Saudara Pengarang,
LAYAKKAH Terminal Wawasan Plaza disebut sebagai terminal Pusat di Kota Kinabalu?
Usaha apakah yang telah diambil membaiki jalan masuk ke dalam terminal. Kasihannya para pengusaha bas yang beroperasi di dalam terminal ‘Petaka untuk Rakyat Sabah’. Namun lagi kasihan kepada pengguna ‘Pengangkutan Awam’ yang terpaksa berpanas dengan debu berhujan dengan banjir untuk sampai ke kawasan terminal tersebut.
Siapalah rakyat untuk mengatakan tidak setuju apabila ‘Keperluan Asas’ mereka dicabul? Perlukah ada mogok dan siapa yang rugi? Hanya rintihan dari dalam hati yang mampu ditahan. Menangis untuk apa? Sedangkan setiap kali sebuah bas yang penuh keluar dari kawasan terminal membayar sewa serendah RM 0.50 setiap hari. Untuk apakah wang itu? Untuk rakyat bermain lumpur di tengah kota?
Rakyat kota menjadi mangsa lagi kerana menyeberang jalan dari Wawasan Plaza ke Terminal dengan hati yang berbungakah? Susah sangatkah membina sebuah jejantas untuk kemudahan rakyat? Perlukah rakyat menyabung nyawa melintas jalan ke terminal bas?
Orang akan berkata,”ada lampu trafik tunggu hijau, baru melintas” tetapi kalau sudah hujan, apatah lagi kawasan tempat menyeberang itu luas lagi pintu masuk Wawsan Plaza tidak terurus dengan lopaknya, bagus sangatlah itu? Perlukah ada yang terkorban seperti di 1Borneo untuk kerajaan bergendang semula? Inikah hasil lawatan YB kita ke kawasan terminal tersebut?
Bangunan Tambahan SMK Inanam Belum Siap?
Sudah lama bangunan di tepi jalan itu saya perhatikan. Di awal pembinaan dahulu punya laju bangunan itu dibina. Gembiranya hati menumpang untuk pihak pelajar dan warga SMK Inanam. Inilah gambaran ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’.
Namun sudah sebulan berlalu, bercutikah pekerja dan kontraktor yang terlibat kerana bangunan itu tidak berubah dan semakin usang. Siapnya entah bila sehingga logo JKR dan KERAJAAN MALAYSIA sudah hilang dari pancang Pecah Tanah. Apakah erti semuanya ini?
Benarkah Sabah ‘Land Below The Wind’?
Kita mencanang ke seluruh dunia bahawa Sabah sebagai destinasi pelancongan yang wajib dikunjungi dengan ‘Gagahnya’ Gunung Kinabalu, indahnya Pulau Sipadan, misterinya Maliau Basin, namun ‘kalau makanan sedap dihidang dalam mangkuk yang kotor, enak lagikah makanan itu?
Begitukah perumpamaan yang harus dan layak untuk Negeri Tercinta Kita? Sedihnya hati sekadar meluah untuk pengubat rasa yang sakit dipendam. Apakah persepsi masyarakat luar nanti? Inikah yang akan dibawa balik ke negara mereka? Mampukah Gunung Kinabalu menutup busuknya? Mampukah Maliau Basin menyimpan misterinya dan indahkah lagi Pulau Sipadan andai salam pembuka kata sudah Tidak Mesra!
Salam Hormat,
IRWAN JAISUN
No comments:
Post a Comment