan kedudukan masjid yang berusia lebih 100 tahun itu daripada dijadikan mangsa kerakusan ketamakkan pihak yang berkenaan.
Sayang sekali bangunan Pasar lama diroboh; bagi generasi baru ,kelahiran pada 2003 sudah pasti tidak dapat melihat bangunan khazanah itu. Mereka hanya boleh melihat daripada gambar sahaja kerana ‘nasi sudah menjadi bubur’.
No comments:
Post a Comment