Sunday, 25 July 2010

BELIA HARUS MILIKI AKHLAK YANG BAIK



RASMI….Ampong kelihatan memalu gong sebagai simbolik menandakan perasmian majlis.

Oleh : SHAIMON S JUMADI

SEBAGAI belia yang merupakan bakal pemimpin pelapis negara seharusnya mempunyai akhlak yang baik dan jangan sekali-kali terjebak dengan kegiatan jenayah mahupun terlibat dengan pengambilan najis dadah.

“Dengan penglibatan mereka dalam gejala sosial yang tidak bermoral dan aktiviti-aktiviti yang melanggar undang-undang Negara, maka semuanya ini bakal memusnahkan kehidupan masing-masing di masa hadapan,” kata Pengerusi PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan Bestari (SMK) Sandakan, Tan Sri Hj Ampong Hj Puyon.

Ampong berkata demikian ketika merasmikan Program Juara Rakyat, Belia dan Sukan Anjuran Biro Sukan UMNO Bahagian Sandakan di sini kelmarin.

Katanya, sebagai belia yang merupakan harapan bangsa dan sebagai pemimpin pelapis bakal menggantikan pemimpin-pimimpin negara yang ada sekarang para belia hendaklah sentiasa menanamkan semangat nilai-nilai murni agar menjadi masyarakat yang berguna bukan saja kepada bangsa, bahkan kepada negara dan juga agama.

Memang tidak dinafikan, jelas Ampong, sejak kebelakangan ini ramai di kalangan belia yang terjebak dengan pelbagai aktiviti songsang seperti melakukan maksiat, merokok, minum-minuman keras, bergaduh dan pelbagai hal lagi yang bukan saja merosakkan diri sendiri bahkan merugikan negara

“Saya ingin tegaskan di sini, sebagai pelajar SMK Sandakan haruslah menjaga nama baik sekolah, kerana sekolah inilah tempat kamu belajar, tempat kamu mencari pelbagai ilmu pengetahuan dengan tujuan kamu menjadi orang yang cerdik pandai bila dewasa nanti,” tegasnya.

Ampong yang juga selaku Ketua Bahagian UMNO Sandakan menjelaskan kerajaan pada hari ini melalui Kementerian Pendidikan telah membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk menaikkan taraf pendidikan dengan membina banyak bangunan sekolah dan universiti semata-mata mahu rakyat di Negara ini menjadi masyarakat yang berilmu dan berpendidikan tinggi.

Majlis yang diadakan di Dewan Serbaguna SMK Sandakan telah dihadiri lebih 300 orang penuntut dan guru sekolah berkenaan.

No comments:

Post a Comment