Monday, 15 December 2014

KERAKUSAN PEMBANGUNAN PASAR LAMA DIROBOH


OLEH: SHAIMON S JUMADI



KERAKUSAN pihak tertentu untuk kepentingan diri sendiri sehingga menyebabkan bangunan Pasar Umum di daerah Sandakan yang merupakan khazanah warisan dibiarkan diroboh begitu saja.


Sepatutnya bangunan ini dikekalkan sehingga hari ini; kalaupun pihak tertentu hendak menambahkan bangunan yang lain seperti yang ada sekarang ini akan tetapi bangunan Pasar Umum lama janganlah diroboh malah ianya dikekalkan sampai bila-bila.

Alangkah baiknya jika bangunan pasar lama  itu dinaik taraf  dijadikan pasar seni yang berperanan sebagai pusat perniagaan barang-barang antik atau produk-produk diperbuat daripada anyaman buluh atau rotan.

Dengan adanya pasar seni bagi menempatkan jualan produk-produk tempatan, sudah tentu  bakal menjadi satu tarikan kepada para pelancong luar dan dalam untuk berkunjung ke pasar itu.

Pasar Umum lama itu banyak membawa kenangan manis kepada masyarakat setempat khusus anak watan Sandakan  kerana bermacam-macam jenis perniagaan yang ada didalam pasar itu. Selain tempat menjual sayur-sayuran, buah-buahan dan ikan masin di tingkat bawah manakala di tingkat atasnya pula tempat menjual pakaian, barang-barang runcit dan gerai makan minum.

Sepatutnya pihak yang berkenaan sebelum  merobohkan bangunan pasar umum itu terlebih  dahulu meminta pandangan daripada orang-orang tertentu yang tahu tentang sejarah pembinaan pasar itu. Hal ini kerana, bangunan pasar lama itu  boleh dijadikan khazanah dan warisan sepanjang zaman  turun-menurun hingga ke cucu cicit. 

Setakat ini masih terdapat beberapa buah bangunan lama yang masih kekal  seperti bangunan Pejabat Pos lama, Masjid Jamek dan bekas bangunan Mahkamah Tinggi ini  khabarnya tidak lama lagi akan diroboh.



Yang paling ketara sekali adalah Masjid Jamek kerana  nyaris-nyaris diroboh disebabkan  status tanahnya. Mujurlah ada beberapa hamba Allah yang berani menentang untuk mempertahankan  kedudukan masjid yang berusia lebih 100 tahun itu daripada dijadikan mangsa kerakusan ketamakkan pihak yang berkenaan.


Sayang sekali bangunan Pasar lama diroboh;  bagi generasi baru ,kelahiran pada 2003 sudah pasti  tidak dapat melihat bangunan khazanah itu. Mereka hanya boleh melihat daripada gambar sahaja kerana ‘nasi sudah menjadi bubur’.

No comments:

Post a Comment