Friday, 30 September 2011

JANGAN BERSELINDUNG DI SEBALIK KERAJAAN!



PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu bangsa Melayu abad ke-21 tidak berlindung di sebalik perlindungan kerajaan untuk mencapai kejayaan dalam apa jua bidang.

Sebaliknya, beliau berkata bangsa Melayu abad ini perlu mempunyai keupayaan dan kebolehan untuk mencapai hasrat tersebut.

"Kalau kita hendak menjadi bangsa yang bermaruah dan terhormat kita tidak boleh berselindung dengan kerajaan tetapi mesti ada keberanian dan keyakinan diri untuk berjaya.

"Ciri-ciri Melayu abad ke-21 yang berjaya bukan dilindungi tetapi kerana ada kelebihan ilmu, kemahiran berfikir dan minda yang tajam. Inilah perubahan yang mesti ada," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu (MTEM) di Malaysia Agro Exposition Park (MAEPS) di sini malam Khamis.

MTEM merupakan platform untuk badan-badan bukan kerajaan (NGOs) ekonomi Melayu bersatu supaya lebih efektif dalam menggalakkan pembangunan ekonomi yang lestari di kalangan komuniti Melayu dan negara.

Najib berkata cabaran pada abad ke-21 amat hebat, justeru bangsa Melayu perlu bersedia menghadapi segala perubahan dan persiapan yang secukupnya.

Beliau berkata bangsa Melayu perlu menjalin kerjasama dengan kerajaan kerana masa depan mereka juga berkait rapat dengan untung nasib kerajaan sedia ada.

"Dalam kita memastikan kejayaan orang Melayu, kita tidak boleh mengambil hak orang lain tetapi orang Melayu perlu menggunakan kuasa politik daripada kerajaan sedia ada.

"Sebagai contoh apabila kita melaksanakan projek MRT, kita memutuskan 43 peratus daripada projek ini diberikan kepada usahawan dan syarikat bumiputera. Jadi kita tidak ambil hak orang lain," katanya.

Perdana Menteri berkata sudah tiba masanya NGO Melayu bertindak bersungguh-sungguh dan berkesan supaya tuntutan bangsa Melayu dapat diketengahkan dengan lebih jelas.

"Kita tidak boleh menyerahkan kepada kerajaan semata-mata tetapi perlu memperkasakan individu dan NGO yang akan bertindak sebagai barisan hadapan dalam menuntut apa yang perlu bangsa Melayu miliki," katanya. (BERNAMA)

DEKLARASI PAKATAN BERHUBUNG ISU HUDUD




MESYUARAT Pakatan Rakyat malam kelmarin memperakui dan mempertahankan dasar-dasar bersama yang telah dipersetujui sebelum ini sepertimana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, Dasar Bersama dan Buku Jingga.

Pakatan Rakyat terus memperteguhkan iltizam politik bagi mempertingkatkan daya-saing ekonomi, pendapatan rakyat, mutu pendidikan, kesihatan dan menangani kos kehidupan yang semakin menekan.

Mesyuarat juga memperakui dan menghormati perbedaan ideologi setiap parti dalam Pakatan Rakyat sebagai sebuah permuafakatan demokratik, termasuk pendirian PAS berkenaan hukum syariah.

Mesyuarat juga memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 yakni sebelum wujudnya muafakat Pakatan Rakyat. Keadilan dan PAS menghormati perbezaan pendirian oleh DAP dalam perkara ini.

Mesyuarat Pakatan Rakyat juga mempertegaskan bahawa kami tidak akan terheret dengan mainan politik terdesak Umno-Barisan Nasional untuk memecah belahkan kesatuan Pakatan Rakyat . Kita percaya penuh di atas kematangan dan kebijaksanaan rakyat untuk menilai suasana ini.

Mesyuarat sekali lagi mempertegaskan bahawa muafakat dan objektif utama politik parti-parti komponen PR dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 ini adalah untuk membina kembali asas-asas kenegaraan yang telah dirosakkan oleh Umno-BN, dengan berpandukan prinsip Keadilan Sejagat, Pentadbiran yang Baik (Good Governance), Kebertanggungjawaban (Accountability), Ketelusan (Transparency), Kompetensi (Competency) bagi mencapai Kemaslahatan Umum (Public Good) untuk semua rakyat.

(NOTA : Deklarasi bersama ini ditandangani oleh Dato Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, Presiden, Parti Islam SeMalaysia (PAS); Dato Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Lim Kit Siang daripada DAP.)

SIAPA BUNUH KARTINI BORHAN?



Oleh : MUTALIB M.D

WALAUPUN Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Supritendan Polis (DSP) Zahari Mohamed mengklasifikasi wanita yang terbunuh di Kampung Banjar, Keningau, Kartini Borhan, 22, sebagai mangsa rompakan; namun waris mangsa yang menghubungi Sabahkini.net mencurigai motif polis yang disifatkan sebagai cuba menutup kes berkenaan.

Waris mangsa, Ahmad, ketika menghubungi Sabahkini.net menggesa agar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menubuhkan Jawatankuasa Khas menyiasat punca kematian mangsa yang dipercayai dibunuh oleh teman lelakinya yang merupakan seorang Inspektor Polis yang bertugas di Balai Polis Keningau.

“Kita minta campurtangan mereka kerana Polis Sabah cuba menutup kes ini dengan mencipta pelbagai teori, sedangkan banyak kesan yang ditinggalkan menunjukkan mangsa dibunuh di tempat lain sebelum di bawa ke rumah,” kata Ahmad yang bimbang keluarganya tidak dapat menahan sabar dan mengambil tindakan membalas dendam kerana mereka kenal siapa Inspektor polis yang sering datang membawa Kartini.

Bagaimanapun, Ahmad enggan membuat sebarang spekulasi kerana bimbang akan menjadi sasaran polis yang cuba menutup kes berkenaan sebagaimana polis menutup kes lelaki Pakistan merogol remaja sedikit masa lalu.

“Kami memerlukan Polis melakukan Inkues bagi mencari punca kematian sebenar dan tidak melindungi pegawai polis (dari Malaya) yang melakukan jenayah termasuk membuat laporan palsu kematian dan menerima rasuah,” kata Ahmad yang mengingatkan Polis Keningau tidak melakukan tindakan yang memalukan, termasuk memadam bukti kerana ada saksi yang nampak tetapi enggan memberikan kerjasama kerana bimbang dianiaya.

Inspektor polis ini kata Ahmad, seorang kasanova kerana sebelum ini telah meninggalkan teman wanitanya yang buta sebelah mata setelah terlibat dengan kemalangan dan kembali memikat Kartini yang merupakan bekas kekasih lamanya.

Sekalipun sudah mempunyai isteri, tetapi Inspektor berkenaan masih menjalinkan hubungan sulit dengan Kartini dan terlalu cemburu kerana dalam masa yang sama Kartini mempunyai teman lelaki berbangsa Tiong Hua.

MAYBANK JULANG C.E.O, ZALIMI PEKERJA?



Oleh : MUTALIB M.D

DALAM tempoh tiga tahun (2009-2011) Ketua Pegawai Eksekutif (C.E.O) Maybank Dato' Sri Abdul Wahid Omar, yang dilantik secara kontrak telah dibayar sebanyak RM13.608 juta dan hampir 70 bulan Bonus Prestasi.

Mengikut maklumat National Union of Bank Employees, Maybank telah membayar gaji C.E.O berkenaan RM180,000 sebulan iaitu gaji RM90,000 dan Bonus Prestasi RM90,000. Namun pada 2011, gaji dan bonus C.E.O berkenaan dinaikkan RM192,000 sebulan.

Keadaan ini menyebabkan ramai kakitangan Maybank sering mengadakan piket bagi menuntut kenaikan gaji dan elaun serta skim saraan yang lebih baik kerana golongan perkeranian dan bukan perkeranian yang berpendapatan rendah tidak pernah dibayar walau SATU SEN Bonus Prestasi sejak 10 tahun lalu, tetapi pengurusan atasan Maybank yang berpendapatan tinggi telah dibayar secara purata 8 bulan bonus prestasi.

Jika Maybank yang ditubuhkan pada 1960 sanggup melakukan 13 Pelanggaran Perjanjian Kolektif dan menzalimi pekerjanya, terutama wanita; bagaimana dengan bank perdagangan yang lain? Di manakah pemimpin Barisan Nasional dan kenapa mereka membiarkan kezaliman ini berlaku?