Oleh : EHSAN IDS
KONSEP Geran Komunal telah dilancarkan pada Mei 2010 berikutan pindaan terhadap peruntukan di bawah Seksyen 76, Ordinan Tanah Sabah pada 10 Disember 2009. Konsep ini adalah satu langkah proaktif yang telah dibuat oleh kerajaan negeri Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman sebagai satu langkah menangani masalah kemiskinan di negeri ini. Pembasmian kemiskinan adalah agenda utama kerajaan negeri.
Dalam masa yang sama, konsep tersebut turut diperkenalkan untuk mempercepatkan proses permohonan tanah terutama yang melibatkan Hak Anak Negeri. Pendekatan ini dilihat sebagai salah satu langkah berkesan dalam menangani isu-isu berkaitan pemilikan tanah dan kemiskinan di negeri ini.
Walaupun anak negeri mendapat tanah untuk bercucuk tanam, didapati kebanyakan dari mereka masih hidup dalam kemiskinan. Dalam masa yang sama, terdapat juga masalah penjualan tanah Anak Negeri disebabkan pelbagai masalah peribadi; sebagai contoh untuk membiayai pendidikan anak-anak.
Disebabkan itu, dalam usaha melindungi kebajikan Anak Negeri dan mengelakkan penjualan tanah Anak Negeri secara berleluasa konsep Geran Komunal diperkenalkan.
Di bawah konsep Geran Komunal, tanah yang telah dikenalpasti diberikan kepada sekumpulan pemilik di mana nama mereka akan disenaraikan dalam geran berkenaan. Tanah tersebut tidak boleh dijual tanpa persetujuan kesemua pemilik yang nama mereka terdapat dalam geran tersebut.
Bagaimanapun ahli keluarga boleh dinamakan sebagai waris yang berhak memiliki tanah komunal berkenaan. Hak milik tidak boleh dipindah atau dicagarkan secara individu.
Pada 29 Jun 2011, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyaksikan Majlis Penyerahan Geran Komunal di Kabintaluan, Kemabong, Tenom. Ini adalah majlis ketiga yang melibatkan penyerahan Geran Komunal selepas Salarom Taka, Nabawan dan Lalampas, Tongod.
Geran Komunal di Kemabong diberikan kepada 601 orang pemilik dari 13 buah kampung di Kabintuluan. Geran ini meliputi 2,555 hektar tanah yang akan dibangunkan sebagai salah sebuah dari lima projek Agropolitan yang diterajui oleh Koridor Pembangunan Sabah (SDC).
Geran Komunal pertama dikeluarkan pada 27 Mei 2010 meliputi 3,000 hingga 6,000 ekar tanah dari 21 buah kampung di Nabawan, Pensiangan melibatkan 444 pemilik dari Salarom Taka.
Di Tongod, majlis penyerahan Geran Komunal berlangsung pada 3 Mac 2011 melibatkan 16 buah kampung dan 1,022 pemilik di Mukim Lalampas. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman telah hadir dalam penyerahan Geran Komunal bersama pemimpin dan wakil rakyat kawasan berkenaan.
Penyerahan geran komunal di Tongod dan Kemabong adalah selaras dengan pelaksanaan projek Agropolitan di kedua-dua daerah berkenaan di bawah program Koridor Pembangunan Sabah (SDC) untuk penduduk miskin luar bandar. Projek Agropolitan di bawah SDC melibatkan lima daerah iaitu Tongod, Beluran, Kota Belud, Pitas dan Kemabong.
Kedua-dua tanah Komunal dan projek Agropolitan di Kemabong dan Tongod dibangunkan secara usaha sama jangka panjang antara pemilik dan agensi seperti Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS).
Para peserta projek Agropolitan dijangka akan menerima RM800 hingga RM1,500 sebulan dari projek pembangunan ini yang membolehkan mereka keluar daripada garis kemiskinan.
Projek Agropolitan adalah projek berimpak tinggi yang matlamatnya adalah membasmi kemiskinan serta menjanakan pembangunan ekonomi di negeri ini. Projek ini adalah salah satu Program Lonjakan Mega Luar Bandar dan melibatkan Ketua Isi Rumah Miskin Tegar (KIRMT) Negeri Sabah.
Agropolitan bermaksud Kota Pertanian. Dari segi pembangunan, Kota Pertanian dilihat membangun dengan pesat dan akan membawa limpahan ekonomi kepada sistem perdagangan agro serta boleh menjadi pemangkin kepada penaiktarafan perkhidmatan dan pembangunan perniagaan berasaskan tani.
Pembangunan Agropolitan tertumpu kepada tiga kawasan pembangunan iaitu Zon Taman Utama, Zon Tanaman Komuniti Ekonomi dan Zon Penempatan.
Zon Tanaman Utama memberikan tumpuan kepada tanaman komoditi seperti perladangan kelapa sawit. Projek ini dijangka dapat membantu meningkatkan kualiti infrastruktur asas dan kemudahan awam di kawasan berkenaan.
Perdana Menteri yang berada di Kemabong sementara Timbalannya yang hadir di Tongod, memuji langkah yang telah diambil oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman yang memperkenalkan pendekatan Geran Komunal.
Pendekatan tersebut kata mereka, adalah contoh terbaik kepimpinan yang mendahulukan keperluan rakyat.
”Faktor yang paling penting dalam geran komunal ini ialah tanah tersebut tidak boleh dijual. Ini adalah langkah strategik bagi melindungi kepentingan anak negeri dalam menangani pertindihan permohonan tanah, meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang berkaitan tanah dan juga membantu balu serta ibu tunggal memiliki tanah,” kata Ketua Menteri yang turut menyatakan usaha ini memberi peluang kepada pemilik Geran Komunal bekerjasama dengan agensi berpengalaman seperti LKTNS.
No comments:
Post a Comment