Oleh : MOHD NAZIB MACPEE
LAHAD DATU: Seramai 1,347
orang dijangkiti HIV dan 453 orang mengidap AIDS di Sabah sejak 1991 sehingga
2011,dan daripada jumlah itu sebanyak 185 kematian telah direkodkan.
Ahli Parlimen Silam, Dr Haji
Salleh Kalbi berkata punca jangkitan di Sabah kebanyakannya disebabkan hubungan
seks berbilang pasangan dengan 1,235 orang atau 91.7 peratus kes melibatkan
HIV, manakala melalui jarum suntikan melibatkan 32 orang atau 2.4 peratus.
Katanya, pada tahun 2011,
antara daerah yang merekodkan kes tinggi HIV dan AIDS adalah Kota Kinabalu
iaitu 59 kes HIV dan 30 kes AIDS, bagi Daerah Tawau 27 kes HIV dan 15 kes AIDS,
manakala Sandakan merekodkan 18 kes HIV, 7 kes AIDS dan diikuti Daerah Lahad
Datu yang hanya merekodkan satu kes HIV dan satu kes pengidap AIDS, dan tiada
kematian direkodkan.
Beliau berkata demikian
semasa berucap merasmikan sambutan Hari AIDS Sedunia Peringkat Negeri Sabah
yang berlangsung di Dataran Palma Lahad Datu, di sini, kelmarin.
Pada majlis itu, Salleh
berkata untuk mengatasi masalah itu, kerajaan sentiasa melakukan yang terbaik
dalam memastikan rakyat hidup dalam keadaan yang selesa, selaras dengan janji
kerajaan “Rakyat diutamakan”.
Katanya, ini terbukti
apabila Kementerian Kesihatan sentiasa komited dalam membanteras penularan
jangkitan HIV, AIDS dan juga memastikan sifar kematian berkaitan AIDS dapat
dicapai.
Sementara itu, Pengarah
Kesihatan Negeri Sabah, Dr Christina Rundi berkata tema sambutan Hari AIDS
Sedunia bagi tempoh lima tahun bermula 2011 hingga 2015 ialah Menuju Sifar.
Justeru, katanya, pelbagai
aktiviti telah dirancang untuk mencapai matlamat berkenaan, termasuklah
mengadakan program roadshow AIDS, seminar HIV/AIDS dalam kalangan ahli panel
penasihat klinik, jabatan persekutuan dan negeri serta kakitangan KKM, program
OPS Prihatin, ceramah kesedaran, hebahan melalui radio, saringan HIV kepada
bakal pengantin dan HIV Update. (UB)
No comments:
Post a Comment