Monday, 17 December 2012

MAHASISWA PERLU DIBERI PELUANG BERSUARA






Oleh: AMINUDDIN ALING

BADAN Perhubungan PAS Negeri Sabah terlebih dahulu ingin merakamkan setinggi tahniah kepada Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) Negeri Sabah atas kejayaan menganjurkan Kongres Belia 2.0 Sabah yang diadakan pada Sabtu lalu.

Hal ini menunjukkan kematangan mahasiswa dalam mencorak senario semasa apabila berjaya membincangkan serta membentuk resolusi mahasiswa berdasarkan perkara utama yang menjadi teras pembangunan negara iaitu sosial, ekonomi, politik, pendidikan dan alam sekitar.

Adalah tepat pada masanya apabila membincangkan soal berkenaan, lebih-lebih lagi apabila melihatkan keadaan situasi pembangunan di Sabah yang tidak begitu rancak serta komprehensif berbanding di negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.

Kepimpinan negeri Sabah perlu sedar bahawa, rakyat yang terdiri daripada barisan intelektual termasuk mahasiswa dan kakitangan awam sudah mula berani bersuara sekaligus berjuang untuk menegakkan hak rakyat.

Bagi PAS, isu-isu mahasiswa tidak lagi hanya berlegar di sekitar isu hak dan keperluan mahasiswa, seperti pemansuhan AUKU, autonomi universiti serta demokrasi dan ketelusan pilihanraya kampus. Apa yang lebih daripada itu ialah, mahasiswa perlu berpendirian lantang sama ada di kampus mahupun diluar universiti dalam menyentuh isu soal kemasyarakatan secara holistik.

Suara mahasiswa juga perlu dilihat sebagai ‘kuasa’ ke arah menentukan hala tuju pemerintahan negara dan keseimbangan dalam sosiopolitik pemerintahan. Kebebasan bersuara merupakan satu daripada hak asasi utama yang dinikmati seseorang individu dan hak itu turut diiktiraf dalam pelbagai dokumen hak asasi manusia seperti Deklarasi Hak Asasi Manusia dan Perjanjian Antarabangsa Mengenai Hak Sivil dan Politik.

Meskipun kebenaran yang diberikan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kepada mahasiswa untuk peluang bertanding dalam pilihanraya dilihat sebagai jaminan, namun apa yang berlaku disebaliknya ialah merupakan kesedaran kepada Barisan Nasional bahawa suara mahasiswa pada hari ini adalah satu agenda ‘keramat’ yang bakal merobah situasi pemerintahan negara pada masa hadapan.

Mahasiswa perlu berdiri di barisan rakyat dalam memperjuangkan keadilan, keharmonian dan kestabilan politik ke arah pemerintahan yang adil dan saksama. Adalah tidak mustahil jika mahasiswa memainkan peranan mereka dengan baik, kita akan lihat satu budaya politik matang di Malaysia pada suatu hari nanti.

No comments:

Post a Comment