Monday, 16 August 2010

REMAJA LEMAS DI SUNGAI PADAS BELUM DITEMUI


MENYELAMAT…Unit Scuba turut dikerahkan untuk tugas menyelam. Gambar sisipan, DSP Mazlan Haji Lazim.

Oleh: MAIL MATHEW

INSIDEN remaja dikhuatiri lemas ketika berenang di Sungai Padas dengan lapan rakan yang lain bertempat di km 5 jalan Sapong pada Ahad sehingga kini masih belum ditemui, namun usaha mencari dan menyelamat oleh pihak Bomba dan Penyelamat bersama Unit Scuba masih diteruskan.

Demikian dinyatakan Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Suprintendan Polis (DSP) Mazlan Haji Lazim ketika dihubungi untuk mendapatkan reaksi beliau berhubung peranan yang akan terus dimainkan oleh pasukan mencari dan menyelamat ketika ini sehinggalah mangsa dapat ditemui.

“Saya minta pihak pihak terbabit khususnya kaum keluarga mangsa yang bersimpati agar jangan membuat sebarang spekulasi yang negatif untuk mengurangkan ketegangan. Sebaliknya kerjasama antara petugas dengan keluarga mangsa amat perlu dalam meredakan keadaan supaya kerja-kerja mencari dan menyelamat berjalan dengan lancar,” tegas DSP Mazlan.

Sementara itu, dilokasi kejadian bagaikan suatu pesta diadakan kerana seluruh keluarga mangsa berhimpun di situ untuk menyaksikan usaha mencari dan menyelamat mangsa dan mengharapkan agar mangsa dapat ditemui dalam keadaan selamat.

Tangisan demi tangisan kedengaran di sekeliling kawasan di situ oleh kaum keluarga mangsa terutamanya ibu mangsa yang sudah berada di situ sejak semalaman.

Mangsa, Wencester Sylvester Kisar, 15, penuntut tingkatan tiga di sekolah St Anthony dekat sini merupakan anak bungsu dari lapan beradik keluarga Sylvester Kisar 51, yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Tadbir di Pejabat daerah kecil Kemabong.

Menurut Kisar, anaknya (mangsa) bersama lapan rakan yang lain berbasikal bertandang ke lokasi kejadian pada ahad kira-kira jam 3 petang untuk tujuan bermandi manda tanpa keizinannya.

Malangnya kira-kira jam 5.30 petang beliau telah diberitahu oleh rakan-rakannya berhubung kejadian itu yang telah menimpa anaknya dan terus bergegas ke tempat kejadian.

“Saya tiba di tempat itu lebih kurang 20 minit selepas dimaklumkan tetapi apa yang boleh dilakukan keadaan mula gelap, cuaca hujan dan air mula banjir. Fikiran saya terus bercelaru dan buntu,” jelas Kisar.

Sehingga berita ini ditulis tepat jam 4.00 petang, mangsa masih belum ditemui. Bagaimana pun usaha mencari dan menyelamat diteruskan sehingga mangsa dijumpai. Seramai 15 anggota Bomba dan Penyelamat berkampung di lokasi itu yang diketuai Pegawai Bomba Daerah Tenom, Jamal Kayat.

No comments:

Post a Comment