Oleh: AMINUDDIN ALING
BADAN Perhubungan PAS Negeri
Sabah terlebih dahulu ingin merakamkan setinggi tahniah kepada Gabungan
Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) Negeri Sabah atas kejayaan menganjurkan
Kongres Belia 2.0 Sabah yang diadakan pada Sabtu lalu.
Hal ini menunjukkan kematangan
mahasiswa dalam mencorak senario semasa apabila berjaya membincangkan serta
membentuk resolusi mahasiswa berdasarkan perkara utama yang menjadi teras
pembangunan negara iaitu sosial, ekonomi, politik, pendidikan dan alam sekitar.
Adalah tepat pada masanya
apabila membincangkan soal berkenaan, lebih-lebih lagi apabila melihatkan
keadaan situasi pembangunan di Sabah yang tidak begitu rancak serta
komprehensif berbanding di negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.
Kepimpinan negeri Sabah
perlu sedar bahawa, rakyat yang terdiri daripada barisan intelektual termasuk
mahasiswa dan kakitangan awam sudah mula berani bersuara sekaligus berjuang
untuk menegakkan hak rakyat.
Bagi PAS, isu-isu mahasiswa
tidak lagi hanya berlegar di sekitar isu hak dan keperluan mahasiswa, seperti
pemansuhan AUKU, autonomi universiti serta demokrasi dan ketelusan pilihanraya
kampus. Apa yang lebih daripada itu ialah, mahasiswa perlu berpendirian lantang
sama ada di kampus mahupun diluar universiti dalam menyentuh isu soal kemasyarakatan
secara holistik.
Suara mahasiswa juga perlu
dilihat sebagai ‘kuasa’ ke arah menentukan hala tuju pemerintahan negara dan
keseimbangan dalam sosiopolitik pemerintahan. Kebebasan bersuara merupakan satu
daripada hak asasi utama yang dinikmati seseorang individu dan hak itu turut
diiktiraf dalam pelbagai dokumen hak asasi manusia seperti Deklarasi Hak Asasi
Manusia dan Perjanjian Antarabangsa Mengenai Hak Sivil dan Politik.
Meskipun kebenaran yang
diberikan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kepada mahasiswa untuk
peluang bertanding dalam pilihanraya dilihat sebagai jaminan, namun apa yang
berlaku disebaliknya ialah merupakan kesedaran kepada Barisan Nasional bahawa
suara mahasiswa pada hari ini adalah satu agenda ‘keramat’ yang bakal merobah
situasi pemerintahan negara pada masa hadapan.
Mahasiswa perlu berdiri di barisan
rakyat dalam memperjuangkan keadilan, keharmonian dan kestabilan politik ke
arah pemerintahan yang adil dan saksama. Adalah tidak mustahil jika mahasiswa
memainkan peranan mereka dengan baik, kita akan lihat satu budaya politik
matang di Malaysia pada suatu hari nanti.
No comments:
Post a Comment