Friday, 18 November 2011

IPTS KEJURURAWATAN ‘ALONG BERLESEN’!



MERIAH…Jamawi diiringi oleh Guru Besar SK Ladang Sapong, Emma Ismail diberikan sambutan meriah sejurus tiba untuk merasmikan majlis tersebut.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) perlu terus memantau serta mengkaji dari masa ke semasa pengambilan bagi pelatih yang mengikuti program diploma kejururawatan yang ditawarkan oleh Institusi Pengajian Tinggi Swsata (IPTS) bagi mengimbangi longgokan pelatih yang gagal mendapatkan sebarang pekerjaan setelah mereka menamatkan pengajian.

Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Jamawi Jaafar berkata, dalam masa yang sama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula wajar memberikan maklumat kepada KPT mengenai tawaran kerja sebagai jururawat.

Jika tidak, kata Jamawi, masalah ini akan berlarutan sekiranya tiada pemantauan, sedangkan bilangan yang mengikuti kursus jururawat sentiasa meningkat, namun peluang kerja yang memerlukan khidmat mereka tidak mencukupi.

Menurut beliau, kewajaran KPT memantau perkara ini kerana terdapat kolej perubatan menawarkan pengambilan pelajar baru sampai lima kali setahun seolah-olah sebagai ‘Along Berlesen’ yang menggunakan tabung PTPTN dari pelajar terlibat dalam memajukan perniagaan mereka

“Kita faham, sebahagian dari pelajar ini adalah peminjam PTPTN yang terpaksa membayar pinjaman di kolej mereka menuntut ilmu, namun bagaimana mereka hendak membayar balik pinjaman mereka sekiranya gagal mendapat tempat untuk berkerja? Adalah lebih baik pengambilan ini diberhentikan dahulu agar lambakan jururawat yang menamatkkan pengajian mereka tidak berlaku,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang SK Ladang Sapong, Tenom, kelmarin.

Jamawi yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno bahagian Tenom, berkata demikian ketika diminta mengulas isu lepasan program diploma kejururawatan dari IPTS yang masih belum mendapat peluang pekerjaan.

Menurut Jamawi, kerajaan sebelum ini telah mengambil tindakan untuk menangguhkan kelulusan kursus baru diploma kejururawatan dan penubuhan IPTS yang menawarkan program ini dengan harapan Institusi yang sedia ada menawarkan program tersebut dapat menaik taraf kualiti kursus dan pencapaian pelajar.

“Bukan sahaja kualiti kursus dan pencapaian pelajar yang kita pastikan, namun peluang bagi pelajar mendapat pekerjaan perlu difikirkan kerana ibubapa mereka yang menghantar anak meraka belajar di IPTS ini, sudah pasti mengantungkan harapan agar anak mereka mendapat peluang pekerjaan dan mampu membantu keluarga,” jelas Jamawi.

Menurut Jamawi, dari maklumat yang diperolehi bilangan jururawat terlatih yang dikeluarkan pada tahun 2009 ialah 8,279 orang, iaitu seramai 2,402 dari kolej kementerian, 528 dari IPTA dan 5,349 dari IPTS.

Katanya, pasaran kerja jururawat di hospital kerajaan ialah cuma 8% sahaja kerana 92% jawatan telah diisi, manakala dalam masa yang sama, kerajaan melahirkan 2,400 orang jururawat melalui kolej jururawat KKM untuk mengisi jawatan kekosongan tersebut.

“Persoalannya, ke mana baki 6,000 orang lagi jururawat yang dilahirkan daripada IPTS dan IPTA itu hendak diletakkan? Justeru itu kita kena kaji dan lakukan kawalan kepada mana-mana IPTS yang mengambil pelajar dalam jurusan ini perlu ada keseimbangan dari segi peluang pekerjaan,” tegas Jamawi.

Tambahnya, walaupun matlamat melahirkan jururawat ialah untuk mengisi jawatan-jawatan di hospital swasta namun tidak ada hospital swasta yang akan mengambil jururawat terlatih yang tidak berpengalaman.

Sekurang-kurangnya, menurut Jamawi, Hospital Swasta memberikan keutamaan kepada jururawat yang sudah berpengalaman 2-3 tahun di dalam bidang masing-masing.

Dalam pada itu juga, Jamawi berharap kerajaan dapat memantau perkembangan kolej IPTS yang menawarkan kursus dalam bidang ini agar dapat menepati tahap dan kualiti kursus yang ditawarkan bagi mempastikan pelajar memperolehi ilmu yang secukupnya untuk membolehkan mereka bersaing mencari peluang pekerjaan setelah menamatkan pengajian mereka.

Katanya, kenyataan Menteri pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini yang menyebut hanya tiga buah kolej atau 1.4 peratus daripada 210 kolej swasta yang aktif di negara ini mencapai taraf enam bintang; manakala 72 buah lagi (34.3 peratus) berada di bawah paras kurang memuaskan, merupakan satu angka yang kurang menyakinkan bagi negara melahirkan tenaga profesional dalam bidang berkenaan.

“Kita berharap perkara ini juga dapat dipantau agar kolej swasta meningkatkan tahap, kualiti dan pencapaian mereka agar terus berada di pasaran, berdaya saing dan menjadi pilihan utama pelajar dari dalam dan luar Negara,” katanya

No comments:

Post a Comment