Tuesday, 17 August 2010

HOSPITAL TENOM ATAU KANDANG KUDA?




Oleh: WT LUDBA

WALAUPUN kerusi yang disediakan di ruang menunggu di Bilik Kecemasan Hospital Tenom agak empuk dan mahal, namun begitu meloyakan kerana berbau kencing sehingga memualkan sesiapa yang duduk di kerusi berkenaan, seolah-olah berada di kandang kuda.
Seorang pelawat pesakit memberitahu Krew Sabahkini.net yang secara kebetulan berada di situ semalam, bahawa dia terpaksa keluar kerana merasa pening mencium bau hancing dari kerusi berkenaan.

“Saya juga hairan, kenapa kontraktor pembersihan tidak menjaga kebersihan di luar dan dalam Hospital Tenom. Bukankah mereka dibayar untuk setiap kerja yang dilakukan? Kenapa sampai berbau macam kandang kuda?,” ujar pelawat itu yang memperkenalkan dirinya sebagai Michael G.

Menurut Michael lagi, ruang menunggu juga agak gelap kerana lampu yang terpasang mungkin rosak dan tidak menyala walau suisnya dipetik berkali-kali.

Selain daripada itu, kata Michael lagi, pihak hospital juga perlu memperbaiki pintu masuk kecemasan automatik kerana pintu berkenaan bising apabila terbuka atau tertutup sehingga membuat suasana tidak selesa kepada pesakit yang menunggu proses perdaftaran di situ dan menjadi permainan kanak-kanak keluar masuk.

Michael juga mempersoalkan fungsi Ahli Lembaga Pelawat hospital itu kerana tidak langsung berperanan sedangkan berdasarkan gambar mereka yang terpampang di carta organisasi, mereka terdiri daripada tokoh terkenal seperti pemimpin politik, malah mantan Wakil Rakyat, Ketua Puteri Umno Tenom dan Juruteknik Majlis Daerah; seraya meminta supaya mereka meninjau Hospital berkenaan sekali sekala, terutama di sebelah malam.

No comments:

Post a Comment