Wednesday, 16 March 2011

KERAJAAN SAPU SAMPAH KE BAWAH PERMAIDANI?



Oleh: WILFRED MOJILIP BUMBURING

SAYA hairan kenapa kerajaan terus membisu berhubung isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI)? Sudah sekian lama Wakil-Wakil Rakyat BN membawa perkara ini keperhatian kerajaan, tetapi sehingga hari ini, hal penting tersebut terus di ‘sapu ke bawah permaidani’ (Swept under the carpet).

Berikut Teks Penuh Ucapan Saya Di Parlimen;

Terima kasih Tan Sri Speaker kerana memberi peluang kepada saya untuk membahas Titah Di Raja yang telah disampaikan Ke Bawah Duli Yang Dipertuan Agong dalam Dewan yang mulia ini pada 7 mac 2011.

Tan Sri Speaker,

Memandangkan masa yang sangat terhad, saya terus menjurus kepada berapa perkara yang terkandung dalam ucapan tersebut.

Model Ekonomi Baru

Ekonomi negara kita telah mencatat pertumbuhan dengan kadar 7.2 peratus dalam tahun 2010 berbanding dengan penguncupan 1.7 peratus dalam tahun 2009. Pertumbuhan ini adalah dihasilkan oleh suntikan sebanyak $67 billion oleh kerajaan dalam usaha membawa negara keluar dari belenggu kemelesetan ekonomi dunia pada tahun 2009. Kesan suntikan ini dijangka dinikmati pada tahun 2011 dengan anggaran pertumbuhan ekonomi dalam kadar 5 hingga 6 peratus.

Kerajaan kini telah melancarkan model ekonomi baru sebagai satu struktur pembangunan ekonomi negara dalam rancangan Malaysia Ke 10. Saya percaya bahawa model ini, dari segi struktur perancangan dan pelaksanaannya diterima baik oleh semua pihak.

Namun satu persoalan timbul dari model ini, iaitu sama ada model ini adalah penganti kepada Dasar Ekonomi Baru yang telah tamat tempohnya pada tahun 1990, kerana kerajaan mengakui bahawa dasar tersebut tidak mencapai sasarannya.

Sementara ramai yang ingin melihat satu sistem ekonomi yang terbuka dan kompetatif, namun masih ramai bumiputera yang berpendapat bahawa kaum bumiputera masih memerlukan bantuan demi untuk membolehkan mereka bersaing dalam ekonomi dan perusahaan negara.

Saya bersetuju bahawa kaum bumiputra masih perlu dibantu. Bagaimana pun dasar bantuan ini haruslah berlandaskan kepada ketelusan dan terbuka dan bukan digunakan oleh setengah pihak untuk memberi kemewahan dan kekayaan setengah pihak.

Memang ada unsur salah guna dasar tersebut kerana hari ini kita lihat hanya segelintir sahaja yang mendapat kemewahan sedangkan majoriti kaum bumiputera masih dalam keadaan mundur.

Ini jelas kerana dalam Rancangan Malaysia ke10 kerajaan mensasarkan 40 peratus yang termiskin. Mereka ini terdiri sebahagian besarnya dari kaum bumiputera. Oleh yang demikian, kerajaan harus menerangkan kepada rakyat apakah bentuk bantuan kepada kaum bumiputera dalam model ekonomi baru.

Modal Insan

Saya mengalu-alukan perancangan kerajaan untuk menghasilkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi dan mempunyai minda kelas pertama melalui transformasi pendidikan.

Dalam usaha ke arah ini, kerajaan bukan sahaja memerlukan penambahan perbelanjaan tetapi kerajaan juga harus menawarkan sistem pendidikan agar semua lapisan rakyat, tidak kira apa keturunan pun, mempunyai capaian atau peluang yang luas dan saksama kepada infrastruktur pendidikan dalam negara ini.

Kita sering mendengar keluhan para pelajar yang mempunyai pencapaian cemerlang tidak mendapat bantuan biasiswa dan pinjaman untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat kolej universiti. Apabila ini berlaku, maka negara kehilangan peluang untuk menghasilkan modal insan kelas pertama.

Bagi pelajar yang tidak mampu maka mereka akan lesap dalam pasaran tenaga kerja di mana mereka tidak mempunyai peluang untuk mengunakan kebolehan mereka untuk pembangunan negara. Kepada mereka yang mampu, mereka akan melanjutkan pelajaran ke luar negara dan mereka tidak akan kembali ke negara ini untuk berkhidmat kerana mereka merasakan kerajaan mereka tidak membantu mereka.

Oleh kerana kualiti mereka maka negara host/tuan rumah di mana mereka belajar akan menawar pekerjaan kepada mereka dan seterusnya menawarkan status penduduk tetap dan kewarganegaraan kepada mereka. Ini adalah kerugian kepada malaysia tetapi keuntungan kepada negara berkenaan.

Saya ambil contoh dari negara Singapura dan Australia. Kita tahu negara-negara ini mempunyai dasar untuk menawar kewarganegaraan kepada mereka yang memiliki pendidikan dan kemahiran yang tinggi.

Tan Sri Speaker,

Hal peluang dalam pendidikan berkait rapat dengan peluang pekerjaan. Kalau pun kita dapat menghasilkan modal insan yang berkualiti tinggi tetapi tidak menawarkan peluang pekerjaan yang saksama dari segi pengambilan dan kenaikan pangkat, maka mereka ini tidak akan berminat untuk berkhidmat di negara ini kerana masa depan dan kerjaya mereka tidak membolehkan kemahiran mereka itu diguna sepenuhnya dan pembangunan peribadi-‘personal advancement’ tidak terjamin oleh kerana sistem meritrokasi tidak wujud .

Tan Sri Speaker,

Gejala ‘brain drain’ ini tidak kita nafikan sehingga kerajaan sendiri mempunyai program agar para profesinal di kalangan rakyat Malaysia yang bertugas di luar negara digalak untuk kembali berkhimat ke tanah air. Ada pihak yang menganggar bahawa seramai 400,000 rakyat malaysia bekerja di luar negara dan separuh daripada mereka ini adalah terdiri dari graduan dan mempunyai kelulusan tinggi dan berkualiti.

Dalam hal ini saya menyeru kepada kerajaan supaya memikirkan perkara ini secara serius dan seterusnya menawarkan satu sitem pendidikan dan pekerjaan yang boleh meyakinkan mereka ini untuk menyumbang bakti kepada Malaysia.

Tan Sri Speaker,

Dalam hal pembangunan insan ini juga, saya berpendapat bahawa IPTA dan IPTS di negara ini perlu menyusun semula jenis mata pelaran dan kurikulum dalam institusi mereka. Kita melihat beribu graduan yang menganggur kerana kelulusan akademik mereka tidak sesuai dengan keperluan pasaran tenaga kerja dan keperluan negara yang ada sekarang ini.

Keadaan ini sangat merugikan negara kerana kerajaan membelanjakan banyak wang untuk membiayai pendidikan mereka tetapi akhirnya mereka tidak dapat diserapkan ke dalam pasaran pekerjaan.

Saya mengalu-alukan usaha kerajaan untuk mempertingkatkan pendidikan dan latihan vokasional kepada lepasan sekolah. Namun saya menyeru kepada kerajaan untuk memberi latihan yang sesuai kepada graduan yang menganggur supaya mereka dapat diserapkan dalam pasaran teanaga kerja dalam negara.

Walaupun ini melibatkan perbelanjaan dua kali dari pihak kerajaan tetapi ia diperlukan. Jika kita dapat menyusun semula sistem pembelajaran, maka perkara ini dapat dielakkan.

Negara Berpendapatan Tinggi

Tan Sri Speaker,

Sasaran kerajaan untuk mewujudkan satu ekonomi yang berpendapatan tinggi dengan pendapatan perkapita sebanyak US15,000.00 menjelang 2020 merupakan satu cabaran yang tinggi kerana kita hanya tinggal sembilan tahun lagi untuk mencapainya.

Pada hemat saya, pengukuran kemajuan ekonomi negara yang berasaskan pendapatan purata perkapita tidak semestinya menjadi petanda bahawa taraf hidup rakyat keseluruhannya sudah bertambah baik kerana pendapatan per/kapita hanya di ukur dari jumlah KDNK dibahagi dengan jumlah penduduk.

Persoalannaya ialah dari mana pendapatan itu datang? Kalau sebahagian besar pendapatan tersebut datang dari segelintir sektor sahaja, maka ia tidak mewakili rakyat yang berpendapatan rendah; misalnya petani dan pekerja ladang.

Dalam sektor pertanian dan perladangan, pendapatan perkerja adalah tertakluk kepada harga pasaran hasil mereka, seperti padi dan bahan pertanian.

Saya berpendapat adalah agak mustahil untuk menaikkan pendapatan mereka ke tahap USD$15,000 setahun. Apa yang perlu ialah kerajaan mengadakan program agar hasil yang diperolehi dari ekonomi yang baik dapat disalurkan kepada mereka ini dalam bebagai bentuk, saperti biasisiwa kepada anak mereka dan bantuan perumahan dan sebagainya.

Jumlah 40 peratus rakyat berpendapatan rendah yang menjadi sasaran kerajaan merupakan jumlah yang besar dan tetapi sumbangan kepada KDNK negara adalah rendah.

Tan Sri Speaker,

Satu laporan bank dunia baru-baru ini menyatakan bahawa tahap kemiskinan di Sabah masih dalam kadar 40%. Walau pun ada pihak mempertikaikan statistik ini, tapi ia laporan satu institusi yang berwibawa di peringkat antarabangsa dan tidak boleh diabai begitu sahaja.

Saya berpendapat antara punca kadar kemiskinan yang tinggi ini adalah disebabkan oleh kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) yang begitu ramai di Sabah. Kadar kemiskinan di Negara mereka telah mereka bawa bersama ke Sabah.

Tan Sri Speaker,

Yang Berhormat dari Ranau telah menyentuh tentang masalah PATI di Sabah dalam Dewan yang mulia ini kelmarin. Saya turut menyentuh perkara ini memandangkan ia merupakan satu masaalah yang terbesar; berbanding dengan segala masalah yang terdapat di Sabah.

Saya hairan kenapa kerajaan terus membisu tentang perkara ini? Sudah sekian lama Wakil-Wakil Rakyat BN membawa perkara ini keperhatian kerajaan, tetapi sehingga hari ini, hal penting tersebut terus di ‘sapu ke bawah permaidani’ (Swept under the carpet).

Saya telah menyampaikan satu memorandum kepada kementerian pada 14 Disember 2010 mengenai perkara ini. Saya juga telah bertanya mengenai perkara ini dalam dewan ini minggu lalu. Jawapan yang diberi ialah oleh kerana memorandum itu agak detail, maka kementerian perlu masa untuk mengkaji perkara itu; di samping memberi jaminan untuk mengambil tindakan keras jika terdapat bukti.

Tan Sri Speaker,

Saya percaya Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah memiliki butir-butir yang diperlukan. Sudah banyak buku ditulis mengenai perkara ini. Lapuran polis pun sudah dibuat dan pihak SUHAKAM sudah membuat pendengaran terhadap laporan pihak awam. Tetapi kenapakah kerajaan tetap membisu mengenai perkara ini?

Cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Di Raja (SSD) sudah dibuat, tetapi ditolak atas sebab ianya melibat ekonomi dan keselamatan negara. Saya minta Menteri Dalam Negeri menjelaskan apakah maksud perkara ini?

Saya mohon beliau untuk turun padang ke Sabah berdepan dengan rakyat di sana untuk memberi penjelasan ke atas perkara ini. Pihak Pakatan Rakyat, dalam buku ‘JINGGA’ mereka telah menawarkan penubuhan Suruhan Jaya Siasatan Di Raja jika mereka memerintah.

Apakah respond kerajaan ke atas perkara ini? Rakyat Sabah memohon Perdana Menteri untuk mengambil tindakan yang konkrit ke atas perkara ini, sebelum terlambat.

Hak Asasi Dan Kebebasan Beragama

Tan Sri Speaker,

Saya menjujung kasih ke atas titah Baginda Yang Dipertuan Agong, menasihati rakyat supaya mengelak dari mempolitikkan isu sensitif. Namun sejak kebelakangan ini banyak insiden berlaku yang mengancam sesitiviti agama dan perkauman, seperti serangan ke atas bangunan agama, suruh kembali ke negara asal dan sebagainya.

Baru-baru ini kerajaan telah menahan kemasukan 30,000 naskah ‘Bible’ masuk ke Malaysia. Kalau kerajaan meminta rakyat supaya tidak mengambil tindakan yang mengugat sensitivi agtama, kenapa pula kerajaan mengambil tindakan sedemikian? Apatah lagi bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan dasar negara bahawa agama bukan Islam boleh diamal dengan aman dan bebas. Bukankah penahanan Bible ini menyekat kebebasan beragama di negara ini?

Saya juga sedih membaca laporan media baru-baru ini, semasa YAB Perdana Menteri meghadiri perayaan Krismas, di Arch-Bishop Katholik di Kuala Lumpur, ada pegawai yang meminta supaya simbol-simbol agama Kristian dibuka semasa kehadiran YAB Perdana Menteri.

Tindakan ini agak sangat sensitif dan sepatutnya tidak terfikirpun. Saya percaya dan yakin bahawa ini adalah di luar pengetahuan Perdana Menteri. Saya senang hati melihat YAB Perdana Menteri menghadiri perayaan Thaipusam tahun ini dengan tenang dan relaks dan menerima suasana di kuil Batu Cave, seperti sedia kala.

Tan Sri Speaker,

Kita sebagai pemimpin harus memberi contoh dan teladan dalam hal ini. Kita dalam dewan ini senantiasa diperhatikan oleh rakyat disegi tidak tanduk dan pertuturan kita. Saya sedih kerana di dalam dewan yang mulia ini, masih tercetus ungkapan-ungkapan yang menyakiti hati orang lain, saperti meminum todi dan sebagainya.

Kita sudah merdeka setengah abad dan sepatutnya kita sudah menerima semua rakyat Malaysia sebagai rakan dan sahabat sebagai sesama rakyat Malaysia.

Perkara-Perkara Khusus

Tan Sri Speaker,

Saya ingin menyentuh beberapa perkara khusus;

Skim Perumahan Bagi Pekerja Dalam Sektor Peladangan.

Tan Sri Speaker,

Kerajaan kini membelanjakan begitu banyak wang untuk membantu rakyat yang berpendapatan rendah untuk memperolehi rumah. Skim ini telah membantu ramai keluarga yang tidak mampu, namun pekerja di sektor perladangan agak tercicir dari skim ini kerana mereka ini berada di dalam ladang.

Mereka ini bekerja sepanjang hayat mereka untuk syarikat perladangan. Semasa mereka bekerja, mereka disediakan tempat tinggal. Peneroka FELDA mempunyai rumah di lot mereka masing-masing; tetapi pekerja dalam ladang swasta tidak mempunyai rumah sendiri. Apa bila bersara, mereka terpaksa keluar dari ladang dan perlu mencari tempat tinggal.

Sektor perladangan sawit dan getah adalah sektor yang penting dalam negara kita dan mengunakan tenaga kerja yang banyak. Saya ingin mencadangkan supaya syarikat-syarikat perladangan yang mengaut keuntungan yang begitu banyak membantu kerajaan dalam soal bantuan perumahan kepada rakyat. ini harus menjadi salah satu daripada ‘Corporate Social Responsibility’ mereka.

Cadangan saya ialah supaya kerajaan meminta syarikat perladangan membina perumahan dalam kawasan mereka dan dijual kepada pekerja dengan secara bayaran ansuran semasa mereka berkerja. Apabila mereka bersara, mereka mempunyai tempat tinggal.

Brkaitan dengan perumahan kos rendah ini, kerajaan telah melaksana beberapa projek perumahan di kawasan saya di Tuaran dan jelas telah membantu rakyat yang miskin untuk mendapat tempat tinggal yang selesa.

Bagaimana pun saya dimaklumkan bahawa sebahagian lot-lot perumahan ini, yang sepatutnya diperuntukkan kepada rakyat miskin telah disewakan kepada anggota tentera laut.

Perumahan yang saya maksudkan ialah Taman Vesta di Sulaman, Tuaran. Saya meminta pihak kementerian kewangan untuk meneliti perkara ini dan menjelaskan kenapa ini berlaku sedangkan masih ramai lagi rakyat yang memohon lot-lot ini.

Seperkara lagi, ialah banyak lot ini diberikan kepada orang asing yang tinggal di setinggan Pulau Gaya dan dipindahkan ke situ. Apa jadi dengan slogan rakyat didahulukan?

Saya ingin memaklumkan kepada kerajaan bahawa dengan kehadiran orang asing di skim perumahan Sri Rugading dan Telipok Ria di Tuaran telah menimbulkan banyak masalah saperti pergaduhan dengan orang tempatan, masaalah minum arak, jenayah dan sebagainya. Saya minta kerajaan membuat siasatan ke atas perkara ini dan mengambil tindakan yang perlu.

Bantuan Kebajikan Melalui Program Cari

Tan Sri Speaker,

Melalui program cari, ramai orang miskin telah menerima bantuan, namun ramai daripada mereka ini memaklumkan bahawa bantuan mereka terhenti dan tidak disambung tanpa sebarang notis.

Selain daripada kelambatan pemberian setiap bulan, saya difahamkan bahawa bantuan ini tidak berkekalan. Apa bila keluarga itu keluar daripada garis kemiskinan, mereka tidak lagi layak menerima.

Tetapi tiada penyelidikan dibuat ke atas status penerima berkenaan sebelum diberhentikan. Saya minta kementerian berkenaan membuat siasatan ke atas perkara ini dan mintalah tindakan untuk memperbetulkan keadaan.

Pengambilan Dan Kenaikan Pangkat Dalam Jabatan Persekutuan

Tan Sri Speaker,

Kerajaan Persekutuan selalu mengumumkan bahawa rakyat tempatan di Sabah akan diberi keutamaan unutk menjawat jawatan di Jabatan Persekutuan di Sabah. Ini berikutan dari sungutan dan rayuan rakyat di Sabah.

Saya amat berterima kasih kerana beberapa jawatan Ketua Jabatan di Sabah kini di sandang oleh orang tempatan. Namun saya ingin menarik perhatian kerajaan bahawa masih ada jabatan persekutuan yang mengamal di sebaliknya terutama dalam proses mengambil kaki tangan dan dalam proses kenaikan pangkat.

Saya ambil contoh Jabatan Pengangkutan Jalan Sabah. Dalam tahun 2009, jabatan ini mengada pengisian kekosongan 15 jawatan dalam gred N27 hingga N32. JPJ Sabah telah mengemukakan 28 calon yang layak. Daripada calon ini hanya 3 orang yang dipilih dan selainnya daripada Semenanjung Malaysia.

Yang anehnya, ialah 2 dari pada 15 yang dipilih ini telah bertukar ke Semenanjung Malaysia selepas setahun berkhidmat.

Ahli Kesatuan Sekerja JPJ Sabah meminta penjelasan mengenai perkara ini, namun penjelasan dari Penolong Pengarah Pengurusan JPJ Putrajaya yang datang ke Sabah ialah mereka itu tidak lulus tapisan SPRM. Persoalannya ialah adakah mereka ini pernah disiasat oleh SPRM? Manakala alasan lain yang diberi ialah mereka salah isi borang?.

Tan Sri Speaker,

Saya kira ini adalah satu penghinaan atau memperkecilkan orang tempatan di Sabah. Inikah layanan kepada orang Sabah yang selama ini digelar sebagai ‘Fixed Deposit’.

Rumah Tercicir Dalam Program Bekalan Elektrik Luar Bandar

Tan Sri Speaker,

Saya ingin merakamkan terima kasih kepada kerajaan kerana beberapa projek bekalan elektrik luar bandar di kawasan saya sudah dan sedang dilaksanakan. Saya hanya memaklumkan kepada kementrian bahawa banyak rumah di kampung berkenaan yang tercicir dan mereka ini meminta saya memberi peruntukan untuk menyambung elektrik ke rumah mereka. Saya sangat simpati kepada mereka, tetapi peruntukan kita tidak mencukupi. Oleh yang demikian, saya telah membuat penyenaraian rumah-rumah ini dan saya akan sampaikan kepada kementerian untuk pertimbangan.

Tan Sri Speaker,

Walaupun masih banyak yang saya ingin katakana, tetapi masa tidak mengizinkan. Dengan ini saya mohon menyokong ke atas Titah Seri Paduka Yang Dipertuan Agong.

Terima Kasih.

12 comments:

  1. The Sabah government had brought this issue up for a lot of times, but there is no use.

    ReplyDelete
  2. The federal government is not paying much attention to the illegal immigrant issues. Maybe we should take this matter into our own hands.

    ReplyDelete
  3. The SSD approval must from the federal. If got approval from federal, investigation of illegal immigration will be more detail, are huge number of illegal immigration will be detected. Those who involved in the project IC also can detect. If only state, i think not much can done. But, the state government must do the best to solve this issue.

    ReplyDelete
  4. dalam apa pekara sekali pun, komitmen daripada semua pihak penting untuk mendapatkan penyelesaian terbaik. harap isu PATI akan dapat diselesaikan.

    ReplyDelete
  5. mmg masih byk isu yan maih belum selesai terutamanya oisu PATI yang perlu diambil serius. tindakan perlu diambil bagi selesaikan masalah ini.

    ReplyDelete
  6. This illegal immigrant issue is not the only issue sabah is facing. There are many other issues. Maybe that is why the government is slow in dealing with this issue.

    ReplyDelete
  7. However, I do think the government should prioritize the illegal immigrant issue before it gets worse than it already is.

    ReplyDelete
  8. KDN perlulah menangani masalah PATI yang semakin berleluasa di negeri Sabah ini. Rakyat amat berharap masalah ini dapat ditangani.

    ReplyDelete
  9. apa lagi kerajaan persekutuan tunggu? bukti sudah ada..kajian sudah banyak dibuat...ini masa untuk bertindak..

    ReplyDelete
  10. kerap kali isu ini dibangkitkan, menteri dan kementerian berkenaan membisu dan buat2 bodoh..inikah yang dikatakan sebagai tranformasi kerajaan 'rakyat didahulukan pencapaian diutamakan'?

    ReplyDelete
  11. SSD harus ditubuhkan untuk menyelesaikan isu PATI, IC palsu di sabah..

    ReplyDelete
  12. jika kerajaan persekutuan dapat merasakan bahawa desakan para wakil rakyat Sabah ini terlalu keras dan tegas, bayangkan bagaimana hebatnya desakan jika seluruh rakyat Sabah bangkit mendesak perkara yang sama.. kerajaan persekutuan tidak boleh memandang remeh masalah ini dengan memberi pelbagai alasan...

    ReplyDelete