SEORANG nenek berusia 90
tahun mengharapkan keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak
menyelesaikan masalahnya mendapat kad pengenalan baru yang dipohonnya sejak 40
tahun lepas.
Bashah Abdullah dari Kampung
Bujang, Bedong dekat sini tidak lagi memiliki kad pengenalan setelah memohon
menukar kepada kad pengenalan baru di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)
Baling pada 1970-an.
Katanya, dia diberikan resit
pengenalan sementara bagi penukaran itu yang diperbaharui beberapa kali sejak
40 tahun lepas dan kali terakhir pada 1990 mengikut semua prosedur dan
permintaan JPN Baling termasuk beberapa kali menemui pegawai jabatan itu dengan
Pengarah JPN Kedah, Muhammad Pauzi Abdullah yang ditemui Ogos lepas turut
berjanji mempercepat permohonannya.
"Malangnya tiga minggu
lepas JPN Baling memaklumkan, nama saya tiada dalam rekod Kementerian Dalam
Negeri," katanya kepada pemberita di rumahnya di Sungai Petani hari ini.
Beliau berkata ketiadaan kad
pengenalan banyak menyusahkan dirinya antaranya semasa hendak mendapatkan
rawatan di klinik dan menunaikan cek zakat di bank sedangkan beliau bukan
pendatang asing.
"Saya bukan pendatang
asing... pi lah (pergi) tanya orang kampung. Mereka boleh jadi saksi jika
siasatan JPN belum mempunyai bukti lengkap," kata warga emas itu yang
mempunyai dua anak lelaki berumur 62 dan 58 tahun.
Bashah yang masih sihat
merayu Perdana Menteri Datuk Seri Najib memberi perhatian kepada kesnya sebelum
beliau menghembuskan nafas terakhirnya.
Anak keduanya, Mansor Abd
Rashid, 58, berkata dia kecewa hak-hak ibunya menikmati kemudahan yang
disediakan sebagai seorang rakyat negara ini dinafikan kerana kegagalan ibunya
mendapat kad pengenalan baru.
Katanya dia dan beberapa
penduduk kampung berusaha melalui pelbagai cara termasuk meminta pertolongan
pemimpin politik tempatan namun tidak membuahkan hasil.
"Saya harap pihak
bertanggungjawab tampil membantu ibu saya sekurang-kurangnya dia boleh mengundi
pada pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi," kata Mansor.
Seorang penduduk tempatan
yang juga imam kampung tersebut, Abdul Hamid Abdul Majid, 66, berkata walaupun
tiada bukti bertulis, bukti kukuh untuk menjelaskan Bashah adalah rakyat negara
ini cukup kuat dan tidak seharusnya meragukan JPN untuk mengeluarkan kad
pengenalan kepada warga emas itu. (Bernama)
No comments:
Post a Comment