TAHNIAH...Jamawi diringi oleh Azlan Dimun ketika menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang guru pengiring sempena majlis tersebut
TENOM: Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Tenom Jamawi Jaafar berkata, kejayaan kontenjen Majlis Sukan Sekolah Sekolah bahagian Pedalaman (MSS) menduduki tempat kedua dalam kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah Sabah ke 47 di Ranau yang berakhir sabtu lepas membuktikan atlet serta pegawai-pegawai yang menyertai kejohanan tersebut telah menerapkan budaya kerja berpasukan di samping adanya kesungguhan serta komitmen dari atlet yang menyertai kejohanan tersebut.
Katanya, slogan "Jangan Alang-alang Main Sailang" yang beliau nyatakan semasa melepaskan konvoi peserta ke kejohanan tersebut sebelum ini turut membangkitkan semangat para atlet untuk bertanding dengan semangat juang yang tinggi untuk meraih tempat kedua dengan perolehan 21 pingat emas, 28 perak dan 21 gangsa.
BINCANG... Jamawi bersama Azlan serta guru-guru yang lain membincangkan sesuatu mengenai program sukan semasa majlis tersebut
"Saya ucapkan tahniah kepada para atlet dan pegawai-pegawai yang menyertai kejohanan ini, kejayaan ini perlu menjadi pencetus semangat untuk kita bersedia dan bertindak pada kejohanan akan datang bagi mencapai kejayaan yang lebih cemerlang" katanya ketika berucap meraikan peserta dan pegawai yang menyertai kejohanan tersebut dalam majlis makan tengahari di perkarangan Pejabat Pendidikan Daerah Tenom kelmarin.
Hadir sama Pegawai Pendidikan Daerah Tenom Azlan Dimun, guru-guru serta para atlet yang mewakili MSS bahagian Pedalaman ke kejohanan tersebut.
DIRAIKAN…Antara atlet yang diraikan dalam majlis tersebut
Menurut Jamawi yang juga Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Umno berharap MSS bahagian Pedalaman perlu terus melakukan persiapan serta latihan yang terbaik dan rapi bagi memperkasakan lagi mutu sukan khususnya di bahagian itu.
Dalam perkembangan lain, Jamawi juga mengulangi gesaannya sebelum ini agar kerajaan dapat melaksanakan kerja-kerja membaiki serta menaik taraf Kompleks Sukan daerah Tenom yang kini mengalami kerosakkan yang serius.
Katanya dengan penambahanbaikan Kompleks Sukan Tenom membolehkan masyarakat khsususnya para pelajar dari daerah itu dapat melakukan aktiviti riadah dan sukan dalam keadaan yang lebih baik dan selesa.
No comments:
Post a Comment