Tuesday, 24 March 2015

Bukit Harapan - Kampung Molisau



PENGALAMAN BERHARGA....Seramai 33 belia Kampung Molisau Tenghilan dan tujuh golongan ibu menghargai lawatan berkenaan sebagai pengalaman cukup bermakna buat mereka.


KOTA KINABALU: Tidak ada yang lebih bererti buat para penghuni Bukit Harapan Therapy Community, dekat sini apabila menerima kunjungan seramai 40 orang belia dari Kampung Molisau Tenghilan, pada Sabtu lalu.


Bukan hanya mereka, tetapi program anjuran Tim Pelayanan Belia Chapel (TPBC) selama beberapa jam itu benar-benar memberi suatu pengalaman cukup berharga buat ahli-ahli rombongan terutamanya para remaja belia mereka terutamanya yang baharu mencecah usia 12 hingga 15 tahun.

Rombongan itu disambut dengan penuh kemesraan dan kasih sayang oleh anak-anak penghuni dan para kakitangan di Bukit Harapan itu yang menanti penuh sabar sebagai tetamu istimewa mereka.

Menurut penyelaras program lawatan itu, yang juga Koordinator TPBC Kampung Molisau Tenghilan, Anna Maria Dualis, objektif program berkenaan adalah untuk menerapkan rasa simpati, kasih sayang dan keprihatinan masyarakat terutamanya belia terhadap golongan kurang bernasib baik.

“Selain itu, kita juga mahu memberi sokongan moral kepada golongan yang memerlukan khidmat sokongan dan semangat kepada mereka di Bukit Harapan untuk meneruskan kehidupan seperti orang lain,” katanya.

Justeru, beliau berharap program seumpama itu mampu menanam rasa syukur kepada Tuhan atas segala nikmat yang telah dikurniakan melalui perhatian terhadap golongan yang memerlukan.

Anna sendiri mengakui, program itu bukan sahaja mampu memberi makna yang besar buat penghuni yang terdiri daripada Orang Kelainan Upaya (OKU), malah juga kepada para ahli rombongan lawatan berkenaan, terutamanya yang baharu pertama kali menjejakkan kaki ke Bukit Harapan.

Seorang belia, Petronella Adrian, 30an, mengakui berasa amat terharu dan sebak apabila melihat kesungguhan sebilangan penghuni Bukit Harapan menyanyikan beberapa lagu kepada mereka semasa menyambut ketibaan rombongan tersebut.

“Saya tidak menyedari air mata saya mengalir sebaik mereka menyanyikan lagu ‘We Are The World’ dan beberapa lagu lain sebelumnya, yang saya tahu mereka tidak putus-putus tersenyum kepada kami, seolah-olah tidak ada sedikit beban pun ditanggung mereka,” katanya.

“Sesungguhnya pengalaman cukup berharga sepanjang di Bukit Harapan akan kami kongsikan kepada kawan-kawan dan anak-anak bagi menyedarkan mereka akan pentingnya untuk sentiasa bersyukur dalam hidup dan tidak melupakan golongan yang kurang bernasib baik,” kata seorang ibu, Awin Garagad.

Lawatan yang turut diselitkan dengan penyampaian bantuan berkenaan juga disertai seramai tujuh orang ibu yang turut mahu merasai pengalaman penuh makna itu.

Sebelum berangkat, para belia terutamanya golongan lelaki telah diberi peluang untuk melawat ke sekitar kawasan tempat tinggal para penghuni rumah Bukit Harapan tersebut.

Turut hadir pada program itu ialah para penyelaras di Bukit Harapan, Audra Keyworth dan Jerry Kamijan.




TERIMA KASIH....Penyelaras program lawatan, Anna Maria menyampaikan sedikit sumbangan kepada wakil rumah Bukit Harapan.

No comments:

Post a Comment